DTC UM: Bekas Siswa/i Sabah Graduan UM Di mana Anda...

Terlebih dahulu, rasa simpati penulis rakamkan khususnya kepada pengurusan Universiti Malaya di bawah kepimpinan NC Dr Anuar dan seluruh warga UM di atas bencana terbakarnya DTC yang berjasa kepada puluhan ribu pelajar dan rakyat Malaysia dari segi ilmu, pendidikan, kepimpinan, kepakaran dan sebagainya. Kita umat yang dibekalkan dengan iman, ketauhidan dan asuhan agama, percaya bahawa setiap bencana yang menimpa itu adalah takdir. Dan bencana yang menimpa umat manusia adalah berpunca tangan-tangan manusia juga. Manusia yang mana?. Orang beriman, bertaqwa, berilmu, berakhlak dan tahu menghargai segala nikmat, rezeki dan rahmat yang dikurniakan Allah SWT, pasti mereka tidak akan merosakkan, apa lagi untuk mensia-siakan nikmat dan rezeki itu.

Sebagai antara puluhan ribu bekas penuntut yang pernah mendapat didikan dan asuhan di Universiti Malaya, antara universiti tertua di negara ini, penulis ingin menarik perhatian kepada seluruh alumni atau bekas graduan UM anak-anak Sabah sama ada yang sudah bergelar pimpinan besar negeri, pegawai tinggi, ternama, tersohor, sebagai politikus, korporat, profesional, peguam, hakim, guru, ustaz-ustazah hatta yang tak berpangkat atau tidak bernama sekalipun. Marilah kita semua sama-sama meluangkan masa, tenaga, fikiran dan harta untuk bagaimana kita sama-sama bersikap prihatin membantu pusat ilmu UM yang pernah mendidik dan mengasuh kita menjadi manusia, rakyat dan bangsa yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Kerana, setakat berita ini dicoretkan belum penulis terbaca atau terdengar sebarang kenyataan anak-anak Sabah bekas graduan UM mengumumkan apa-apa tindakan ke arah memberikan sokongan moral, simpati, bantuan dan lain-lain kepada Universiti Malaya yang ditimpa bencana kebakaran DTC. Terutamanya Alumni UM anak-anak Sabah yang seingat penulis memang telah ditubuhkan di Sabah beberapa tahun lalu.

Sebagai satu pertubuhan yang mengumpulkan bekas-bekas graduan UM di Sabah, sewajarnya ada satu tindakan atau kenyataan simpati, sokongan moral dan bantuan yang termampu boleh kita hulurkan kepada pengurusan UM bagi membina sebuah DTC baru. Kita tidak sepatutnya mendiamkan diri dari usaha kebaikan dan menolong golongan yang kesusahan seperti yang dialami oleh Universiti Malaya.

Penulis percaya semua bekas graduan UM di Sabah, khususnya anak-anak Sabah tersentuh hati membaca dan mendengar berita terbakarnya DTC Universiti Malaya itu. Tetapi disebabkan tidak adanya pihak yang menggerakkan kesedaran di kalangan kita atau mereka yang tampil ke depan membuat kenyataan agar semua graduan-graduan atau bekas graduan UM di Sabah bersatu membantu dan menjalankan kempen "Tabung Membina DTC UM" seperti yang telah dilancarkan oleh NC Dr Anuar, NST dan lain-lain. Maka bekas graduan UM di Sabah seperti tidak mengambil apa-apa reaksi atau respon ke arah cara mana sewajarnya kita memberikan bantuan bagi maksud pembinaan semula DTC UM.

Walaupun, hakikatnya tanpa DTC sekalipun UM masih boleh maju dan cemerlang. Tetapi DTC adalah sebahagian daripada keperluan bagi sebuah menara gading seperti UM. Atas faktor ini kita sebagai antara bekas graduan UM, sewajarnya sama-sama bersimpati, memberikan sokongan dan juga bantuan yang berpatutan kepada Universiti Malaya. Mudah-mudahan, coretan ini akan membuka hati dan akal kita untuk terus bersimpati dan berbakti untuk berbuat kebaikan dan tolong-menolong mengikut kemampuan masing-masing.

Sekian.   Ibn Sabah,   9.7.2001M

Nota webmaster: Saya ingin mengupas sedikit tentang apa yang diperkatakan olehh penulis dalam artikel ini. Pada amalan biasa, mengutip derma bagi membiayai pembangunan semula bangunan DTC di UM ini adalah kerja mulia. Namun di sebalik keriuhan ini ada pihak yang langsung tidak menonjolkan diri di mana mereka sepatutnya berbuat demikian. Inilah kerja pihak insuran. Jaminan pada masa melelong produk tidak harus diketepikan atau diabaikan. Jika benarlah syarikat insuran adalah satu perniagaan yang profesional dan bertindak cekap, mereka seharunya jadi penderma yang pertama dalam episod terbakarnya DTC di UM. Anihnya kita tidak diperlihatkan begitu. Atau apakah bangunan secanggih dan semahal RM12.4 juta itu dibina tanpa insuran? ~ Webmaster

Jumlah pembaca:orang