Likas Bakal Menjadi Lunas Kedua?

Keputusan Pilihanraya kecil Lunas telah memberi sinar harapan kepada pendokong gerakan keadilan dan kebenaran masa depan negara yang cerah bagi menjatuhkan kepimpinan BN yang berkuasa sejak Pilihanraya Umum pertama lagi. Maka keputusan bekas Hakim Pilihanraya Kota Kinabalu Dato’ Mohd Kamil Awang pada 8 Jun lalu membatalkan kemenangan BN di Likas pada Pilihanraya 1999 yang lalu seterusnya satu Pilihanraya kecil Likas akan diadakan pada 21 Julai ini.

Pilihanraya kecil Likas ini mampu menjadi seperti Pilihanraya kecil Lunas di mana parti alternatif dari KeADILan mampu mengalahkan BN yang disokong oleh pelbagai jentera kerajaan. Antara perkara penting demi merealisasikan kemenangan parti alternatif di Likas ialah kewujudan pertandingan satu lawan satu. Inilah yang amat digeruni BN sekiranya parti pembangkang dapat mengenepikan kepentingan parti masing-masing dan seterusnya bersepakat menghantar satu calon sahaja untuk berdepan dengan calon BN.

Politik Sabah amat berbeza dengan senario politik Semenanjung di mana pembangkang (khususnya PAS) telah berpengalaman salah percaturan dengan memainkan isu yang lebih relevan di Semenanjung seperti kezaliman penguasa terhadap Anwar Ibrahim pada Pilihanraya Sabah tahun 1999. Justeru, pada pandangan saya, Likas hanya wajar ditandingi oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) berbanding KeADILan yang cukup berminat dengan kerusi itu memandangkan faktor tempatan yang lebih berpihak kepada PBS sebagai parti pembangkang dominan di Sabah. PBS yang telah lama berpengalaman dengan kancah politik Sabah didapati mempunyai peluang yang besar untuk memenangi kerusi Likas.

Sebagai penyokong gerakan keadilan dan kebenaran yang ingin sekali melihat kemenangan parti Alternatif di Likas, saya mengharapkan KeADILan tidak mempunyai sifat tamak dan seterusnya sedia memberi peluang dengan berlapang dada kepada PBS sebagai sekutu Barisan Alternatif (BA) di Sabah (walaupun tidak rasmi, tetapi matlamatnya sama untuk menghentikan hegemoni politik BN) untuk berpeluang bertanding di situ.

Sekiranya ini dapat berlaku, maka BA dengan berbesar hati walaupun tidak bertanding dalam pilihanraya kecil itu sedia memberi pertolongan jentera pilihanrayanya semaksima mungkin kepada PBS supaya BN dapat dikalahkan. Bagi saya ini amat penting kerana BA yang masih baru dalam kancah politik Sabah (walaupun PAS sudah lama bertapak di Sabah) dapat menggunakan pengalaman dalam pilihanraya kecil Likas ini untuk merangka taktik berkesan menjelang pilihanraya umum pada 2003 atau 2004 nanti khususnya bagi merampas Sabah dari BN beserta dapat merapatkan hubungan dengan PBS semoga ia terbuka untuk menyertai BA.

Semoga pandangan saya yang lemah ini mungkin dibaca oleh pihak terbabit dan saya mengalu-alukan sebarang pandangan dari pembaca.

LIKAS SEBAGAI LUNAS KEDUA! HANCURKAN HEGEMONI BN DI MALAYSIA!

Abu Mujahed Abdullah Azzam
Mpkangar@yahoo.com

Jumlah pembaca:orang