Balak  Yang  Tumbang  Siapa  Yang  Kenyang 
(For  Whom  The  Trees  Fall) 

oleh:  Harun  Rashid

Ada  sebuah mahligai purba yang  dijual pada bulan ini yang  merupakan penjualan  paling termahal  di England.  Pembelinya ialah  Raja Muda  Pahang.  Mahligai  yang mempunyai 30 kamar  itu berharga  70 juta  pound sterling, yang bersamaan dengan  RM370 juta.

Mengikut  bancian  2000, di  seluruh  negeri  Pahang  ada  63,000  perumahan yang menampung  283,000 penduduk.  Kalau dicongak secara  mudahnya,  apa yang telah dihamburkan  oleh   Tengku Mahkota untuk   kuda  polo  yang  diminatinya itu adalah bersamaan  dengan   pendapatan  setengah tahun sumber  pencarian  setiap keluarga  di Pahang.  Ini  juga  bersamaan  dengan  bayaran 25 peratus  untuk  membeli setiap  buah rumah  yang  diperlukan oleh  rakyatnya.

Bayangkanlah,  harga  sebuah  rumah  yang baru     untuk setiap  empat  keluarga di Pahang, telah  dibazirkan   untuk  membeli  sebuah mahligai  yang  bertujuan untuk mempermudahkan  permainan polo seorang anak raja  di  perantauan  orang  putih (sedangkan  anak raja  itu  bakal  mewarisi takhta  daripada  ayahandanya). Belanja untuk  menyelia  harta  itu  sahaja  dianggarkan  sekitar  RM5.3  juta,  yang jauh lebih  tinggi  daripada   pendapatan  orang   professional  di  Pahang.

Kita  boleh  bayangkan  juga  kesan faedah ekonomi  kepada  rakyat  Pahang seandainya Raja  Muda  tumpukan  usaha  untuk  menaikkan  taraf  hidup  rakyatnya daripada membazirkannya  itu  kepada  kuda-kuda  dan nafsu-nafsinya.  Agama ajarannya telah mengarahkan  beliau   memberikan  contoh yang terbaik  dan  bukannya menunjukkan contoh kerakusan  dan  pembaziran  wang  dan harta kekayaan  yang  tidak  pun diperolehi melalui  titik  keringatnya.  Dia  bermain  polo  dengan  rakan diraja Inggeris di padang  mainan yang  nun jauhnya,  sedangkan rakyat   Pahang  bertungkus lumus kais pagi makan  pagi,  kais petang  menjeruk  hati.

Raja Muda  memang  merupakan  kawan  permainan  polo  kepada  Putra  Charles daripada istana Buckingham.  Permainan  polo  memerlukan  pemerhatian laksana  kemahuan seorang gundek,  sehinggakan  tidak banyak ruang untuk  melaksanakan tugasan  istana  ataupun persediaan  untuk  menyiapkan  diri  mengambilalih  takhta  diraja. Seorang tokoh radio dan  penunggang  kuda  terkenal Amerika,  Arthur  Godfrey pernah berkata: “Ada sesuatu yang terdapat  pada  kelakuan  kuda  yang  sesuai  untuk  mencekalkan  hati seseorang insan.”  Dia merujuk  kepada  keadaan  kuda yang  tahan lasak,  yang menyumbang kepada lanjutan  usia. Tetapi  tidak  ada  pula  yang  merujuk  kepada  kebaikan kemanusiaan.

Para menteri kerajaan  yang  memerintah  di  Malaysia  walaupun bukan  daripada warga istana,  memang  memiliki rumah dan mahligai yang besar-besar. Ramai yang mempunyai hartanah  yang luas  dan mahal-mahal,  yang dipagari tembok tinggi  yang dihiasi jeriji besi waja untuk menghiasi  pintu  pagarnya.  Mereka menggaji pegawai keselamatan berbangsa  Gurkha  yang pernah  dilatih  oleh  kerajaan  British  dulu  dan kini ditempatkan  untuk menjaga pintu  masuk yang  dihiasi warna emas-emasan. Pengawal keselamatan  (yang  diimpot khas)  tidak  merelakan  pengambilan gambar. Memang tidak mudah   untuk mencongak  perbelanjaan  mendapatkan  segala  harta  itu  dengan pendapatan  rasmi  para  pemiliknya  ataupun  memikirkan betapa pemilikan itu benar-benar  mematuhi  ajaran  agama  Islam  mereka.

Dua negeri  di  pantai  timur,  Kelantan  dan  Terengganu, kini ditadbir oleh  PAS.  Di dua  negeri  itu  pemilikan  harta   oleh para pemimpin  negerinya  memberikan perbandingan  yang amat  menarik  sekali.

Kedua-dua  Menteri  Besar  PAS  menduduki   rumah  kediaman  di kampung  yang sungguh   sederhana  keadaannya  kerana itulah  juga  kediaman  mereka sebelum memenangi pilihanraya. Mereka tidak  mengamalkan  cara hidup  yang mewah-mewah  seperti amalan orang yang  terdahulu  dalam  kerajaan  yang  mereka kalahkan. Cara  hidup begitu  telah diamalkan oleh Menteri Besar  Kelantan  sejak 11  tahun  yang lalu  dan itu jugalah stail  cara hidup  yang diamalkan  oleh  Menteri  Besar  Terengganu  yang  baru.

Di  Kelantan  dan Terengganu,  hari  Jumaat  ialah  hari  cuti am. Rakyat memasang badan untuk berhimpun menghadiri kuliah  subuh  yang  diberikan  oleh Menteri Besar mereka.  Mereka penuhkan auditorium  sehingga sendat  dan  jalan raya  pun dipenuhi juga kerana  ketiadaan tempat. Mereka datang  berbondong-bondong  bersama  anak-anak, duduk dengan khusyuknya mendengar  kuliah untuk  dua  jam lamanya  sambil  pancaran suria memanah  muka. Mereka mengajak anak-anak untuk bersama agar mereka juga turut merasakan nikmat  pengalaman  mendekati Tuhan. Jelas  di  wajah  terpancar  keceriaan yang dihiasi senyuman. Tidak  ada  wajah  yang  berkerut  sebagai lambang  kehidupan perit yang  menjerut.  Memang jelas  wujudnya  kekayaan  semangat  kerohanian.

Memang  sungguh menakjubkan melihat   ramainya keluarga  yang berhimpun memenuhi jalan raya  untuk  menghadiri  kuliah yang dapat  membersihkan jiwa  dan membawa ketenangan minda kepada mereka yang  amat memerlukannya.   Kuliah  semacam  itu tidak wujud  di bahagian  selatan  negara. Memang sukar  mendapatkan seorang-dua pimpin  yang mempunyai  karisma  begitu  hebat  yang mampu menarik perhatian  umat. Memang amat  beza perbandingannya.  Di bahagian  utara  (pantai timur)  wujud  kekayaan  rohani di tengah-tengah  kemiskinan  duniawi,  sedangkan  di bahagian  selatan  memang terdapat kekayaan  duniawi  yang dibaluti     kemiskinan  rohani.

Berbalik kepada kisah pembelian  mahligai di England itu; pada  tahap awal tersebar beritanya  ramai  yang  menyangkakan  seorang  Sheikh Arab  Timur Tengah  adalah pembelinya. Anggapan itu  bersandarkan  sejarah  pembelian  rumah  besar lama-lama  di sana  yang  kerap  diongkosi oleh  hasil minyak  (dan  gas)  - sumber  asli yang  turut disalahgunakan.  Akan  tetapi, bersalahan  dengan  anggapan  umum itu, kali ini pembelinya ialah  seorang anak raja melayu, yang turut  menyalahgunakan  sumber asli hasil mahsul  negaranya. Pada kali ini  pokok kayu  di hutan rimba  yang menjadi mangsa.  Pokok-pokok  ditebang  dengan rakusnya  laksana  alunan  simponi irama abad yang baru.

Bekas Menteri Besar  Pahang  memang  memainkan  peranan  yang  besar  dalam pembalakan yang  memberikan hasil yang  lumayan. Walaupun  kini  sudah  menjadi  seorang menteri pusat,  dia  sudah  disebut-sebut   bertanggungjawab  dengan kerja-kerja musibat. Tuduhan   terbuka  sudah  dianjurkan  oleh seorang  wakil rakyat  yang bersedia mengosongkan kerusi  yang dipegangnya untuk  mencetuskan satu  pilihanraya  yang akan menggoncangkan  semua.

Akan  tetapi,  seolah-olah perkara ini  mahu dipengapkan oleh  kerajaan  pusat dan juga oleh kerajaan  negeri  yang  berpusat  di  Kuantan. Kebisingan  yang  ada  hanya berpunca di  tengah-tengah hutan  rimba kerana semakin banyak pokok  yang  tumbang untuk membiayai rumah-rumah besar  para  menteri  dan  mereka yang  memang  sibuk  dengan segala kerakusannya. Pengawal  Gurkha sibuk  menghalau  marhaen  yang  sibuk  mahu tahu. Kuda-kuda polo sibuk berlarian  dengan penunggangnya  di padang  yang  dikawal rapi oleh pasukan  keselamatan. Mereka  berlumba-lumba  mengejar  sebiji  bola  putih untuk memberikan keseronokan kepada  wakil  penjajah  dan  anak raja  yang  sudah menjadi  anak patungnya.  Inilah kesenangan  yang  terjamin  keselesaannya.

Para  menteri  Malaysia  sudah  mengumumkan  pembikinan  46  empangan, sekurang-kurang dua  akan dibina di  Pahang.   Projek  beginilah  yang  membolehkan penebangan hutan sehingga  tanah  yang luas  dibiarkan  terdedah  untuk dihakis  permukaannya oleh titisan  hujan.  Hakisan itu  akan  turun  melumuri  dasar  sungai  sehingga wajahnya yang jernih  bertukar  warna, berlumpur  dan pekat  sahaja. Inilah  pembangunan negara ala  otak  semperit  para menteri  Malaysia   Semua ini  adalah satu kemestian untuk menjamin  padang polo  di England sentiasa  menghijau dan ceria suasananya untuk memuaskan nafsu- nafsi  kumpulan  haprak yang  rakus  akan  kemegahannya.

TAMAT Diterjemahkan oleh:   SPAR05.

Jumlah pembaca:orang