Likas: Keadilan Minta SPR Jelas Perbezaan Tempat Mengundi Dan Mengira
 
 
KOTA KINABALU, 14 Julai (Bernama) -- Parti Keadilan Nasional hari ini meminta penjelasan Suruhanjaya Pilihanraya mengenai perbezaan tempat mengundi dan mengira undi di sebuah daerah pengudian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Likas 21 Julai ini.

Timbalan Pengerusi Keadilan Sabah Datuk James Ghani berkata perbezaan tempat itu berlaku di daerah mengundi Bandar Selatan, manakala bagi sembilan daerah pengundian yang lain, pengiraan undi dilakukan di tempat masing-masing.

"Tempat mengundi yang ditetapkan ialah di Astaka Padang Merdeka Kota Kinabalu, manakala tempat mengira undi ditetapkan di Dewan Maksak Likas Kota Kinabalu, jauhnya hampir 4.8 km," katanya kepada pemberita di Markas Operasi Keadilan DUN Likas di sini.--BERNAMA