Likas: Satu Lawan Satu Agak Sukar...

Sekalipun para pimpinan parti-parti pembangkang pusat dan di Sabah serta sebahagian besar majoriti rakyat yang menginginkan satu perubahan di sini, mahukan formula "satu lawan satu" dalam pilihanraya kecil DUN Likas. Gambaran setakat ini, agak sukar untuk melihat formula mujarab "satu lawan satu" bagi mempastikan BN tersungkur di Likas dan parti pembangkang ditabal selaku juara pada pengundian 21 Julai ini.

Kerana terdapat banyak faktor dan halangan yang masih belum dapat di atasi dalam masa terdekat ini oleh pelbagai parti pembangkang di Sabah. Bukan bermakna parti-parti pembangkang Sabah tidak boleh duduk di meja rundingan atau tidak boleh bersatu. Penulis masih optimis pembangkang boleh bersatu di Sabah untuk melawan BN, bagi membebaskan rakyat dan Sabah dari angkara pemerintahan BN yang banyak menyusahkan rakyat, mungkin tidak di DUN Likas. Insya-Allah, kita berharap dan berdoa, mudah-mudahan akan menjadi kenyataan pada pilihanraya umum negeri 2003/4 akan datang.

Mungkin juga pemimpin-pemimpin pembangkang di Sabah yang terdiri PBS selaku pembangkang terkuat di Sabah, DAP, KeADILan, PAS dan parti-parti kecil seperti Setia dan Bersekutu belum membuat sebarang link atau jaringan hubungan langsung, kecuali DAP, KeADILan dan PAS yang sudah kuat di peringkat pusat. Walaupun, kali ini di Likas PBS tetap harapan pembangkang di Sabah untuk menawan DUN Likas, parti-parti pembangkang lain terutama KeADILan Sabah dan penyertaannya di pilihanraya Likas ini, sebagai menggantikan tempat PAS rakannya dalam BA, adalah satu percubaan menguji pengaruh tentang sejauh mana pengundi Likas dan rakyat Sabah umumnya menerima pendekatan politik baru yang mereka hendak bawa dan terapkan di dalam arus politik Sabah.

Penyertaan KeADILan dalam pilihanraya kecil DUN Likas ini, lebih ke arah mendekati hati nurani rakyat, memahamkan mereka sebuah politik baru yang lebih telus, prihatin, demokratik dan sebuah kerajaan lebih amanah dan baik, apabila berkuasa nanti bersama rakan-rakan pembangkang lain di Sabah. Kita memfokuskan KeADILan di Likas, kerana suasana kefahaman dan pemikiran politik rakyat Sabah masih jauh dari arus kekuatan sinar pengaruh PAS sebagaimana di Semenanjung. Tetapi PAS tidak boleh undur atau mengharap bulat-bulat kepada KeADILan di Sabah. Apa yang penting antara PAS, KeADILan dan DAP di Sabah hendaklah saling berganding bahu dan bekerjasama.

Lagipun, prospek KeADILan di Sabah sangat baik, merupakan saingan kuat kepada UMNO/BN di kawasan-kawasan bumiputera Islam dan kawasan 50-50. Inilah kekuatan KeADILan dan insya-Allah mampu menyaingi pengaruh UMNO Sabah yang kian hari kian menurun di Sabah. Kerana UMNO Sabah kekuatannya hanya bergantung pada kuasa yang mereka pegang, wang ringgit, kebendaan lain dan sokongan tauke-tauke. Tanpa semua ini UMNO Sabah akan gulung tikar itulah pandangan beberapa kawan dan rakan. Dan PBS tetap dominan dan kuat pengaruhnya di kawasan-kawasan bumiputera non-muslim dan juga kawasan bandar yang pengundinya ramai etnik Cina.

Walaupun semangat rakyat dan semangat Lunas masih membara untuk melunaskan segala hutang-hutang rakyat kepada UMNO/BN dan sekutunya. Kita terpaksa akur dengan situasi Likas yang jauh berbeza dengan Lunas di Kedah. Kita belum meyakini 100% daftar pemilih DUN Likas yang dikatakan bersih oleh Datuk Khalil dan SPR sendiri akan bersih sebersih-bersihnya dari elemen pemilih warga asing/PTI dan pemegang kad pengenalan palsu. Apa lagi dalam suasana Yang Arif Hakim boleh di telefon untuk mengatur keputusannya, lebih lagilah dengan SPR yang dikatakan ramai pemerhati, bahawa SPR menjadi kuda dan JPN juga mudah diperkudakan oleh parti pemerintah yang tamak kuasa itu, tentu lebih senang diarah dan dicucuk hidung oleh parti pemerintah yang sudah hilang maruah dan harga diri mereka.

Akhirnya, adalah tidak juga mustahil bahawa pembangkang boleh membuat kejutan di Likas. Sekalipun kekuatan kebendaan untuk mempengaruhi hati rakyat yang terhimpit hidupnya tidak memihak kepada parti-parti pembangkang, berbanding UMNO/BN yang akan mempergunakan semahunya jentera kerajaan, harta rakyat dan kerajaan dengan menabur RM, projek mee segera, ratusan kampit beras dan kebendaan lainnya. Kerana, Allah Maha Berkuasa untuk membolak-balikkan hati hamba-hamba-Nya untuk menyokong parti pembangkang yang lebih baik, berwibawa dan beramanah.

Rakyat dan pengundi Likas marilah kita undi dan menangkan calon pembangkang di Likas untuk satu langkah ke arah perubahan politik dan kerajaan negeri lebih baik, demokratik dan beramanah pada tahun 2004 nanti. Sekian.

Ibn Sabah,  
10.7.2001M

Jumlah pembaca: orang