BOLEHKAH  MAHATHIR  DITANGKAP  BAWAH  ISA?
(Can  PM  Be   Arrested  Under  ISA)

Oleh:  Kim  Quek

09.07.2001.

Ramai manusia  yang  mungkin  terkejut  dengan  soalan  ini,  atau  berkemungkinan  menganggapnya sebagai  lelucon  semata-mata. Tetapi,  saya  serius  dan  jawapan  saya  ialah:  sudah  tentu.   Bukan  sahaja  dia  harus ditangkap  malahan   juga  Perdana Menteri itu   boleh  ditahan  selama-lamanya di  khemah  tahanan, mengikut  ‘modes operandi’ (kaedah)  penggunaan  undang-undang   ISA  yang  menyauk  beberapa  ahli pembangkang  baru-baru  ini. 

Apakah  modes  operandi  yang  digembeling  terhadap  pembangkang  Mahathir itu?  Inilah  caranya:

1.          Polis  menangkap  seorang  pembangkang   terhadap  kepimpinan  Mahathir  dengan  menggunakan  ISA dengan  alasan  dia  menggugat  ‘keselamatan  negara’  walaupun  tidak ada  sebarang  bukti  menyokong  tuduhan  itu. Yang  ditahan  itu  diperam secara berasingan   tanpa  melihat  dunia  luar,  termasuk  peguam dan ahli keluarganya,  disebabkan  ‘keselamatan  negara' seperti yang disarankan   oleh  polis.

2.           Orang  awam membantah  penangkapan itu  kepada Menteri Hal Ehwal    Dalam  Negeri,  yang  bertanggungjawab  terhadap jabatan  polis.  Menteri  yang  bertanggungjawab  memberikan  jawapannya  bahawa  dia tidak mahu  mengganggu  kerja-kerja  polis  dalam usahanya  menjaga ketenteraman  negara,  dan  memberi  penjelasan  bahawa mengikut  peraturan  ISA,  polis  mempunyai  kuasa  menahan  seseorang  selama  60  hari  untuk  siasatan.

3.          Seseorang   ahli  keluarga  yang  ditahan  kemudiannya  mengemukakan  tindakan  ‘habeas corpus’  (satu  writ  yang   memestikan seseorang   yang ditangkap  dikemukakan di  hadapan  hakim  untuk menyiasat  kesahihan  tangkapannya) untuk  mendapatkan  kebebasan  orang  yang ditahan itu. Asas  tuntutan  itu  ialah bahawa  penangkapan  itu  dianggap  ‘mala  fide’  (berniat  jahat) kerana  polis  gagal  menunjukan  barang bukti  yang  pernah  dilakukan  oleh orang yang  ditahan, dan  hakikatnya  bahawa  penahanan  itu  telah   menderanya  kerana  menidakkannya  mendapatkan  bantuan  guaman  dan  didekati   oleh  ahli keluarganya.

4.                  Ketika kes  diadili,  pihak  polis  enggan  mengemukakan  segala  butiran  untuk  menyokong  dakwaan  mereka  dengan alasan  ia menggugat  ‘keselamatan  negara’,  dan bertegas bahawa  pendedahan  segala  butiran  itu  akan  menjejaskan  keselamatan  negara.   Hakim (dalam hal ini Augustine  Paul)  bersetuju  dengan pendirian  polis itu  dan  menolak  tuntutan  habeas  corpus  dengan alasan,  apabila  ISA digunakan,  polis  tidak  perlu  memberikan butiran  terperinci   untuk  menyokong  alasan  penangkapan  mereka.

5.                       Sebelum  berakhirnya  tempoh penahanan 60 hari  itu,  Menteri  Dalam Negeri   pun menandatangani  surat  perintah  penahanan untuk  tempoh  dua  tahun  pula, langsung  menghukum  tahanan  untuk dikurung di  kem  tahanan  sepanjang tempoh  itu. Menteri  Dalam  Negeri  itu  tidak  pun  menunjukkan  sebarang  bukti  yang  menjelaskan  segala salah laku  orang  yang  dihukumnya. Mengikut  peraturan ISA,  menteri berkenaan  boleh  menyambung  lagi  penahanan    untuk  tempoh  dua  tahun itu  berulang  kali.  Penahanan bawah  ISA  tidak termaktub dalam   kajian  penghakiman. 

Jelas,  seandainya  modes  operandi itu diikuti dengan patuhnya,  bukan sahaja seorang yang tidak  berdosa boleh dianiayai  malahan  Perdana  Menteri  pun  boleh   disumbat  dalam  kem  tahanan  itu  untuk  selama-lamanya.   Ini  boleh  berlaku  seandainya  Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri  bersekongkol  dengan  seorang hakim  untuk  menangkap  perdana  menteri  mengikut  cara  yang  sama  dilakukan  terhadap  semua  tahanan  politik yang  baru  teraniaya. (Para  pembaca  diingatkan  di sini,  seorang  perdana  menteri yang  diperam  bersendirian    sudah  tentu  kehilangan  peluang  untuk  memperkasakan pengaruh  dan  kuasanya).

Saya  bukannya  mencadangkan  cara  yang  sah  untuk  memeram  Perdana  Menteri  di kem tahanan. Saya  cuma  mencadangkan betapa  hapraknya  undang-undang ISA  dan  kebinatangan perasaan  dan  keputusan  para  hakim  seperti Augustine  Paul.  Penyatuan  beberapa  undang-undang  kejam  dan  kuasa  yang  disalah-atur  oleh  para  hakim  telah  memberikan  kuasa  yang  berlebihan  kepada seorang   Eksekutif  negara    untuk merembat  seorang  rakyat  yang  tidak  berdosa  kepada  satu proses  pengazaban  dan  pemenjaraan  yang sungguh kejam.  Inilah  yang  telah  berlaku  terhadap  mereka  yang  menentang  kepimpinan  Mahathir  dan  ditahan  mengikut  ISA.

Negara menjadi  terkejut  dan  jelek apabila  kekejaman  ISA  dipanjangkan pula  untuk  merembat  sama  pelajar  universiti yang  mengecam  kerajaan  yang  berkuasa  (salah seorang  mereka  ialah  Presiden  Majlis  perwakilan  Pelajar  UM) dengan  tujuan  mencari pihak  yang bertanggungjawab  dengan kebakaran Dewan  Tunku  Chanselor.  Kalau  diambil kira   rekod  jijik  polis  dalam  memaksa mangsa mereka membuat  perakuan  dalam kisah  perbicaraan Anwar  Ibrahim, para pelajar  yang  ditahan  tanpa  sebarang  bantuan luar  itu, sudah  pun  menjadi  bahan  ratahan  seksaan  polis,  yang  memang  terkenal dengan  segala  perilaku  menzalimi  dan  memutarbelitkan  minda  mangsa  tahanan  mereka.

Semua   parti  pembangkang  dan  kumpulan  NGO  di  negara  ini  sudah pun  mendesak  secara  bersepadu  agar  pelajar  yang  ditahan  itu  dibebaskan  dengan  segera  ataupun  didakwa  di   mahkamah  terbuka. Seandainya  permintaan  ini  boleh  diterima-pakai oleh  pihak  polis, setidak-tidaknya mereka  mempunyai  hati  dan  perasaan  untuk  membiarkan  para tahanan  itu  menerima bantuan guaman  dan  bantuan  ahli keluarga  mereka. Dengan  ini  bolehlah  dielakkan  sebarang  keraguan bahawa  polis  tidak  mendera  para  pelajar  ini, memandangkan rekod  kekejaman polis  dan bayangan  dendam yang  menggeram  yang pernah diserlahkan oleh  Perdana  Menteri  terhadap   para pelajar itu.

Menggunakan  ISA  untuk  menghenyak  pembangkang  politik  yang  sah  adalah satu kerja penyangak  bedebah. Tetapi  untuk  menggunakan  akta  yang  sama  terhadap  kumpulan  pelajar  semata-mata  kerana  mereka tidak  sehaluan  dengan  Perdana  Menteri   adalah merupakan  perbuatan yang bacul  yang  tidak  boleh  dimaafkan  lagi. Perdana  Menteri mungkin  sudah keseronokan  melihatkan betapa  mudahnya  beliau  menggunakan  ISA  untuk menekan  para  penentangnya.  Akan  tetapi,  dia  harus  sedar  bahawa  dia  sudah  menghina  rakyat  negara  ini  dan  mencuit kesabaran  mereka ke  tahap  yang  paling  maksima  dengan cara menangkap, mengaibkan    dan  menyiksa  golongan  pelajar  dengan  cara  yang  begitu  kejam  semata-mata  mahu  terus  berkuasa  dan  bermegah  dengan    menghapuskan  tentangan  politik  yang  sah.  . 

Kim Quek

Diterjemahkan  oleh    SPAR   08

Jumlah pembaca:orang