Jangan Biarkan Rafzan Berjuang Berseorangan

Oleh : Salbiah Ahmad
(Dari Malaysiakini)

Apa yang kelihatan sebagai sesuatu yang sangat tidak adil buat Rafzan Ramli adalah penyingkirannya dari universiti kerana dikatakan terlibat di dalam bantahan aman luar kampus terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 8 Jun lalu.

Beberepa teman seniornya yang telah berdemo terhadap Israel tahun lalu, telah dilepaskan dengan hanya dikenakan denda. Senior-senior tersebut sedang menamatkan pengajian mereka pada minggu yang sama beliau disingkirkan. Kita mungkin dapat mengutip sesuatu dari kisah ini, di mana bantahan ISA terbukti tidak boleh diterima sama sekali.

Sesungguhnya, penyingkiran kerana menggunakan hak untuk membantah secara aman terhadap undang-undang yang tidak disenangi ramai tidak difahami. Rafzan Ramli telah memulakan langkah dengan mengemukakan satu aduan kepada SUHAKAM, pada 23hb. Jun.

Semenjak akhir tahun 1998, pelajar-pelajar universiti telah menghadapi tindakan disiplin dan  sesetengahnya disingkirkan kerana pendirian politik mereka. Tiada sebarang kes penyingkiran yang telah dibawa ke muka pengadilan di mahkamah tinggi. Terlalu sedikit maklumat setakat ini, sama ada hak-hak pelajar telah benar-benar dipertahankan di dalam kes-kes perbicaraan disiplin ini. Aduan kepada SUHAKAM itu mungkin akan menyerlahkan sesuatu yang tidak menyenangkan.

Pelajar-pelajar juga telah mengemukakan kepada SUHAKAM, berkenaan aduan keganasan polis semasa perhimpunan aman pada 8hb. Jun dan tentang mereka yang telah ditangkap. Rombongan pengiring pelajar telah bertembung dengan seramai 50 anggota FRU yang berkelengkapan pencegah rusuhan dan bilangan yang sama banyak atau lebih polis-polis berpakaian biasa di pintu masuk utama ke SUHAKAM pada 30hb. Jun. Pihak polis tidak akan membiarkan begitu sahaja. Penguatkuasa disiplin universiti yang tertentu dan pihak polis kelihatan sepakat dalam menunjukkan siapa yang lebih berkuasa.

Cara pihak polis menguruskan bantahan pada 8 Jun dengan menggunakan kekerasan dari memilih untuk berunding itu adalah yang pertama berlaku dari bulan April hingga Jun. Bantahan ISA yang serupa oleh kumpulan-kumpulan persatuan awam dan parti-parti politik yang dijalankan dalam tempoh yang sama didapati agak bebas dari keganasan dan gangguan polis.

‘Double Jeopardy’ :

Sesungguhnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti, 1971 (AUKU) menganggap pelajar dan kakitangan seolah-olah seperti ‘separa-rakyat’, memandangkan hak-hak mereka di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan telah dikurangkan lagi dengan pindaan kepada AUKU pada 1975. Ini dikenali dengan nama lainnya sebagai ‘double jeopardy’.

Beberapa institusi pengajian tinggi mempunyai undang-undang yang seakan-akan sama dengan AUKU yang digunakan ke atas mereka. Undang-undang induk ini membenarkan perlaksanaan ketetapan-ketetapan dan peraturan-peraturan tentang disiplin, terpulang kepada budibicara pihak berkuasa universiti sendiri dalam menentukan keperluan untuk mengenakan tindakan penalti termasuk penyingkiran dari universiti.

Secara ringkasnya , AUKU dan undang-undang yang seangkatan dengannya menyatakan bahawa para pelajar dan kakitangan tidak mempunyai hak untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan kecuali dengan kebenaran pihak berkuasa universiti. Sekali tersingkir, seseorang pelajar itu tidak akan mendapat kebenaran untuk memasuki mana-mana universiti di Malaysia atau universiti dari mana ia disingkirkan kecuali Menteri Pendidikan secara bertulis menyokong kemasukannya dengan atau tanpa syarat.

Ciri-ciri kejam penyingkiran yang telah menafikan hak seorang rakyat Malaysia terhadap pendidikan seharusnya menuntut penumpuan dan perhatian yang mendalam tentang undang-undang keadilan yang sebenar, kesamarataan dan hati nurani yang baik. Apa sahaja yang kurang dari ini perlu dinilai semula dari segi undang-undang.

Autonomi universiti :

Pindaan 1975 yang semua sedia maklum dibuat berikutan dari penangkapan beberapa orang pemimpin-pemimpin pelajar di bawah ISA dalam tahun 1974, termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim nampaknya tetap bertahan. Ia telah berjaya menghadapi sekurang-kurangnya dua pergerakan reformasi (pergerakan menuntut perubahan) dari ahli-ahli akademik sebelum itu.

Gelombang reformasi yang pertama tercetus apabila Piagam Universiti 1978 diumumkan secara rasmi, dibangkitkan oleh para kakitangan akademik dari lima buah universiti yang ada. Gelombang kedua bermula dengan sebuah memorandum dikemukakan kepada Menteri Pendidikan, yang pada masa itu disandang oleh Anwar Ibrahim pada tahun 1980an.

Usul untuk reformasi itu adalah selari dengan tahap kebebasan akademik dan autonomi universiti yang sedang berkembang. Terdapat beberapa deklarasi (pengisytiharan) berkaitan dengan isu kebebasan dan autonomi universiti, deklarasi-deklarasi dasarnya terdiri dari Deklarasi Lima 1988, Deklarasi Dar Es Salaam 1990 dan Deklarasi Kampala 1990. Perlulah difahami bahawa ketiga-tiga dokumen ini datangnya dari dunia ketiga dan menggambarkan kerumitan negara-negara selepas merdeka (dunia ketiga) yang menghadapi pertentangan dengan masyarakat awamnya.

Deklarasi Kampala sebagai contohnya mempunyai beberapa peruntukan yang menyentuh tentang campurtangan kerajaan dalam kebebasan akademik dan autonomi universiti. Muqaddimahnya (sebahagian darinya) menyebut bahawa ‘perjuangan untuk kebebasan intelektual merupakan bahagian yang penting dari perjuangan rakyat kita untuk hak-hak asasi manusia.’

Dokumen Dar Es Salaam menyediakan muqaddimah yang berbunyi sebahagiannya sebagai, ‘Oleh kerana kewujudan kebebasan dan kemerdekaan rakyat dipertikaikan, mereka mula mempersoalkan tentang kewujudan politik yang tidak bebas dan tidak berhaluan kanan. Kami sebagai ahli-ahli akademik, intelek dan penyalur-penyalur pengetahuan mempunyai kewajipan kemanusiaan dan tanggungjawab sosial terhadap perjuangan bangsa kami untuk mendapatkan hak, kebebasan, perubahan sosial dan pembebasan berkenaan manusia.

Ketiga-tiga deklarasi itu menekankan tentang hak untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan kepada kaitangan dan pelajar-pelajar sebagai sebahagian dari kebebasan dan autonomi institusi-institusi pengajian tinggi dan kebebasan dari campurtangan pihak kerajaan.

Pemegang amanah pelajar-pelajar :

Deklarasi-deklarasi ini dan beberapa lagi yang lain di Eropah Timur adalah sebahagian dari dokumen-dokumen yang dirujuk oleh Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) untuk Seminar Dunianya tentang Pendidikan Tinggi dalam tahun  1998, yang membawa kepada Deklarasi Dunia tentang Pendidikan Tinggi untuk abad ke-21 : Wawasan dan Tindakan.

Dokumen Unesco mengisytiharkan sebagai tindakan utama pada peringkat kebangsaan yang menyatakan bahawa, termasuk kerajaan-kerajaan negara mereka, parlimen-parlimen dan lain-lain pihak yang terlibat dalam menentukan satu-satu keputusan itu perlulah mengiktiraf pelajar-pelajar sebagai pusat tumpuan bagi pendidikan tinggi dan salah seorang dari pemegang amanahnya.

Para pelajar sepatutnya dilibatkan dalam menggubal polisi termasuk perubahan kurikulum dan pelajar-pelajar mempunyai hak untuk membentuk diri mereka sendiri secara autonomi (tanpa sebarang kawalan dari mana-mana pihak).

Perubahan tidak adapat dielakkan lagi. AUKU dan undang-undang yang seangkatan dengannya tidak lagi selaras dengan tahap dan kelaziman hak-hak asasi manusia yang baru. Bahkan undang-undang ini juga tidak selaras dengan alat dasar antarabangsa iaitu Deklarasi Hak-Hak Asasi Manusia Sejagat tahun 1948! (UDHR)

Mujur juga UDHR dapat memberikan garis panduan kepada SUHAKAM bagi mempertimbangkannya di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, 1999.

Aduan Rafzan Ramli itu tidak seharusnya dibiarkan untuk dihadapi oleh dirinya berseorangan. Ia adalah satu gambaran tentang semua perjuangan kita dan dari itu kita perlu bersama-sama menyusuri perjalanan bagi mendapatkan kebebasan tersebut.


Terjemahan : SPAR 09

Jumlah pembaca:orang