Petugas-petugas SPR Di Likas, Jujur dan Amanahlah Anda

Penamaan calon sudahpun dilakukan bagi pilihanraya kecil DUN Likas hari ini dengan empat calon yang layak dan satu calon ditolak. BN diwakili oleh SAPP calonnya Datuk Yong Teck Lee yang telah dibatalkan kemenangannya oleh mahkamah, tapi masih layak dicalonkan setelah melalui pelbagai kontroversi. Calon-calon lain ialah mewakili PBS Dr Chong Eng Leong, KeADILan Puan Christina Liew dan dua calon Bebas Encik G.S. Kong dan Encik Abdul Baning Mohamad (yang ditolak).

Pertandingan empat penjuru ini pasti menarik, rakyat dan pengundi Likas pasti seperti berpesta. BN akan membuat apa saja cara untuk mengekalkan kemenangan mereka hatta yang melanggar undang-undang dan peraturan, menyogok rakyat dengan kebendaan, projek, rasuah, memperguna jentera kerajaan atas nama BN sebagai kerajaan yang memerintah. Semua itu tidak mungkin akan dilakukan oleh pembangkang, modal parti-parti pembangkang hanyalah suara, memberi kesedaran politik, pengetahuan dan mendekati hati rakyat. Selepas menang parti pembangkang barulah akan berusaha memberi segala yang termampu untuk keselesaan dan kebajikan rakyat.

Tetapi yang sangat menarik perhatian selain kempen-kempen, ucapan dan ceramah politik bagi menyedarkan rakyat dan pengundi di Likas. Jangan kita lupa, bahawa lebih penting ialah SPR dan petugas-petugas SPR yang akan mengendalikan pilihanraya kecil DUN LIkas ini. Sebab merekalah pengurus segala proses sah atau tidaknya pengundian pilihanraya kecil nanti. Di sinilah kita menuntut supaya SPR dan petugas-petugasnya di Likas benar-benar jujur, amanah, telus dan bersikap profesional. Tidak memihak kepada mana-mana parti yang bertanding, mereka tidak boleh mempengaruhi mana-mana pengundi yang akan mengundi, mereka tidak boleh cenderung kepada mana-mana parti atau calon yang bertanding dan tidak boleh memberi apa jua bentuk isyarat kepada pengundi bagi mempengaruhi pengundi agar memilih calon yang disukai dirinya. Cabaran ini sangat berat untuk dipikul mereka yang tidak amanah dan tidak jujur dengan tugas.

Undi adalah rahsia, setiap pengundi tidak boleh beritahu siapa yang dia undi sewaktu dia mengundi. Kerana undi kita yang sebenarnya ialah sewaktu mendapat kertas undi yang diberikan oleh petugas SPR dan memangkah siapa calon sebenar akan kita PANGKAH ATAU PILIH. Semasa proses merayu pengundi diwaktu kempen hanya merupakan proses biasa dalam setiap pilihanraya. Semasa pengundi berada dimeja petak mengundi bersama kertas undi sesiapapun TIDAK BOLEH ganggu lagi, pengundilah punya tahu dia nak undi siapa dan Allah Ta'ala saja yang tahu siapa yang kita undi saat itu. Petugas SPR sekalipun tidak dibolehkan mempengaruhi pengundi dalam waktu itu. Mereka hanya menjalankan tugas memberikan kertas undi setelah meneliti kad pengenalan yang kita bawa, meneliti senarai nama dan nombor IC.

Seruan kita kepada SPR, terutama para petugasnya di pilihanraya DUN Likas tunjukkanlah sikap jujur, amanah dan telus anda. Kerana waktu itu andalah menjadi orang tengah. Kita juga meminta setiap pengundi warga asing/PTI yang datang hendak mengundi hendaklah ditegah dari mengundi demi untuk membenteras terus budaya lama UMNO/BN yang menghalalkan pengundi-pengundi warga asing/PTI dan phantom mengundi. Jadikanlah Likas ini tempat SPR belajar memantau pengundi warga asing/PTI atau pengundi hantu yang masih belum terlepas dari senarai daftar pemilih SPR. Adalah TIDAK SALAH bagi SPR menahan pengundi yang benar-benar meragukan di Likas dari terus. Inilah sebahagian peranan SPR bagi membantu membersihkan daftar pemilih yang masih diragui, supaya pilihanraya kecil ini tidak berlaku sampai terjadi dua kali dibatalkan.

Kita percaya dengan melakukan pemantauan berterusan terhadap pengundi warga asing/PTI atau pengundi hantu itu, dengan sendirinya warga asing yang membanjiri di Sabah akan sedar bahawa mereka tiada hak sedikitpun dalam proses mengundi di Sabah dan Malaysia. Ketegasan ini perlu diambil oleh semua petugas SPR di Likas demi untuk memelihara keselamatan dan kedaulatan rakyat, negeri dan negara Malaysia yang kita cintai ini. Malah secara tidak langsung adalah satu tindakan mulia kerana dengan sikap tegas dan patuh kepada undang-undang negara kita sudah berlaku jujur kepada diri, anak-anak, isteri, keluarga, masyarakat dan rakyat Malaysia yang majmuk di Sabah.   Sekali lagi harapan tinggi rakyat dan para politikus Sabah supaya SPR dan petugas-petugasnya di Likas melaksanakan kewajiban dengan jujur, amanah, telus dan bersikap profesional. Insya-Allah, akan selamatlah rakyat, bangsa, negeri dan negara ini.

Sekian.
Ibn Sabah, 12.7.2001M

Jumlah pembaca:orang