Likas: Apa Strategi Pembangkang Menghadapi Gerombolan BN

BN sebuah gabungan parti-parti politik yang telah memerintah Malaysia sejak sekian lama, baru saja selesai mengadakan konvensyennya besar-besaran di Kuala Lumpur dan disiar ke seluruh pelusok Malaysia, mungkin ke seantero dunia dengan harapan seluruh makhluk dunia ini mendengar suara hapak dan haprak si nyanyuk pengerusi mereka mencaci, memperlekeh dan mengadu-domba musuh politiknya, terutama gabungan BA yang terdiri daripada PAS, DAP, KeADILan dan PRM. Mungkin itulah juga strategi dan mesej mereka untuk pilihanraya kecil DUN Likas, di Sabah dan pilihanraya umum negeri Sarawak.

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Ustaz Hj. Fadzil Nor sebelum ini pernah menyatakan mahu pembangkang di Sabah bersatu untuk melawan BN, walaupun gabungan BA di Sabah masih belum wujud sebuah gabungan kuat seperti BA di Semenanjung. Ini satu strategi dari banyak-banyak strategi yang boleh digunakan oleh pembangkang di Sabah. Biar UMNO/BN melihat dan menuduh pembangkang semacam tidak bersatu. Dan rakyat melihat BN semacam bersatu berdasarkan ucapan-ucapan pemimpin mereka melalui TV 1, 2, 3 hingga TV 7 dan dalam akhbar-akhbar harian arus perdana, tetapi hakikatnya mereka bertelagah sesama sendiri dalam rumah BN mereka secara senyap.

Strategi politik pembangkang di Sabah, mesti tidak serupa dengan strategi BA di Sanggang, Teluk Kemang dan juga di Lunas di Semenanjung. Sebab kesedaran politik, latar belakang dan tahap pengetahuan dan juga celik politik rakyat Malaysia di Semenanjung sudah berada di hadapan berbanding pemikiran politik rakyat Malaysia di Sabah, khususnya pengundi DUN Likas. Difahamkan dari lebih 26,000 pengundi di Likas itu, adalah terdiri dari pelbagai kaum dan agama. Di mana pengundi bumiputera Islam lebih kurang 16,000 pengundi dan 20,000 pengundi lagi adalah terdiri dari bumiputera non-muslim dan etnik Cina.

Tiga kelompok utama pengundi di DUN Likas itu, masing-masing dengan cara hidup, budaya, tradisi dan juga agama. Bumiputera Islam berpegang dengan ajaran Islamnya, terlalu taat buta kepada pimpinan yang dipopularkan dalam parti kerajaan, tapi cara fikir politik segelintir mereka masih ditahap sederhana atas sebab terlalu dimanjakan begitu lama oleh UMNO/BN melalui politik sogok, subsidi, ugut dan rasuah politik. Dan boleh berubah arah politik, apabila ada isu kuat dan menarik untuk pengaruhi mereka. Bumiputera non-muslim, mereka ini agak kuat juga pegangan agama mereka, berani buat perubahan sekiranya ada isu menarik yang boleh mempengaruhi pemikiran politik mereka, walaupun segelintir mereka masih ada yang terlalu patuh kepada pimpinan parti kerajaan atas faktor pulus, kedudukan dan pangkat.

Manakala masyarakat kaum Cina di DUN Likas, umum mengetahui mereka ini majoritinya adalah golongan peniaga, selalu berkira bicara soal untung rugi, boleh bisnes atau tidak. Dan mereka mempunyai kesedaran politik tinggi secara senyap boleh memberi untuk kepada parti yang mendekati mereka secara baik.

BN dengan strategi politik kebendaannya, adu-domba, memperkuda RTM, Kemas, Penerangan dan sebagainya. Baru-baru ini Datuk Muhyiddin Yassin Menteri pusat telah masuk kampung dan mengagih-agihkan 100 kampit beras kepada penduduk Pulau Gaya. Kempen mereka sudah bermula, lepas ini entah apa lagi projek mee segera akan dilonggokkan untuk orang-orang Likas. Itulah saja yang ada kepada UMNO/BN dalam mempengaruhi pemikiran rakyat yang sudah terbiasa dengan tradisi subsidi dan sogokkan. Kebetulan UMNO/BN sedang pegang kuasa, boleh gunakan apa saja jentera kerajaan yang mereka kuasai, selagi mereka mahu. Tidak ikut perintah, nahaslah ketua jabatan itu.

Bagi parti-parti pembangkang, apakah strategi terbaik untuk memenangi hati rakyat dan pengundi di DUN Likas supaya mereka mengundi calon parti pembangkang. Kita melihat ada beberapa kekuatan pembangkang di Sabah yang boleh memutihkan mata UMNO/BN, terutamanya presiden mereka yang sedang dalam kenyanyukan itu, antaranya:

Pertama: Parti-parti pembangkang Sabah terdiri dari PBS, KeADILan, DAP dan PAS hendaklah bersatu. Lupakan sedikit perbezaan ideologi masing-masing.

Kedua: Letakkan calon yang benar-benar berwibawa, disenangi rakyat terbanyak, peribadi baik, profesional dan suka berdamping dengan rakyat.

Ketiga: Pendekatan kempen hendaklah ke arah kesedaran, celik politik, ilmu pengetahuan dan memelihara kebajikan rakyat.

Keempat: Seluruh ketua parti pembangkang hendaklah turut hadir sama-sama sewaktu mengarak calon, sekalipun bukan calon dari parti sendiri.

Kelima: Presiden parti-parti pembangkang diminta turun sama ke kempen-kempen bersama rakyat di kampung-kampung.

Keenam: Kebajikan dan sosial rakyat hendaklah menjadi agenda utama parti pembangkang tanpa mengira kaum dan agama, sebagaimana yang sedang dilakukan di Kelantan, Terengganu dan kawasan-kawasan dimenangi oleh calon-calon BA di Semenanjung.

Ketujuh: Pendekatan kempen yang sesuai yang telah digunakan di Lunas, Teluk Kemang dan Sanggang hendaklah diguna pakai di Likas.

Kelapan: Setelah usaha gigih, jangan lupa kita berdoa kepada Allah SWT.

Mudah-mudahan rakyat marhaen di DUN Likas akan terbuka hati dan akal mereka untuk mengundi calon parti pembangkang yang telah direstui dan disenangi rakyat, sekalipun UMNO/BN cuba datang hendak menutup mata hati kita dengan RM, beras, projek dan sebagainya.

Sekian, UNDILAH CALON PEMBANGKANG, KALAHKAN CALON BN yang telah banyak menipu rakyat Sabah.

Ibn Sabah,   9.7.2001M.

Jumlah pembaca:orang