Persaingan Empat Penjuru Di Likas
 
 
KOTA KINABALU, 12 Julai (Bernama) -- Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Likas, pada 21 Julai ini akan menyaksikan persaingan empat penjuru antara Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan seorang calon Bebas.

Senarai calon-calon berkenaan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Alijus Sipil pada pukul 1.15 petang selepas membuat keputusan terhadap bantahan-bantahan yang diterimanya antara pukul 11 pagi dan 12.30 tengah hari ini.

 

"Saya telah menerima empat pencalonan iaitu Joshua Kong sebagai calon Bebas, Datuk Yong Teck Lee daripada Barisan Nasional, Christina Liew Chin Jin daripada Parti Keadilan Nasional dan Dr Chong Eng Leong daripada Parti Bersatu Sabah.

"Saya juga telah menerima lapan bantahan semasa tempoh bantahan dan di sini saya ingin mengumumkan bahawa tiada pencalonan yang ditolak," katanya ketika mengumumkan senarai berkenaan.

Yong menduduki kedudukan teratas dalam susunan calon pada kertas undi diikuti Kong, Liew dan Dr Chong.

Seorang lagi, Abdul Banning Abdul Mohamad yang datang ke pusat penamaan calon lima minit sebelum tamat tempoh penamaan calon pada pukul 11 pagi gagal mengemukakan pencalonan beliau sebagai calon Bebas selepas pencadangnya terlewat tiba di pusat penamaan calon.

Daripada lapan bantahan yang diterima, lima adalah terhadap pencalonan Yong.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas Mahkamah Piliihan Raya mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya negeri 1999 bagi kerusi itu adalah batal dan tidak sah kerana kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di samping kewujudan pengundi hantu.

Pengundian bagi pilihan raya kecil Likas akan berlangsung pada 21 Julai ini.

Kerusi Likas pada pilihan raya negeri 1999 dimenangi oleh Yong yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP).

Yong menewaskan lima calon lain, termasuk Dr Chong dengan majoriti 4,962 undi.

Suasana penamaan calon berlangsung meriah umpama karnival apabila penyokong calon-calon berhimpun di sekitar Dewan Maksak, tempat penaman calon sejak pagi ini menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan itu.

Penyokong BN yang berjumlah lebih 2,000 yang membawa bendera gabungan itu adalah yang paling ramai.

Suasana mesra antara rakyat pelbagai kaum jelas kelihatan walaupun ketika penyokong calon-calon berkenaan berbalas-balas sorak sambil diiringi paluan kompang oleh penyokong BN.

Pada satu ketika penyokong BN bersorak "BN! BN! BN!" dan dibalas oleh penyokong PBS dengan sorakan "Hantu!".

Penyokong Keadilan yang cuba masuk campur untuk bersorak "Hantu!" pula mendapati diri mereka terperangkap apabila penyokong BN pula bersorak dengan menyebut "Keadilan".

Sepanduk-sepanduk turut kelihatan antara lain berbunyi "Lunas Lain, Likas Lain Bah!" yang dikibarkan oleh penyokong BN yang jelas merupakan reaksi kepada sepanduk Keadilan yang berbunyi "Lunas Boleh, Likas Boleh".

PBS kekal dengan sepanduknya dengan slogan yang berbunyi "PBS Membela Hak Rakyat Negeri Sabah" yang pernah digunakan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Penyokong PBS dan Keadilan yang berjumlah kira-kira 800 orang diletakkan dalam satu kumpulan manakala penyokong BN di satu kumpulan lain sambil dipisahkan oleh sekumpulan 50 orang anggota keselamatan bagi menghalang kedua-duanya mendekati satu sama lain.

Penamaan calon hari ini juga menandakan bermulanya tempoh kempen pilihan raya kecil Likas selama sembilan hari sehingga pukul 12 tengah malam 20 Julai ini.

-- BERNAMA