Hentikan Taktik Kasar dan Penindasan Hak-hak Pelajar

Dari : Parti Rakyat Malaysia


Angkatan Pemuda Parti Rakyat Malaysia (APPRM) merasa terkejut apabila ISA yang terkenal zalim itu sekali lagi digunakan ke atas mangsa yang terbaru, pelajar yang bernama Khairul Anuar Ahmad Zainuddin. Kami menggesa pihak kerajaan untuk menghentikan tindakannya menyalahgunakan hak-hak pelajar untuk menyuarakan penentangan mereka terhadap kerajaan masakini sejajar dengan amalan demokrasi. Khairul Anuar Ahmad Zainuddin patut dibebaskan dengan segera memandangkan ketiadaan fakta-fakta yang kukuh dan pertuduhan terhadapnya.

Khairul, yang lebih dikenali di kalangan teman-temannya sebagai Jonna, bahkan telah diganggu berkali-kali oleh polis cawangan khas (SB) sejak sebelum penahanannya lagi. Sepucuk surat telah dihantar ke kolejnya memberikan laporan terperinci tentang apa yang dikatakan ‘aktiviti-aktivitinya’ dan mendesak agar beliau disingkirkan. Ini telah menyebabkan pihak kolej mengeluarkan satu surat tunjuk sebab kepadanya. Sebelum itu beliau merupakan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) tetapi meninggalkannya selepas dikeluarkan dari asrama dan dikenakan pelbagai bentuk tekanan. Satu lagi insiden yang melibatkan tindakan rasmi kerajaan untuk menafikan hak mendapat pendidikan kepada aktivis-aktivis pelajar bermula dua hari lalu apabila Menteri Pendidikan mengisytiharkan bahawa pelajar-pelajar yang disingkirkan tidak boleh diterima masuk ke dalam institusi-institusi pengajian tinggi di negara ini berikutan penyingkiran Rafzan, seorang pelajar UiTM disebabkan penahanannya di hadapan Masjid Negara.

Kedua-dua individu ini adalah ahli kepada kumpulan pelajar, Universiti Bangsar Utama (UBU). UBU, ekoran daripada gerakan Reformasi telah mengenengahkan idea untuk menggiatkan gerakan reformasi melalui teater, salah satunya yang paling popular ‘Tok Ampoo’ di samping mara ke hadapan secara terbuka dalam menyuarakan keperihatinan mereka tentang masalah-masalah yang melanda negara ini. Kumpulan UBU juga begitu aktif memberikan khidmat tiusyen percuma kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di dalam komuniti kelas bekerja di sekitar rumah-rumah pangsa dan kuarters kakitangan KTM berdekatan Bangsar Utama.

Pegawai-pegawai kerajaan pada semua peringkat telah menafikan hak pelajar-pelajar untuk menyuarakan bantahan terhadap korupsi dan keperihatinan mereka secara aman dan mengikut undang-undang. Para pelajar telah digertak semasa sessi temuramah biasiswa disebabkan penglibatan keluarga mereka di dalam parti-parti pembangkang, undang-undang yang menindas digubal untuk mengawal hak pelajar-pelajar dan tindakan disiplin diambil terhadap mereka yang gagal mengikut arahan yang dikeluarkan. Tindakan-tindakan ini adalah bertentangan dengan hak sebagai rakyat negara ini. Akhir-akhir ini, pertuduhan-pertuduhan yang tidak sah telah dilemparkan terhadap aktivis-aktivis pelajar berikutan kejadian kebakaran di Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya. Kami tidak akan terkejut sekiranya cerita yang tidak munasabah direka-reka terhadap Jonna berdasarkan aspek ini.

APPRM mendapati insiden-insiden ini dengan seriusnya melanggari hak-hak asasi manusia di dalam negara ini dan menggesa pihak kerajaan agar menghormati hak pelajar-pelajar di dalam negara ini. SUHAKAM sebagai pembela hak-hak asasi manusia di dalam negara ini perlulah segera meneliti perkara-perkara ini dan tampil ke hadapan dengan penuh persediaan untuk menghentikan pemangsaan dan penindasan terhadap hak-hak pelajar.

HENTIKAN PENGANIAYAAN HAK-HAK PELAJAR!
BEBASKAN JONNA DAN SEMUA TAHANAN ISA!

Muhammad Ali Syed Hussein
Angkatan Pemuda Parti Rakyat Malaysia
5hb. Julai 2001


Terjemahan : SPAR 09