Erti Sebuah Keadilan

Oleh : Jane Manning, London
(Dari FAC)

Saya merujuk kepada artikel yang telah disiarkan pada 1 Julai 2001 bertajuk “Para hakim tidak perlu terlalu ghairah untuk membuktikan sesuatu perkara”, satu petikan kata-kata daripada Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Apa yang berlaku kepada badan kehakiman di Malaysia begitu menyedihkan dan ia seolah-olah mengesahkan dakwaan-dakwaan yang mengatakan bahawa badan kehakiman Malaysia tidak bebas apabila seorang tokoh utama kerajaan merasakan adalah wajar baginya untuk memperlekehkan hakim-hakim yang hanya menjalankan tanggungjawab mereka kepada mahkamah dan negara dengan menentang ketidakadilan.

Adalah merupakan satu prinsip yang asas bagi perlembagaan mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi di mana konsep Perasingan Kuasa adalah asas untuk memastikan proses yang lancar dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di dalam negara. Teori Perasingan Kuasa menyebut bahawa kewujudan badan kehakiman mestilah benar-benar bebas dari sebarang proses kerajaan.

Hakim-hakim bertanggungjawab untuk menegakkan keadilan. Mereka tidak berfungsi untuk ‘membuktikan sesuatu perkara kepada kerajaan’. Terlalu banyak keputusan-keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah pada masa-masa yang lalu yang tidak demokrasi tetapi kondusif (bersesuaian) kepada kerajaan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa mahkamah-mahkamah telah digunakan untuk kepentingan politik secara agak terang-terangan. Apabila keadilan yang sebenar dilaksanakan juga akhirnya, ia telah dilihat sebagai satu penghinaan terhadap kerajaan. Di sini satu persamaan (equation) yang nampaknya telah digunakan adalah ‘keadilan=sesuatu yang sama dengan penderhakaan’.

Kerajaan yang dipilih boleh disingkirkan sekiranya para pengundi memutuskan yang kerajaan tersebut tidak wajar diberikan kuasa pemerintahan untuk sepenggal lagi. Walau bagaimanapun, para pengundi perlu didedahkan dengan maklumat melalui perdebatan-perdebatan, perbincangan-perbincangan yang terbuka dan bebas dan media yang bebas bagi membolehkan mereka menyedari hakikat bahawa kerajaan telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya kepada mereka. Apabila suara pembangkang dibendung, rakyat diugut untuk dipenjarakan hanya kerana mereka menuntut hak-hak untuk bebas bersuara dan berhimpun secara aman dan akhbar-akhbar dikongkong maka dengan itu badan kehakiman perlulah, pada dasarnya, kekal menjadi benteng untuk memutuskan mana yang benar dan yang salah. Masyarakat perlu mempunyai jalan keluar (untuk mendapatkan pertolongan) pada satu badan yang tidak berat sebelah. Badan kehakiman yang tercemar hanya layak bekerja seiring dengan jentera rasmi kerajaan sebuah masyarakat yang korup.

Jika anda membaca rencana ini dan tidak bersetuju dengan analisis saya maka lupakanlah segala peraturan falsafah perundangan dan pertimbangkan pula kisah yang ringkas ini.

Dr. Wan Azizah menceritakan kisah bagaimana anak-anaknya berebut-rebut untuk melihat Anwar di dalam penjara semasa sesi lawatan mereka. Pembahagi cermin berkabut memisahkan mereka darinya. Kesemua anak-anaknya akan menjerit pada masa yang sama dengan cerita-cerita terpendam mereka untuk mendapatkan perhatiannya. Salah seorang menjerit mengatakan ‘gigi saya sudah luruh’.

Ia adalah saat yang memilukan kerana beribu-ribu bapa di Malaysia mungkin diberitahu akan cerita seperti ini oleh anak-anak mereka setiap hari. Tetapi anak ini terpaksa menunggu saat yang jarang-jarang sekali bersama bapanya untuk meluahkan berita yang seringkas ini. Mengapa?

Kerana para hakim di suatu tempat bekerja untuk satu agenda yang berbeza. Kepada hakim-hakim sebegini persamaan (equation) yang digunakan adalah ‘keadilan=siapa peduli?’.


Terjemahan : SPAR 09

Jumlah pembaca:orang