Permohonan Harris Untuk Lucutkan Kelayakan Yong Bertanding Ditolak

KOTA KINABALU, 11 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan bekas Presiden Parti Bersekutu Datuk Harris Salleh bagi mendapatkan perintah menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi yang membenarkan penangguhan pelaksanaan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya yang memutuskan bekas wakil rakyat Likas Datuk Yong Teck Lee telah melakukan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Shaik Daud Mohamad Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Mohamad Saari Yusoff dan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, membuat keputusan itu apabila peguam bela Harris, Ansari Abdullah, menarik balik permohonan itu.

Sebelum itu, berdasarkan hujah yang dikemukakan oleh Ansari dan peguam utama Yong, Datuk Dr Cyrus Das, Hakim Shaik Daud berkata Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu yang dikemukakan dengan cara usul.

"Kami tidak mempunyai bidang kuasa asal...kami hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes-kes rayuan," katanya.

Hakim Shaik Daud berkata prosedur yang betul ialah untuk memfailkan usul itu menerusi Mahkamah Tinggi.

"Kami tidak mahu menjadikannya sebagai kebiasaan...jika tidak pada masa hadapan setiap litigan akan menggunakannya sebagai jalan pintas," katanya.

Pada 4 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Richard Malanjum membenarkan permohonan Yong bagi menangguhkan pelaksanaan penghakiman Hakim Mahkamah Pilihanraya Datuk Muhammad Kamil Awang yang memutuskan bahawa Yong telah melakukan amalan rasuah, kesalahan mengikut Seksyen 11 (c) dan (d) dan Seksyen 32 Akta Kesalahan Pilihanraya.

Ansari berhujah bahawa berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes terdahulu, kecacatan prosedur berhubung permohonan tidak akan menyebabkannya tidak sah.

Beliau menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan mempunyai kuasa budi bicara yang ada padanya untuk mendengar permohonan itu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga hakim itu sebulat suara menolak hujah itu dengan alasan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk meneruskan kes itu.

"Ini bukannya mengenai persoalan kecacatan prosedur tetapi bidang kuasa.

Menurut Seksyen 43, Akta Mahkamah 1964, permohonan bagi menangguhkan pelaksanaan perintah perlu menerusi Mahkamah Tinggi," kata Hakim Shaik Daud.

Hakim Shaik Daud bersetuju dengan hujah Dr Das bahawa Harris perlu mematuhi Seksyen 43 sebelum Mahkamah Rayuan boleh mendengar permohonan itu.

Sejurus selepas keputusan itu, Ansari memfailkan permohonan yang sama di Mahkamah Tinggi di sini bersama-sama dengan sijil kesegeraan.

Mahkamah masih belum menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan itu.

Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini menyelesaikan halangan bagi Yong untuk bertanding semula di kerusi Likas, sementara menunggu rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil Likas ditetapkan esok manakala pengundian ditetapkan pada 21 Julai.

-- BERNAMA