Strategi Menangkan BA di Likas

Pertandingan empat penjuru dalam pilihanraya kecil di DUN Likas boleh diibaratkan suatu yang sukar untuk parti pembangkang, sebagaimana yang terjadi dalam pilihanraya umum 1999 lalu, lima penjuru menentang BN akhirnya BN menang dengan bantuan warga asing/PTI, pengundi hantu dan pengundi yang tidak didaftar. Ketara tipu helah BN di Likas, mereka sanggup menjualbelikan keselamatan dan kedaulatan rakyat, bangsa, negeri dan negara ini asalkan mereka menang dalam pilihanraya. Kita mempersoalkan dimana jati diri bangsa para pemimpin BN Sabah dan pusat. Tapi tidak mustahil BA boleh membuat kejutan sekali lagi di Likas. Tetapi pembangkang kena lebih berwaspada dengan taktik-taktik kotor BN.

Tipu helah jahat BN Sabah dan KL yang dikepalai oleh Dr Mahathir pasti tidak akan terhenti sampai bila-bila, kecuali rakyat yang akan mengajar mereka, rakyatlah yang akan menjatuhkan BN dan para pemimpin mereka yang zalim lagi banyak menyusahkan rakyat marhaen. Untuk berhadapan dengan tipu daya dan kerja politik kotor BN di Likas, pembangkang hendaklah berhati-hati dengan sikap provokasi, agresif dan juga fitnah yang menjadi mainan dan siulan pimpinan BN yang sudahpun diketahui oleh rakyat. Antara strategi yang patut pembangkang tekankan khususnya di Likas, ialah:  

Pertama: Mendekati dan menyelami hati nurani rakyat dan pengundi Likas yang taraf atau latar belakang kehidupan mereka adalah berbeza.

Kedua: Kepimpinan BA pusat hendaklah memahami adat tradisi rakyat dan pengundi di Likas secara berhikmah, kerana budaya hidup orang Sabah dengan Semenanjung juga agak berbeza.

Ketiga: Kita tidak boleh mengikut rentak BN yang menyogokkan kebendaan kepada rakyat. BA hendaklah menjelaskan isu taburan kebendaan oleh BN dalam masa kempen, bukanlah waktunya, tetapi selepas kita menang baru kita sibuk menyusun strategi mengagihkan hak-hak sebenar rakyat.

Keempat: Strategi yang sudah berkesan dalam pilihanraya Teluk Kemang dan Lunas yang sesuai di Likas hendaklah diterapkan dengan lebih baik dan cermat.

Kelima: Sensiviti rakyat dan pengundi di Likas hendaklah dipelihara dan dijaga sebaik-baiknya.   Keenam: Paling penting tanamkan nilai-nilai ilmu, kesedaran politik, keadilan, kesaksamaan dan semangat perpaduan.

Ketujuh: Pecahkan tembok pemisah perkauman tebal dalam hati nurani rakyat dengan menanamkan semangat masyarakat majmuk pelbagai bangsa, budaya, bahasa, adat dan kepercayaan atau agama.

Kelapan: Jangan dilupakan pengundi warga asing/PTI dan pengundi hantu yang masih menjadi senjata sulit UMNO/BN di Sabah. Walaupun mahkamah menghantarkan isyarat jelas. Dasar penguasa ANGKUH, KEPALA BATU DAN DEGIL, mereka BN akan tetap dengan sikap lama itu.

Kesembilan: Para pemimpin BA pusat hendaklah sama-sama turun ke Likas sebagaimana mereka turun ke Lunas dulu untuk mendekati hati nurani rakyat Lunas.

Kesepuluh: KeADILan, PAS dan DAP Sabah hendaklah bersatu tenaga berkempen sehingga malam 21 Julai nanti.

Kesebelas: Sebagai orang Islam yang menyokong perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi Sabah dan Malaysia ini, kita jangan lupa untuk bermohon doa kepada Allah Ta'ala.

Kedua belas: Satukan hati-hati kita, rakyat, pemimpin dan semua masyarakat majmuk di Likas untuk sama-sama bersatu menumbangkan BN dan melumpuhkan Dr Mahathir yang tak faham-faham isyarat meluat rakyat terhadap kepimpinannya yang sudah tidak relevan lagi untuk rakyat Malaysia dan juga rakyat di Sabah.

Mudah-mudahan dengan ketekunan, keikhlasan dan kesungguhan petugas-petugas BA di Likas, insya-Allah CALON KEADILAN PUAN CHRISTINA LIEW akan dipilih oleh rakyat Likas dan akan menjadi titik-titik awal kekuatan BA dan parti pembangkang khususnya di Sabah bertapak bagi menumbangkan penguasa rakus, tamak dan zalim dari terus menzalimi rakyat Sabah dan Malaysia pada tahun 2003/4 nanti. Sekian.

Ibn Sabah, 12.7.2001M

Jumlah pembaca:orang