BN Yakin Pengundi Likas Akan Sokong Yong
 
 
Oleh Alan Ting dan Jackson Sawatan

KOTA KINABALU, 12 Julai (Bernama) -- Rakan-rakan seperjuangan dalam Barisan Nasional (BN) menyatakan keyakinan mereka yang pengundi di Likas sekali lagi akan mengundi bagi calon BN Datuk Yong Teck Lee dalam pilihan raya kecil Likas yang dijadualkan pada 21 Julai.

Mereka berkata Yong yang juga presiden Parti Maju Sabah (SAPP) dan bekas Ketua Menteri di bawah sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri yang unik di negeri itu telah memberikan khidmat yang baik kepada penduduk kawasan Likas selama ini.

Naib presiden SAPP Datuk Raymond Tan Shu Kiah berkata beliau menjangka penduduk Likas memberikan sokongan penuh kepada BN dalam pilihan raya kecil ini.

"Mereka akan menyokong Datuk Yong...beliau diiktiraf oleh penduduk sebagai anggota Dewan Undangan Negeri mereka dan beliau telah membantu mereka selama ini," katanya semasa di temui di Dewan Maksak, pusat pencalonan bagi pilihan raya kecil Likas.

"Walaupun beliau terpaksa melalui perbicaraan, beliau terus berkhidmat kepada rakyat, beliau tidak pernah gagal memberi khidmat kepada rakyat," kata Tan.

Anggota Majlis Tertinggi SAPP Christopher Lau berkata Yong menikmati sokongan rakyat tanpa mengira kaum.

"Ini kelebihan pada beliau dan juga majoriti pengundi Cina akan memberikan sokongan padu kepada BN," katanya.

Kerusi Likas di pinggir bandar raya mempunyai 26,196 pengundi yang 60 peratus daripadanya ialah Bumiputera Islam, 28 peratus Cina, 11 peratus Bumiputera Bukan Islam, dan yang lain satu peratus.

Yong, 43, akan bertanding dengan tiga lagi calon, termasuk Dr Chong Eng Leong, 56, daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) yang merupakan antara pencabarnya dalam pilihan raya negeri Sabah pada 1999.

Dua lagi calon ialah Christina Liew, 49, daripada Parti Keadilan Nasional dan seorang calon bebas, Joshua Kong, 53.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Wilfred Madius Tangau berkata, Yong sangat konsisten dalam perkhidmatannya kepada penduduk Likas sejak 15 tahun lepas.

"Kita dalam UPKO akan cuba sedaya yang boleh untuk menyampaikan kepada BN 2,300 undi daripada masyarakat Kadazandusun di Likas.

Masyarakat Kadazandusun akan menyampaikan undi itu kerana apabila Datuk Yong menjadi Ketua Menteri, BN telah menghulurkan bantuan kewangan kepada Yayasan Bahasa Kadazandusun." "BN telah menunjukkan keikhlasan kepada masyarakat Kadazandusun dengan baru beberapa hari lepas kerajaan menyertai dalam kempen menggalakkan anggota masyarakat bertutur dalam bahasa Kadazandusun (kempen bertutur bahasa Kadazandusun)," kata Madius, yang juga anggota Parlimen Tuaran.

Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Karim Ghani sebaliknya berkata BN yakin Yong akan memenangi kerusi itu bagi BN dengan majoriti lebih besar.

"Ia pasti majoriti lebih besar memandangkan semua calon adalah daripada masyarakat Cina," katanya.

Yong memenangi kerusi Likas pada pilihan raya negeri 1999 dengan majoriti 4,962 undi selepas menewaskan lima lagi calon.

-- BERNAMA