SPR Dan Polis Diminta Awasi Pengundi Warga Asing...

Dalam suasana kebanyakan sistem pentadbiran negara dipertikaikan oleh majoriti rakyat majmuk Malaysia hari ini, bermula dengan sistem politik, perundangan, ekonomi, pendidikan, keselamatan dan sebagainya, kemudian menjalar dan merebak terus kepada pelaksana sistem tersebut seperti SPR, JPN, RTM, Polis dan lain-lain lagi. Proses perjalanan pilihanraya kecil DUN Likas di Sabah pasti seluruh rakyat tertumpu ke sana untuk melihat apakah akan pulih seluruh sistem itu dalam menjalankan fungsi mereka secara telus, jujur, amanah dan profesional.

Setakat ini, pemerhati politik dan pelbagai pihak masyarakat masih belum meyakini sepenuhnya, apakah akan ada ketelusan, sikap profesional dan amanah dipihak pelaksana pilihanraya ini khususnya SPR, JPN dan PDRM atau polis. Supaya mereka bebas sebebas-bebasnya menjalankan amanah rakyat, tanpa memihak kepada mana-mana parti yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil itu nanti.

Rakyat dan pengundi Likas terutama sekali menaruh harap tinggi kepada SPR, JPN dan Polis supaya bersikap telus dan jujur dalam menjalankan tugas. Rakyat tidak mahu lagi akan ada YA Hakim ditelefon untuk mengatur keputusan atau Pengerusi SPR ditelefon atau Pengarah JPN Sabah ditelefon atau Pesuruhjaya Polis Sabah ditelefon. Sekiranya ini yang berlaku, maka akan hancurlah sistem peraturan, undang-undang negara dan negara ini seluruhnya. Kerana, kita tidak lagi berpandu kepada etika perkhidmatan, peraturan tugas dan tidak lagi mengikut akta-akta yang sedia ada. Disebabkan arahan baru melalui telefon atau arahan mulut yang membelakangi prosedur, peraturan dan etika lebih dipakai dan dilaksanakan.

Dengan ini, kita rakyat Malaysia di Sabah meminta sungguh-sungguh supaya SPR melaksanakan fungsinya yang betul, polis dengan tugasnya menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dan JPN mempastikan dokumen pengundi yang akan mengundi benar-benar asli dan sah, bukan IC palsu atau serupa dengannya. Apa lagi di kerusi DUN Likas ini pengundi warga asing/PTI, pengundi hantu dan juga penggunaan IC palsu masih membimbangkan semua kita.

Demi, untuk keselamatan, kedaulatan rakyat, negeri dan negara ini SPR, JPN dan Polis dituntut agar lebih berhati-hati, teliti, amanah, jujur dan telus, JANGAN SAMPAI ada warga asing/PTI yang berIC palsu/projek atau didaftar sebagai pemilih melalui pintu belakang atau secara tidak betul dibenarkan untuk mengundi.

Adalah satu jenayah kepada negara ini, apabila kita bersubahat membenarkan warga asing/PTI atau pemegang IC palsu untuk mengundi memilih pemimpin dan menjadi penggubal dasar kerajaan di DUN Sabah. SPR, JPN dan Polis marilah kita tanamkan sikap jujur, telus dan amanah kepada diri, keluarga, rakyat, bangsa, negeri dan negara Malaysia yang kita cintai ini. Kita juga mengharapkan sekiranya masih ada lagi saki-baki warga asing/PTI yang terdapat dalam daftar pemilih Likas sejumlah 26,196 itu yang tidak dikenal pasti lagi, tentu semasa pengundian nanti akan lebih jelas lagilah melalui pengenalan bahasa, warna kulit dan budaya/sikap akal budi mereka. Di sinilah SPR, JPN dan Polis wajar melaksanakan tugas mereka dengan lebih telus, tegas dan beramanah.

Mudah-mudahan Likas akan menjadi model terbaik kepada kawasan-kawasan lain kerana kecemerlangan SPR, JPN dan Polis melaksanakan tugas mereka dengan lebih cekap, telus, profesional, beramanah dan tegas demi untuk mendaulatkan rakyat, sistem negara Malaysia yang demokratik dan memelihara keselamatan rakyat, bangsa, negeri dan negara ini.

Sekian.

Ibn Sabah,
12.7.2001M

Jumlah pembaca: orang