UMNO Sabah Jangan Bersandiwara Lagi...

Rakyat marhaen Sabah sudah masak dengan sepak terajang politik UMNO/BN di Sabah. Bermula dari ketua perhubungannya, barisan pimpinan UMNO negeri, pemuda, wanita, puteri, ketua cawangan dan juga ketua bahagiannya lebih banyak bersandiwara seperti rakan-rakan mereka di Semenanjung. Bab mengampu, memuji-puja, cium tangan presiden dan kipas-mengipas jangan tanya itulah kerja amal mereka demi untuk survival politik, untuk pastikan kantung kembung, poket penuh, perut buncit dan projek dalam tangan.

Sungguhpun begitu, kita masih percaya bahawa masih ada segelintir ahli dan pimpinan UMNO Sabah yang benar-benar tergolong orang yang jujur, ikhlas, amanah dan berwibawa. Tetapi kasihan mereka itu ibarat melukut di tepi gantang atau lalang yang akan condong arah mana tiupan angin di situlah condong dan rebahnya. Mereka ini tiada kekuatan yang boleh mengegarkan ombak besar dalam UMNO Sabah. Kekuatan mereka tersembunyi dalam kalbu kecil hanya didengari oleh bisikan mereka yang prihatin kepada keikhlasan. Namun, bisikan kebenaran hati mereka masih didengari oleh Allah SWT. Hanya kerana takut perut lapar, kereta besar ditarik dan projek habis, mereka terpaksa akur, patuh dan diam membisu sejuta bahasa menanti waktu terlepas dari penjara penyiksaan jiwa yang dicipta sendiri.

Bukankah lebih beruntung terjun ke lautan perjuangan sebenar sebagaimana DS Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya yang masih setia kepada perjuangan rakyat dan kebenaran, sekalipun dihumban ke penjara oleh penguasa rakus, zalim dan kejam. Di sinilah nikmat dan erti sebuah perjuangan kebenaran, rakyat dan demi menegakkan keadilan dan demokrasi sebenarnya. Apakah ada di kalangan pimpinan UMNO Sabah, andai adapun hanya beberapa kerat orang sahaja.

Kerana itu, UMNO/BN Sabah dipenuhi oleh manusia-manusia yang berjiwa kerdil, pengampu, pelakon, sandiwara dan bermata kebendaan, pangkat, kedudukan dan RM. Mereka sanggup mengUMNOkan warga asing/PTI, menyokong mendapat IC, memberi tapak tanah, menyokong pemindahan setinggan Pulau Gaya yang masih diragui status warga negara dan sebagainya. Kenapa pemuda UMNO Sabah tidak bersuara dalam isu ini, kenapa pemuda UMNO Sabah sebagai sayap kanan parti tidak berani menyuarakan pandangan supaya pemindahan tersebut ditangguhkan, dan begitu juga mana pemimpin-pemimpin UMNO Sabah yang lain. Melainkan, kerana penduduk Pulau Gaya dan juga warga asing/PTI di Sabah lebih banyak menguntungkan politik UMNO khususnya dari segi pengundi dalam pilihanraya. Kalau inilah kekuatan dan kemenangan UMNO iaitu, berada dalam tangan pengundi warga asing/PTI yang dieksploit, adalah lebih baik UMNO jangan ikut mana-mana pilihanraya di Sabah.

Kita minta UMNO Sabah, tinggalkanlah segala sandiwara, lakonan dan amalan budaya ampu sana ampu sini. Kembalilah kepada jati diri bangsa, agama dan sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat lagi merdeka. Cukuplah, sudahlah terlalu bergantung harap kepada undi warga asing/PTI dan pengundi hantu. Banyak bahaya daripada kebaikannya kerana melindungi warga asing/PTI untuk menjadi penyokong UMNO/BN di Sabah. Hentikanlah kerja-kerja berbahaya kepada diri, keluarga, bangsa, rakyat, negeri dan negara Malaysia. Kita harus dapat membeza antara hubungan kekeluargaan dengan kewarganegaraan. Hubungan keluarga kita dengan warga negara di Indonesia kah, atau Filipina kah atau di England kah atau di mana-mana negara sekalipun di dunia ini tidak akan terputus, tetapi hak kewarganegaraan keluarga kita di negara lain itu di Malaysia memang tidak ada, sebagaimana kita juga tidak punya hak sebagai warga negara di negara keluarga kita di Indonesia, Filipina, England atau Amerika itu. Apa lagi hak untuk mengundi atau memilih pemimpin dan lain-lain keistimewaan sebagai rakyat Malaysia.

Akhirnya, inilah sewajarnya difahami oleh ahli dan pimpinan UMNO Sabah disemua peringkat. Mudah-mudahan semua kita akan sedar sesedar-sedarnya akan kewajiban kita menjaga dan memelihara keselamatan, kedaulatan, kemerdekaan kita, rakyat, dan bangsa Malaysia yang majmuk ini. Sekian.

Ibn Sabah,  
10.7.2001M

Jumlah pembaca: orang .