PBS Kesal Keadilan Turut Tanding Di Likas
 
 
Oleh Newmond Tibin

KOTA KINABALU, 12 Julai (Bernama) -- Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joseph Pairin Kitingan menyatakan rasa kesalnya terhadap keputusan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) untuk turut bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Likas.

Beliau berkata, ini kerana selama ini PBS berharap parti-parti pembangkang akan capai kata sepakat dan menurunkan satu sahaja calon untuk menentang calon Barisan Nasional (BN).

"Nampaknya kita (PBS) perlu berjuang bersendirian tetapi dalam politik, apa-apa sahaja boleh berlaku dan akhirnya rakyat yang akan membuat kata putus," kata beliau apabila ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Maksak, dekat sini, hari ini.

Ditanya sama ada tindakan Keadilan boleh menjejaskan peluang PBS menawan kerusi Likas daripada BN, Pairin berkata: "Kita biarkan rakyat membuat keputusan".

Beliau berkata, parti itu akan terus memperjuangkan hak penduduk Sabah termasuk mengutarakan masalah pendatang tanpa izin dan pengundi hantu.

Dipercayai pemimpin-pemimpin teratas PBS dan Keadilan bertemu di sini, malam tadi untuk mencari penyelesaian tetapi gagal mencapai kata sepakat.

Timbalan Presiden PBS Dr Maximus Ongkili yang mengetuai pihak partinya ke meja rundingan mengesahkan pertemuan itu dan berkata wakil-wakil parti itu hinggakan telah ke Kuala Lumpur beberapa kali untuk mencari kata sepakat.

"Bagaimanapun, sehingga awal pagi ini mereka (Keadilan) masih bertegas mahu menurunkan calon mereka kerana jika tidak mereka akan kehilangan sokongan dan mungkin dilupakan di Sabah," kata Maximus.

Sementara itu, Presiden Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila mengulas mengenai hal itu berkata, tiada pakatan antara Keadilan dan PBS dari mula lagi.

"Ia hanya saling kerjasama antara kami," kata beliau.

Wan Azizah juga menyifatkan penyertaan Keadilan dan PBS dalam pilihan raya kecil itu sebagai pertandingan mesra antara dua parti itu dalam menentang BN.

Beliau berharap dengan usaha bersama, pembangkang boleh tumpaskan BN di Likas.

"Ini kali pertama Keadilan bertanding di Likas dan kami berharap penduduk di sini akan menyokong parti kami," kata Wan Azizah.

Pilihan raya kecil Likas yang dijadualkan pada 21 Julai akan menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan bekas wakil rakyat yang mewakili kerusi itu Datuk Yong Teck Lee ditentang oleh lawan sengitnya Dr Chong Eng Leong daripada PBS, Christina Liew daripada Keadilan dan calon bebas Joshua Kong.

Berdasarkan kepada daftar pemilih terkini, terdapat 26,196 pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri Likas.

Dalam pilihan raya negeri 1999, Yong memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,962 undi, menewasan Chong, Datuk Harris Salleh daripada Parti Bersekutu dan tiga yang lain -- Zulkifli Lajah (Setia), Yahya Kassim (PAS) dan Saudin Kadis (bebas).

-- BERNAMA