Mahkamah Tolak Permohonan Halang Pilihan Raya Likas
 
 
KOTA KINABALU, 9 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas ketua Parti Bersatu Sabah bahagian Likas Bernadette Wong bersama dua orang lagi untuk mendapatkan kebenaran bagi menghalang Suruhanjaya Pilihanraya mengadakan pilihan raya kecil Likas 21 Julai ini.

Hakim Sulong Matjeraie yang mengendalikan kes itu dalam kamar, membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam kedua-dua pihak.

Raymond Szetu, yang mewakili Wong, Bidin Amat dan Ching Jak Hon, berkata hakim Mahkamah Tinggi tidak membenarkan permohonan mereka dengan alasan bahawa mereka tidak boleh menghalang SPR daripada melaksanakan tanggungjawabnya.

Mengikut undang-undang, SPR mesti mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari sesuatu kerusi diisytiharkan kosong.

Mengenai permohonan mendapatkan pengisytiharan bahawa daftar pemilih terkini bagi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Likas itu batal dan tidak sah, Szetu berkata hakim menangguhkan keputusan ke satu tarikh lain.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Azhar Mohammad dan Azizah Nawawi mewakili keempat-empat responden terdiri SPR, pegawai pengurus pilihan raya untuk Likas, pegawai yang mendaftar bagi Likas dan ketua pegawai pendaftaran bagi Malaysia.

Ketiga-tiga pengundi itu mengemukakan permohonan pada 2 Julai lepas untuk menghalang pilihan raya kecil itu diadakan sehingga gerakan semakan diadakan dan pensijilan baru dibuat terhadap daftar pemilih bagi kawasan itu.

Mereka juga memohon kebenaran untuk mendapatkan perintah mengarahkan SPR, pegawai yang mendaftar dan ketua pegawai pendaftaran, mengadakan semakan atau mengemaskini daftar pemilih Likas dengan mengadakan siasatan awam bagi bantahan terhadap nama orang yang tidak layak berada dalam daftar itu.

Pada 8 Jun, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Kamil Awang mengisytiharkan keputusan pilihan raya negeri 1999 bagi kawasan Likas sebagai batal dan tidak sah dengan alasan terdapat pengundi tidak sah di situ dan juga berlaku amalan rasuah.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu akan diadakan Khamis ini dan jika ada pertandingan, pengundian akan berlangsung pada 21 Julai.

-- BERNAMA