Apabila Jonah Dibawa Pergi
(When they took Jonah away)

Susan Loone


Antara reaksi masyarakat melihatkan Jonah dicekup polis pada Khamis lalu, ramai yang bertanya-tanya apakah kerajaan sudah sama (terikut Mahahtir) naik gila.

Ruang kedai kopi dan warung-warung sudah kerap mendengarkan rintihan marhaen: “Mereka sudahpun menangkap orang politik, para aktivis masyarakat, alim ulama, karyawan dan kini otak mereka sudah kemuflisan sehingga sanggup mencekup seorang aktivis pelajar".

“Sebelum ini mereka menangkap kumpulan suami, kanak-kanak, bapa, ibu, sahabat dan kekasih. Siapakah yang sanggup berkata mereka akan menghentikan semuanya?”

Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, yang juga dikenali sebagai Jonah, adalah tahanan terbaru ISA. Beliau adalah seorang pelajar cemerlang jurusan kejuruteraan dan merupakan ahli satu kumpulan pelajar yang bergiat cergas dengan nama yang amat dikenali sebagai Universiti Bangsar Utama (UBU). Satu ketika dulu kumpulan pelajar ini dikenali dengan gelaran Gerakan Mahasiswa Lantang (Vocal Graduates Movement).

UBU telah berjaya melancarkan beberapa projek kemasyarakatan seperti menganjurkan tuisyen percuma kepada warga pelajar yang miskin di Bangsar-Pantai Dalam. Kumpulan siswa-siswi ini memang berbakat kerana adakalanya mereka berlakon dalam satu kumpulan teater bernama Kumpulan Teater Bukan Teater.

Jonah memang gemar berlepak di Restoren Mydin di Bangsar Utama. Dia amat risaukan kucing-kucing kepunyaan Hishamuddin Rais – seorang pengarah filem, karyawan dan kolumnis Malaysiakini – salah seorang antara enam insan yang ditahan di Kem Kamunting sejak 2 Jun, selama dua tahun di bawah ISA. Isyam adalah sahabat kumpulan ini.

Jonah sudah lama mengusahakan agar ada sesiapa yang sanggup menyewa bilik Isham kerana beliau tidak lagi mampu membayar hutang sewaannya sejak diajak menghuni tempat keramat itu.

Baru satu minggu yang berlalu, ketika Jonah memberitahu beberapa wartawan di kedai mamak itu: “Isham telah muak membaca buku falsafah dan politik. Dia mahu mulakan membaca fiksyen, dan cerita percintaan. Dia mahu makan asam-asam kering dan juga bawang putih jeruk.’

Jonah adalah seorang anak muda yang berbakat dan berhati mulia. Dia gemar berlepak dengan kawan dan taulannya untuk membincang dan berdebat akan masalah masyarakatnya, mengenai senario politik negara ini dan apakah yang patut mereka lakukan untuk meringani bebanan masyarakat, sebagai persiapan diri menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Pemusnah Kerukunan Rumahtangga

Semakin ramai rakyat Malaysia kini menganggap ISA sebagi pemusnah kerukunan rumahtangga; satu penceroboh, yang menghambat kerukunan pertalian persahabatan terbaik di dunia ini. Itu sebabnya mereka mengcop undang-undang jijik itu sebagai ‘zalim’, penuh ‘kontroversi’, ‘drakonian’dan ‘amat menakutkan’ .

Ia tidak lagi setakat bagaimana anda diculik, diperam secara tidak menentu untuk bersendirian tanpa ada hubungan luar, dalam sebuah kamar kecil yang gelap gelita tanpa diberitahu kenapa - mereka berkata sesiapa yang mengheret anda tidak perlu memberitahu alasannya, di mana anda berada dan untuk berapa lama anda akan diperamnya.

Adalah mengaibkan kalau mereka berkata: “Anda adalah satu ancaman kepada negara. Anda boleh mencetuskan ribut-ribut di jalanan. Anda boleh bikin negara tungang-langgang. Anda boleh bikin bakal pelabur lari pulang.”

Inilah kata mereka, “Bahawa anda adalah berbahaya” dan ramai juga antara kita yang mempercayai mereka.

Bagaimanakah manusia seperti Jonah memerangi gangguan ini? Bagaimanakah mereka menangani ugutan demikian? Bagaimanakah mereka menenangkan fikiran bahawa “Ini bukan penamatnya. Ini hanya permulaan. Ini bukannya mengenai pemenjaraan. Ini adalah kisah kebebasan.....?”

Seorang bekas tahanan pernah berkata bahawa cara terbaik memerangi ISA ialah dengan menghumbankan segala rasa ketakutan. Baru boleh jadi berani. Baru boleh berkata, “Seandainya berfikir, bertindak dan bersuara bebas itu satu jenayah, ayuh...!!!! heretlah aku ke lubang tahanan, serahkan aku pada algojo, ke hadapan barisan penembak dengan penuh kerelaan. Aku hanya mempunyai satu nyawa sahaja untuk dikorbankan demi negaraku ini.”

Hidup Yang Penuh Pancaroba

Dalam bukunya “The Joys of Living Dangerously”, mendiang agamawan Osho pernah berkata; “Keberanian itu bukan hasil hilangnya ketakutan. Sebetulnya ia merupakan kewujudan keseluruhan perasaan takut itu, sehingga menonjolkan keberanian untuk menghadapinya.”

“Setiap kali kita berdepan dengan tidak-ketentuan yang merobah hidup kita, ia sebetulnya merangsang satu sambutan untuk berceria. Daripada terus berpaut kepada yang kebiasaan, kita boleh menikmati peluang untuk meneroka dan mencuba, sambil menyelami teka-teki hidup ini dan juga dunia yang di sekeliling kita.”

Osho menambah, “Inilah dia keberanian untuk melakukan perubahan apabila perubahan itu diperlukan, keberanaian untuk mempertahankan kebenaran walaupun adanya suara sumbang menyanggahnya, dan keberanian untuk mencuba yang baru walaupun ada ketakutan kepada fahaman itu - dalam hubungan kita, dalam kerjaya kita, ataupun dalam pengembaraan untuk menyelami siapakah kita ini dan kenapakah kita berada di sini.”

Mungkin juga, rakyat akan terhibur seandainya Perdana Menteri Mahathir Mohamad dapat memberikan penjelasannya apa sebenarnya maksud beliau dengan perkataan “keselamatan negara.”

Kenapkah untuk jenayah serupa itu, orang yang didakwa bersalah sebelum ia didapati tidak bersalah? Apakah yang sudah jadi kepada hakikat insani bahawa ‘seseorang itu tetap tidak besalah selagi ia tidak didapati bersalah dengan bukti yang malampaui keraguan' di mahkamah undang-undang?

Mahathir sudahpun mempertahankan tindakan menangkap Jonah sambil berkata para pelajar tidak boleh mengatasi undang-undang. Dia mengatakan bahawa ISA boleh digunakan terhadap sesiapa sahaja yang didapati mengancam ‘keselamatan negara’.

Pengadilan Yang Saksama

Jadinya, jenayah yang mengancam keselamatan negara melayakkan penahanan tanpa perbicaraan. Alangkah hapraknya fahaman ini apabila bomoh Mona Fandey yang mengerat seorang pemimpin UMNO kepada 18 potongan boleh menerima pengadilan yang saksama. Dia kini sedang menunggu penghukumannya setelah dihukum gantung sampai mati.

Seorang pemandu bas yang dituduh merogol, dan kemudiannya membunuh mangsanya di Kelang baru-baru ini, sedang diadili di sebuah mahkamah terbuka.

‘Binatang’ yang baru-baru ini merogol dan membunuh seorang gadis sunti berusia 16 tahun di Melaka dengan tali beg sekolahnya ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah, sudah pasti akan dibicarakan dengan adilnya.

Namun, kepada ahli parti pembangkang dan aktivis pelajar seperti Jonah, undang-undang ISA itu hanyalah laksana satu undang–undang berfesyen sahaja - untuk diajadikan satu alasan yang popular oleh pihak yang berkuasa untuk mencabar hak-hak perlembagaan rakyatnya.

Bukankah kebebasan berbicara, kebebaan bersuara dan kebebasan perhimpuanan manusia adalah termaktub dalam Deklarasi Sejagat Mengenai Hak Asasi Manusia yang merupakan hak yang dijamin dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dewasa ini, seandainya anda disyakki mengedar dadah, mengklon telefon bimbit, terbabit dengan kemusnahan ataupun ajaran sesat, anda berkemungkinan menerima nasib yang ditanggungi manusia seperti Jonah, yang dimangsakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, yang akan membuat ketentuan apakah anda akan merengkok selama dua tahun yang terdekat ini ataupun lebih lama lagi tempohnya dalam kem tahanan

Semakin ramai manusia yang sedar betapa sebab-musabab dihalang sesuatu upacara (sama ada berbentuk politik, sosial ataupun apa sahaja) dengan berasaskan ancaman terhadap ‘keselamatan negara’ itu merupakan hak mutlak kerajaan yang memerintah.

Tidak ada seorangpun rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan inginkan kemajuan negaranya merelakan keamanan itu tercemar sehingga menjejaskan keharmonian yang dinikmati oleh semua.

Namun kerana mahu maju, bertindak bijak dan berwawasan, rakyat Malaysia, terutama sekali warga pelajarnya, kerap mengemukakan soalan untuk mendalami pengetahuan mereka, bertanya-tanya apakah kemungkinan wjudnya kesalahan, ketidak-adilan, dan kepincangan perjalanan sistem negara (selaras dengan kempen kaedah berkualiti dan aspirasi kepincangan sifar persis yang tergambar pada poster yang terlekat di dinding pejabat kerajaan?)

Sebagai rakyat yang cintakan Malaysia, rakyat perlu bersatu padu, dan mengnyahkan apa juga bentuk keganasan dan kepincangan terhadap keadilan asasi, baik secara setempat ataupun sejagat. Ini memerlukan mereka mengamalkan kebebasan untuk membezakan apa yang salah dan apa yang hak, kebebesan untuk sama berjuang sebagai individu yang berwawasan yang mampu mencapai perjuangan itu.

NGO Yang Prihatin

Kesedian kerajaan melayan pertanyaan, membolehkan wujudnya satu pentadbiran yang terbuka dan tulus dan memudahkan pemerintahan yang bertanggungjawab. Apabila rakyat marhaen menyoal sesuatu ia tidak seharusnya dianggap sebagai satu kutukan, pengaiban ataupun ejekan. Seharusnya ia dianggap sebagai cadangan yang boeh membawa perubahan yang selaras dengan keazaman kerajaan untuk mentadibr dengan Bersih, Cekap dan Amanah untuk membolehkan negara memasuki gerbang abad ke-21 dan mencapai wawasan 2020.

Individu yang gemar menyibuk seperti para wartawan, dan persatuan-bukan-kerajaan (NGO) kerap sangat dihina oleh perdana menteri sebagai ‘tidak bersyukur, berlagak sebagai agen asing, tidak patriotik dan bersekongkolan dengan pembangkang’. Para wartawan dan aktivis NGO sering menjadi mangsa kemarahan kerajaan melalui ISA sejak dulu lagi.

Sebenarnya para NGO wujud sebagai kumpulan sokongan kepada usaha kerajaan. Mereka mempunyai dana yang terhad dan kalau adapun aset yang mereka miliki terletak kepada ‘individu yang perihatin dan punyai rasa tanggungajab’ yang bertungkus lumus di sebalik tabir untuk membetulkan kepincangan sosial ke arah masyarakat yang lebih selesa hidupnya.

Mereka tidak menafikan adanya segelintir kambing hitam di mana juga, tetapi kebanyakn NGO wujud di negara ini untuk memberikan pandangan alternatif sebagai satu tambahan kepada pilihan dan sumber bagaimana menjadikan dunia ini satu tempat yang lebih selesa untuk dihuni oleh semua.

Bagaimanakah semua usaha yang murni ini dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan negara? Lainlah kalau takrif ‘keselamatan negara’ itu mempunyai makna yang berbeza antara manusia di pelbagai tahap kehidupan mereka? Inilah yang tidak dapat dimengertikan oleh sesiapa sehinggalah dia diheret pergi kepada satu tempat yang tidakpun diketahui seperti yang dialami oleh Jonah.

Apabila hak hebebasan untuk berbicara disanggah dan dicabar, walaupun terpenjara pemikiran kita, dan terikat lidah yang ada; ia tidak mampu menyekat kemaraan semangat yang semakin hangat. Ini boleh merupakan satu ancaman yang lebih besar terhadap keselamatan negara daripada unsur yang lain rupanya.

Mereka yang taksub dengan penggunaan ISA harus memikirkan perkara ini.


Susan Loone
(wartawan Malaysiakini)

Jumlah pembaca:orang