Perang Siber
(Cyber War)

Oleh: Harun Rashid.

Menteri 'de facto' undang-undang, yang sering dikaitkan dengan tesisnya itu, telah mengumumkan rencana serangan ‘peluru berpandu’ terhadap musuh khayalan di alam siber. Senjata yang hebat ini dikatakan menepati sasarannya, berbeza dengan model terdahulu yang mengecewakan. Bukan sahaja ia gagal menghancurkan sasarannya, tetapi ia mudah melantun balik untuk menjejaskan ‘buah kerandut’ pahlawan-pahlawan teknologi mereka yang ketandusan pengalaman.

Kini, syak wasangka umum sudah pun diperakui. Perbuatan menggodam (hacking) laman-laman web yang begitu dedikasi mendedahkan salahlaku ahli-ahli politik Malaysia yang jijik itu disyaki telah dibiayai oleh menteri-menteri Malaysia sendiri. Namun, sehingga kini perkara itu masih belum disahkan. Pengumuman menteri tentang peperangan alam siber itu, bererti peperangan akan semakin menggila.

Perkara ini akan menjadi lebih terperinci, sehinggakan terserlah nanti ketidak-seimbangan terhadap agihan sumber. Kita tentu ingat akan beberapa konflik di Asia Tenggara, di mana kuasa dan kecanggihan senjata pihak yang berkuasa beradu-domba melawan taktik gerila yang bersenjata ringan tetapi lebih lincah daripada pencabarnya.

Babak pertempuran telah dipindah masuk untuk disesuaikan dengan suasana siber yang tidak bersempadan dan tidak mudah dipertahankan. Semua itu adalah khayalan, yang diberi sokongan persis satu permainan komputer, dengan penggunaan teknologi yang baru. Masalahnya dengan parti-yang-berkuasa ini adalah mereka kelihatan telah mengambil semua itu dengan serius sekali.

Pertikaian kecil yang terjadi, yang tertumpu kepada kesungguhan untuk mengelakkan penapisan secara terus, kini berubah menjadi parah, dengan adanya niat kerajaan untuk bertindak kasar. Ini akan melibatkan jentera perundangan negara , bersama-sama dengan senjata terulungnya, polis cawangan khas (SB), yang bertindak secara fizikal untuk mencekup musuh dan komputer/ senjatanya, kedua-duanya akan melalui soal-siasat yang intensif.

Hanya segelintir yang terlepas deraan ini. Ada yang akan menghilangkan untuk selamanya. Ramai yang akan muncul semula (dibebaskan) tanpa sebarang ingatan, satu fenomena yang sukar untuk dijelaskan mengikut pemahaman insani. Di dalam banyak kes, mereka yang ‘mati otaknya’ dan terpaksa bergantung penuh kepada orang lain ini, dibawa ke depan mahkamah hanya untuk memerhati perjalanan kes pendakwaan ke atas diri mereka.

Hakim tidak mudah perasan betapa manusia yang berada di dalam kandang orang salah itu adalah zombi yang tidak boleh berfikir lagi dan tidak dapat memahami prosiding mahkamah. Polis cawangan khas memang pakar di dalam putar-balik minda (turning) mangsanya, dan ini membawa maksud menterbalikkan mereka menjadi orang yang terlalu lemah dan tidak berdaya untuk berbuat apa-apa.

Memang tiada percubaan untuk melindungi dan mempertahankan insan yang lemah ini, sama ada oleh peguam yang dilantik atau hakim yang duduk mengadili kes. Ia adalah satu persendaan kepada keadilan, ala Malaysia. Dunia pasti akan dapat melihat banyak lagi kes yang serupa di masa yang akan datang.

Tugasan menteri undang-undang semakin jelas digariskan. Porfolionya kini termasuk serangan baru yang bakal dilancarkan ke atas Internet., terutamanya laman-laman web yang berbisa. Beliau bercadang untuk mengnyahkan laman tertentu pilihannya sendiri, yang mungkin dianggap bersifat penghinaan oleh pemilik/ pengurus laman web. Ia membawa maksud penghapusan maklumat secara teknologi. Keadaan yang sama berlaku di dalam Third Reich (regim Nazi), satu lagi regim yang bersifat kuku besi.

Menteri yang patuh itu tidak berkelayakan untuk memulakan perang siber. Pemahamannya tentang teknologi baru hanya terhad kepada mengupah penggodam-penggodam komputer (hackers) untuk menyebabkan kerosakan dan menggaji pekerja-pekerja kerajaan untuk mengirim virus-virus kepada pihak-pihak pembangkang melalui emel. MITI, yang berkaitan dengan hubungan perniagaan antarabangsa, baru-baru ini didapati bersalah kerana dengan sengaja menghantar virus-virus kepada alamat-alamat yang terpilih, walaupun ini kemudiannya dinafikan, di atas alasan ‘tidak sengaja’. Bukti-bukti yang ada menunjukkan sebaliknya.

Menteri yang patuh ini mula menampakkan dirinya sebagai menteri maklumat songsang, lebih banyak terlibat di dalam menyalah-tafsirkan undang-undang dari melaksanakannya. Penelitian yang lebih rapi tentang bahasa yang digunakannya mengundang perbandingan dengan penggunaan komputer terhadap tesis yang telah dihasilkannya. Hasilnya memudahkan tekaan betapa wujudnya jejari lain yang memegang penanya, dulu. Keengganan beliau memperakui hasil kerja tersebut mempermudahkan andaian betapa memang wujud kelompongan dalam pertalian hubung-kait itu.

Penyalahgunaan media cetak dan elektronik memang menjadi pilihan regim diktator pada satu masa dahulu. Penggunaan kaedah yang serupa bagi mengawal komunikasi dan berita akan gagal dalam zaman yang baru, satu perkara yang menteri-menteri di Malaysia nampaknya tidak berupaya untuk memahaminya. Bilangan laman web adalah melebihi sebarang keupayaan untuk memusnahkannya, dan ia boleh diklonkan, disalin secara ‘mirror image’ dan diwujudkan semula jauh lebih pantas lagi dari sebarang usaha untuk mengenal-pasti dan menyeranginya.

Menteri berkenaan barangkali boleh merujuk kepada satu kes di mana satu perisian komputer dihasilkan bagi membolehkan pemindahan dari CD dilakukan. Apabila mahkamah mengarahkan laman web ini untuk membuang tawaran tersebut, perisian komputer itu dengan cepatnya disebarkan kepada lebih dari 1500 laman baru dalam beberapa jam sahaja. Begitulah hebatnya keupayaan internet untuk menghalang pengawalan terhadap isi kandungannya.

Walaupun kenyataan-kenyataan umum dibuat bahawa pengisytiharan perang yang baru itu bukanlah merupakan langkah penapisan Internet, adalah sukar untuk mengenepikan kesimpulan ini. Jika tidak, bagaimana pula cara menilainya? Jika ini merupakan satu pengisytiharan perang, bahana akibat yang akan tercetus adalah dahsyat sekali. Kemampuan pemilik bebas komputer untuk bertindak-balas adalah menakutkan sekali. Ia mungkin bermula dengan pemboikotan firma-firma komputer yang menggunakan komponen elektronik bikinan Malaysia, sehinggalah kepada usaha mengnyahkan semua laman web kerajaan Malaysia.

Keseluruhan struktur IT Malaysia memang terdedah pada bahaya Satu gencatan senjata yang segera seharusnya menjadi pilihan parti-yang-berkuasa. Seandainya serangan ke atas pelajar-pelajar berterusan, dan para tahanan ISA tidak dibebaskan, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) boleh diserang oleh jurutera-jurutera muda yang memuncak kebenciannya akibat dari taktik-taktik penindasan yang digunakan. Kemudahan IT yang lain juga terdedah kepada bentuk ancaman yang serupa. Parti-yang-berkuasa di Malaysia belum bersedia untuk menghadapi sebarang konfrontasi yang aktif di medan pertempuran siber. Diharapkan menteri yang dikatakan setia itu memahami masalah ini.



Terjemahan oleh: SPAR-09-019

Jumlah pembaca:orang