Berhati-hati Menabur Janji di Likas

Nampaknya, BN sudah dan telah memulakan kempennya di Likas dengan kehadiran beberapa pemimpin UMNO pusat terdahulu Datuk Muhyiddin Yassin telah masuk kampung di Pulau Gaya membawa beratus kampit beras, diikuti oleh Datuk Khalil Yaakub, Menteri Penerangan dan bekas MB Pahang yang merompak balak dan penyelewengannya semasa menjadi MB dulu yang sudahpun dibuat aduan kepada polis telah turut masuk kampung di Pulau Gaya bagi maksud sama merayu undi masyarakat kampung di sana.

Rakyat dan umum mengetahui, penduduk Pulau Gaya yang akan dipindahkan ke Kg. Boronuon, Telipok secara kontroversi kerana ramai penduduknya adalah warga asing/PTI yang dilindungi oleh mereka yang berkepentingan politik khususnya. Pemimpin pusat UMNO dan BN pusat jangan terlampau percayakan juak-juak UMNO Sabah dan golongan pengampu UMNO Sabah dalam hal berkaitan Pulau Gaya dan penduduknya yang didaftar sebagai ahli UMNO. Bukan juga kita menuduh bahawa semua penduduk Pulau Gaya itu warga asing/PTI dan berasal dari negara jiran Filipina, jangan seperti kenyataan Datuk Bandar DBKK baru-baru ini, asalkan mereka ada IC biru adalah warganegara Malaysia. Tanpa melihat palsu atau tidak, sedangkan terbatalnya DUN Likas adalah sebab utamanya warga asing/PTI didaftar sebagai pengundi, pengunaan IC palsu dan pengundi hantu.

Apakah kerana hendak menang di DUN Likas, UMNO, SAPP dan sekutunya dalam BN sanggup menggadai maruah dan kedaulatan rakyat dan negara sehingga sanggup menipu pemimpin UMNO dan BN pusat seperti mendaftarkan warga asing/PTI sebagai ahli UMNO dan pengundi di Likas. Sedangkan kerajaan pusat bertungkus lumus hendak mengatasi kebanjiran warga asing dan PTI di Sabah melalui task force atau Bahagian Penguatkuasa kerajaan pusat di Sabah dengan bantuan polis, tentera, Imigresen dan juga jabatan-jabatan lain.

Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, kita mempunyai undang-undang dan perlembagaan dalam menentukan kerakyatan warga asing/PTI menjadi warga negara. Dan warga asing/PTI cukup mudah untuk menjadi pengundi atau warga negara cukup dengan menjadi ahli UMNO atau mana-mana parti komponen BN dapatlah mengundi, IC, peluang berniaga, dapat lesen, permit dan macam-macam lagi. Apakah pemimpin UMNO Sabah bodoh sangat untuk memahami undang-undang yang boleh atau tidak warga asing jadi ahli UMNO dan jadi warga negara, kemudian menjadi pengundi dan pengundi hantu.

Rakyat yang celik politik, ada jati diri bangsa dan bermaruah di kampung-kampung pun tidak sebodoh pemimpin UMNO Sabah sama ada di peringkat cawangan, bahagian dan negeri, untuk sanggup mengiktiraf rakyat asing/PTI sebagai ahli UMNO, sebagai pengundi dan pengundi hantu dihantar ke mana-mana DUN untuk mengundi memenangkan calon BN dalam pilihanraya. Kita cukup kecewa dengan kepimpinan UMNO Sabah tidak bersikap tegas dan berani dalam mengatasi isu warga asing/PTI yang sudah berada di peringkat serius di Sabah. Malah mereka mengambil kesempatan dengan mendaftarkan warga asing sebagai ahli UMNO dan pengundi di setiap kali pilihanraya.

Akhirnya, melalui coretan dan tulisan ini kita mengharapkan akan adalah kesedaran pimpinan UMNO dan BN pusat untuk menasihati segelintir pimpinan UMNO Sabah yang sudah hilang jati diri bangsa. Kita minta pimpinan UMNO/BN pusat lebih berhati-hati dengan lakonan UMNO Sabah, kononnya ramailah ahli UMNO Sabah, pada hal semuanya warga asing/PTI yang diumnokan melalui proses pintu belakang dan tidak menuruti undang-undang negara. Kita juga menaruh harapan agar pimpinan UMNO Sabah yang sedar supaya dapat memperbetulkan penyelewengan yang sedang membarah, khususnya dalam isu warga asing/PTI diUMNOkan untuk membanyakkan ahli. Tapi hakikatnya amat berbahaya kepada agama, bangsa dan negara Malaysia yang kita cintai ini. Sekian.

Ibn Sabah,  
10.7.2001M

Jumlah pembaca:orang .