Yong Teck Lee Dipilih Sebagai Calon BN Di Likas

KOTA KINABALU, 11 Julai (Bernama) -- Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee adalah calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Likas, demikian diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Chong Kah Jiat hari ini.

Beliau berkata pencalonan Yong telah dipersetujui oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad serta para pemimpin parti-parti komponen BN di Sabah.

Chong yang juga pengerusi BN Sabah membuat pengumuman itu pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat BN negeri di Putatan, dekat sini.

"Hari ini kita telah mengadakan mesyuarat rakan komponen dalam BN dan saya maklumkan calon pilihan kita.

Saya telah dapat persetujuan daripada Pengerusi BN yang memberikan mandat kepada saya untuk memaklumkan bahawa calon BN ialah Datuk Yong Teck Lee," kata Chong.--BERNAMA