Kerajaan Lancar Serangan Baru Terhadap Laman-Laman Web Yang ‘Berbahaya’

Artikel Asal :Government to launch upgraded missiles on dangerous websites.


Oleh : Tong Yee Siong
(Dari Malaysiakini)


5 Julai : Kerajaan akan melepaskan serangan lain terhadap penerbitan-penerbitan internet yang mengancam keselamatan negara dan kali ini ia sudah pasti akan mengenai sasarannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Rais Yatim hari ini.

Penerbitan-penerbitan di Internet sedang meningkat jumlahnya di Malaysia dan “mesej-mesej berbau kebencian, tulisan-tulisan yang menghasut dan email yang menganjurkan pertentangan agama dan lain-lain lagi” semakin menjadi-jadi, katanya.

Menteri tersebut berucap di satu seminar antarabangsa tentang undang-undang siber di Kuala Lumpur.

“Oleh kerana komitmen kerajaan untuk tidak melaksanakan sebarang penapisan, serangan yang dilancarkan pada awal dahulu kelihatan bukan sahaja tidak dapat memburu musuh tetapi telah melantun semula ke arah kita. Walau bagaimanapun, saya yakinkan anda, pencipta serangan bukanlah tidak dapat berfikir atau mencari jalan keluar,” katanya.

Walau bagaimanapun, Rais enggan menjelaskan tentang ciri-ciri serangan yang dirancangkan dengan berkata, “Saya akan menyimpan rahsia tersebut sehingga pada suatu ketika apabila kita telah bersedia untuk melepaskan satu lagi serangan yang pasti akan kena pada sasarannya.”

Di bawah kajian :

Pada satu sidang media kemudiannya, menteri itu mengatakan bahawa undang-undang yang berkenaan dengan jenayah di alam maya perlu diperkemaskan lagi bagi berjalan seiring dengan senario yang sering berubah.

“Pelaku-pelaku kesalahan ini fikir yang mereka akan terlepas dengan undang-undang yang sedia ada, tetapi kita akan dapat menyaingi mereka,” beliau memberi amaran.

Walau bagaimanapun, Rais tidak pula memberikan satu jangka masa yang spesifik tentang bilakah ‘undang-undang’ baru itu akan siap sedia untuk digunakan dan hanya mengatakan satu badan bertindak telahpun mengkaji perkara tersebut.

Beliau juga menafikan kritikan bahawa undang-undang baru tersebut mencabuli polisi tiada-penapisan kerajaan sebagaimana yang disebutkan di dalam Rang Undang-Undang Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC).

Rang undang-undang itu telah didrafkan bersempena dengan pelancaran MSC empat tahun yang lalu.

“10 perkara yang disebutkan di dalam rang undang-undang itu masih dikekalkan. Dua minggu yang lalu, Australia telah memperkenalkan undang-undang anti-perjudian di Internet. Adakah itu satu penapisan?” menteri itu bertanya.

Penapisan telah sekian lama menjadi satu isu yang kontroversial di antara pihak berkuasa tempatan dan kumpulan-kumpulan awam. Disebabkan oleh undang-undang yang terlalu ketat mengawal percetakan dan penyiaran media, ramai yang beralih kepada internet untuk menerbitkan pandangan-pandangan yang kritikal terhadap kerajaan.

Berita tentang rancangan kerajaan untuk mengawal laman-laman web yang tidak disenanginya mula-mula sekali keluar apabila Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamed mencadangkan supaya diadakan satu penilaian semula terhadap undang-undang media yang sedia ada seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) dua bulan yang lalu.

Lanjutan dari ini, Rais telah mengatakan bahawa undang-undang baru akan diperkenalkan untuk membersihkan Internet dari bahan-bahan provokasi dan pornografi (bahan-bahan lucah).

Minggu lalu, Pengerusi Eksekutif Koperasi Pembangunan Multimedia (MDC) Dr. Othman Yeop Abdullah berkata kerajaan mungkin hanya akan mengusulkan satu ‘Code of Content’ (Kod Kandungan) yang akan menyediakan satu garis panduan kepada laman-laman web.

Jangan ‘terlebih gubal’ :

Presiden Majlis Peguam Malaysia Mah Weng Kwai, yang juga hadir di seminar pada hari ini, apabila ditanya menyatakan beliau bersetuju bahawa peningkatan teknologi siber sesungguhnya akan mengatasi peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang yang sedia ada.

Walau bagaimanapun, beliau menekankan bahawa undang-undang baru mestilah tidak menjejaskan kebebasan-kebebasan asas dan hak-hak asasi manusia.

“Kita tidak boleh terlebih gubal. Pihak pendakwa sudah tentu mahukan seluruh susunan undang-undang berada di belakangnya bagi memastikan yang ia akan dapat mensabitkan si pesalah, tetapi adakah itu akan menjejaskan kebebasan-kebebasan asas seperti kebebasan untuk bersuara?” Mah bertanya.

Seminar dua hari itu akan membincangkan kekurangan undang-undang masa kini di dalam menguruskan jenayah-jenayah siber dan penetapan standard (piawaian) bagi bukti mahkamah di dalam kes-kes seumpama itu.


Terjemahan : SPAR 09

orangJumlah pembaca: