Rakyat Dan Pengundi Likas Mari Kita Lumpuhkan BN Dan Dr Mahathir

UMNO Sabah selaku parti utama BN di Sabah yang tak berpower lagi dan sekutunya dalam BN SAPP yang akan mewakili BN di DUN Likas seperti diwar-warkan secara meluas oleh media pengampu mereka akhbar, radio dan TV. Mereka hanya besar dan angkuh di akhbar, radio dan TV 1, 2, 3 hingga 7, itulah gambaran rakus, tamak, sombong dan tidak adilnya kerajaan pimpinan UMNO/BN di mana-mana negeri yang mereka kuasai. Mereka semahunya tidak akan memberi sedikit pun ruang kepada mana-mana parti pembangkang menyatakan ideologi parti-parti pembangkang di media yang mereka kuasai. Kerana mereka UMNO/BN beranggapan bahawa segala yang dimiliki kerajaan yang parti mereka kuasai adalah hak milik parti UMNO dan BN, bukan lagi hak kerajaan dan rakyat yang memilih kerajaan. Itulah pemikiran jahat, sesat dan menyelewengnya para pemimpin UMNO/BN.

Rakyat Malaysia yang majmuk ini selamanya diasak dengan pemikiran dan budaya politik sesat UMNO/BN ini selama berpuluh-puluh tahun, terutama di zaman pemerintah kuku besi dan penuh tipu helah di bawah Dr Mahathir dan kroni-kroninya. Segala propaganda yang mereka UMNO/BN ada susah untuk rakyat di kampung menolaknya, rakyat diperbodohkan sebegitu rupa, disogok dengan bermacam jenis kebendaan setiap kali pilihanraya dan kempen pilihanraya. Budaya dan cara berpolitik UMNO/BN ini sebenarnya lebih kepada usaha menjumud, melemahkan, memalaskan dan mematikan akal budi rakyat.

Kita mempersoalkan, kenapa para pemimpin, wakil rakyat, menteri-menteri UMNO/BN selepas menang dan menguasai kerajaan tidak berhempas pulas turun ke kampung, desa dan ulu mengagihkan projek, harta, wang ringgit kepada rakyat sebagaimana pemurahnya mereka sewaktu dekat pilihanraya dan sewaktu berkempen, menteri sanggup datang ke Pulau Gaya untuk agihkan ratusan kampit beras kepada penduduk Pulau Gaya yang sebahagian besarnya adalah warga asing/PTI atau status kerakyatan mereka masih diragui itu. Baru mereka para pemimpin dan menteri UMNO/BN pusat datang berdialog, mendekati rakyat dan mengumumkan pelbagai rancangan untuk mengatasi masalah rakyat di Likas.

Inilah tipu daya politik UMNO/BN yang memperbodohkan rakyat tempatan di Sabah. Mereka mati-matian membela penduduk Pulau Gaya yang status warga negara mereka diragui, dengan bahasa lain kebanyakan mereka adalah warga asing/PTI, terkecuali mereka yang sudah menjadi rakyat Malaysia secara betul, sah mengikut undang-undang. UMNO Sabah sanggup berbuat apa saja untuk mengampu para pemimpin UMNO pusat. Inilah tindakan sangat merugikan rakyat majmuk Sabah.

Kerana itu, untuk tidak mahu kita ditipu, diperbodoh dan dipermainkan oleh UMNO/BN dan sekutunya di Sabah. Rakyat dan pengundi di Likas, inilah saat dan waktunya kita menghukum UMNO dan SAPP di Likas. Rakyat jangan takut untuk memberikan KEMENANGAN KEPADA CALON PEMBANGKANG sama ada KeADILan atau PBS. Percayalah kalahnya calon BN dari SAPP itu nanti, bukan bererti rakyat dan pengundi Likas akan mati kebuluran. Tetapi, insya-Allah dengan kemenangan calon pembangkang dari KeADILan atau PBS suara rakyat akan bertambah kuat di DUN Sabah. Kemenangan pembangkang di Likas akan membawa mesej politik lebih baik untuk rakyat Sabah pada pilihanraya akan datang 2003/4.

Kemenangan pembangkang juga akan memperbaiki lagi pengurusan kehidupan dan keperluan rakyat di Likas. Pembangkang akan menjanakan tenaga kepimpinan bersama rakyat bagi maksud menyusun dan mentadbir keperluan rakyat setempat secara bersistematik, telus, mengikut peraturan, agihan projek, keperluan rakyat akan diagih secara lebih adil. Dan insya-Allah, tiada amalan diskriminasi, tiada amalan rasuah dan rakyat akan diajak sama-sama memberikan pandangan melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang akan dibentuk di peringkat kampung dan masyarakat.

Rakyat dan pengundi Likas bersikap beranilah anda untuk melumpuhkan kerajaan UMNO/BN yang rasuah, salah guna kuasa, zalim dan tidak bersikap adil lagi banyak melakukan tipu daya terhadap rakyat dan pembangkang yang mengkritik selama kelemahan mereka. Anda tidak perlu terlalu memikirkan soal-soal remeh, rasa termakan budi kepada mereka pemimpin BN, itu adalah tanggungjawab setiap pemimpin dan kerajaan yang ada kuasa, ia tidak berkaitan dengan soal mengenang budi atau kasihan kepada sesiapa. Kalau sudah jelas mereka melakukan pelbagai penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya. Bagaimana kita hendak hormati orang yang telah berbuat kejahatan, kezaliman, penderaan kepada rakyat dan sebagainya. TIDAK SALAH bagi rakyat dan pengundi Likas untuk tidak menyokong parti pemerintah yang banyak menimbulkan masalah kepada rakyat, malah adalah baik kita memilih parti baru dan pemimpin baru yang akan membawa suara rakyat dengan lebih tegas, berhikmah dan berani di DUN Sabah.

Rakyat dan pengundi Likas berilah UNDI ANDA KEPADA CALON PEMBANGKANG untuk mengajar keangkuhan, kesombongan, keegoan dan ketakburan UMNO/BN khususnya calon mereka dari SAPP Datuk Yong Teck Lee. Dan insya-Allah, kemenangan pembangkang di Likas akan menyedarkan seluruh pemimpin UMNO/BN Sabah terutamanya dan Dr Mahathir sendiri yang ramai orang kata anak-anaknya, kroni-kroninya dalam perniagaan telah menguasai hampir keseluruhan pulau-pulau peranginan, projek-projek kerajaan dan juga swasta.

Sekian.

Ibn Sabah, 12.7.2001M

Jumlah pengunjung:orang