Warga Asing Bermaharajalela Di Sabah...

Isu warga asing/PTI cukup sinonim dengan negeri Sabah, entah kenapa Sabah menjadi lubuk subur kepada warga asing/PTI dari Filipina dan Indonesia. Warga asing bukan setakat menjadi buruh kasar di tapak-tapak projek baru sejak zaman kerajaan Berjaya/BN dulu. Sehingga hari ini warga asing/PTI telah menjalar ke berbagai sektor pekerjaan seperti peniaga, pelayan restoran, GRO, pembantu rumah, pengawal/jaga keselamatan pejabat/bank/bangunan/rumah, tukang kasut dan hingga di laut sebagai nelayan, di darat penjaja ikan dan kadang-kadang menjadi orang harapan tauke, bos dan majikan mereka, malahan sampai ada menjadi pengundi musim pilihanraya. Kenapa semua ini terjadi. Beberapa kawan mengandaikan sistem negara sudah hancur dan dicerobohi oleh anasir berkepentingan terutama orang-orang politik UMNO/BN, dulu Berjaya/BN pimpinan Datuk Haris Salleh, dia import suku sakatnya dari Pakistan, betul atau sahih perlu disiasat kerja-kerja berbahaya orang politik dulu-dulu.

Sebagai rakyat yang merdeka, berdaulat dan mahu hidup dalam suasana selesa, aman dan selamat di negeri atau negara sendiri. Tentu kita akan mencari dan menuntut semua ini. Tapi sangat mendukacitakan rakyat marhaen terutamanya rakyat Malaysia di Sabah yang berhadapan dengan rempuhan ombak kebanjiran warga asing/PTI dari pelbagai negara terutama dari negara jiran Indonesia dan Filipina, termasuk juga warga asing dari Pakistan yang sudah mula membanjiri Sabah, walaupun tidak sehebat kebanjiran warga asing dari Indonesia dan Filipina.

Kita mengutarakan isu ini, bukan atas maksud membenci sesiapa. Agama kita pun melarang supaya hidup benci-membenci atau musuh-bermusuhan. TETAPI, apa yang sangat membimbangkan dan merisaukan kita sebagai rakyat Malaysia di Sabah khasnya. Keligatan, kelicikan dan kepantasan warga asing/PTI itu merebut peluang mencari penghidupan di bumi Sabah, boleh dikatakan di mana-mana mereka ini ada di laut ada, di darat ada, di hutan balakpun ada, di kebun ada, di pejabat ada, di restoran ada, di pasar/tamu ada, di bank ada, dan sebut saja di mana pelusuk di Sabah ini warga asing/PTI boleh menyusup masuk.

Mereka ini sudah seperti di negara sendiri, boleh masuk kampung keluar kampung, masuk rumah keluar rumah, masuk pejabat keluar pejabat seperti rakyat negara ini. Bayangkan apa akan terjadi, kalau sudah warga asing/PTI menguasai serba-serbinya, di mana-mana mereka ada...di pejabat Imigresen mereka ada tali barut/orang tengah, di JPN mereka ada tali barut/orang tengah, di pejabat polis mereka ada kawan, di pejabat tanah ada kawan/tali barutnya, di majlis daerah ada kawan/talibarutnya, di JPJ ada talibarutnya, dengan orang politik YB mereka ada hubungan baik, dengan kontraktor, peniaga/korporat dan tauke apa lagi, dengan orang kampung mereka juga ada hubungan baik dan dengan pemimpin masyarakat kampung juga mereka pegang atau kuasai. Kes di Kudat adalah contoh terkini yang harus difikirkan oleh pimpinan negeri dan negara dan juga pihak keselamatan negeri dan negara.

Apa akan jadi, sekiranya Malaysia atau Sabah ini telah dikuasai oleh warga asing/PTI yang sebahagiannya memang dilindungi oleh pihak-pihak tertentu. Di kebun sayur, di laut sebagai nelayan, penjaja ikan, penoreh getah, tukang rumah, tukang rumput, penjaja jamu, pembantu kedai, tukang masak, pembantu rumah, pencuci bangunan, pengawal bank, pengawal bangunan kerajaan/perniagaan/rumah, PENGUNDI HANTU, tukang kasut, penjual sayur, pengedar surat khabar, penjaja minuman di bas station, peniaga kain/pakaian ke rumah-rumah orang kampung, tukang masak di restoran, pelayan di restoran, tukang pam minyak di syarikat Shell/Petronas/BP/Esso, pemandu bas/traktor/lori/loging dan sebagainya. Rakyat tempatan dan warga negara tinggal apa lagi yang boleh mereka lakukan.

Pemimpin masyarakat, pemimpin politik, pemimpin kerajaan, pemimpin agama, persatuan, pegawai tinggi kerajaan, tauke, kontraktor dan rakyat marhaen sendiri hendaklah berfikir isu warga asing/PTI bermaharajalela di bumi Malaysia, terutamanya di Sabah. Teringat penulis sewaktu hadir di satu majlis kenduri Imam kampung itu berkata, ekoran penculikan rakyat Malaysia di Sabah oleh gerombolan penculik Abu Sayyaf. Katanya, dulu musim Jepun dia orang hantar spy ke pekan/kampung dengan bermacam-macam peranan, ada jadi tukang kasut, mandor, tukang kebun dan lain-lain. Rupa-rupanya mereka itu adalah spy Jepun, akhirnya mereka dapat menakluki Malaya dan juga Sabah. Ini satu pengajaran berguna, bagaimana warga asing/PTI terutama dari negara jiran Filipina yang sekarang ini dipanaskan semula isu tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Pihak keselamatan Malaysia patut sedar isu ini, jangan sudah terantuk baru tengadah. Di Sabah, kebanjiran PTI/warga asing ini cukup membimbangkan rakyat Malaysia di Sabah. Mereka ini mengimport budaya hidup mereka di sini, sikap hidup mereka yang tidak kenal undang-undang dan peraturan negara di mana mereka berada, mereka buat seolahnya macam kampung/negeri atau negara mereka sendiri. Mereka bebas sebebas-bebasnya, hendak berniaga boleh, hendak jadi tukang boleh, jadi pengawal bank/bangunan dan sebagainya boleh. Maksudnya, mereka ini sudah ada tapak atau kaki di Sabah, mereka tidak perlu susah hati ada dokumen sah atau tidak, tidak dirisaukan lagi, mereka ada tempat berlindung atau ada golongan yang melindungi.

Tegasnya, kita buka isu warga asing/PTI di Sabah ini, bukan bertujuan untuk menyalahkan sesiapa, bukan juga untuk membenci sesiapa, bukan juga untuk menghukum sesiapa. Tetapi Sabah dan Malaysia adalah sebuah negara merdeka yang berdaulat bersama jutaan rakyatnya. Jadi, kenapa isu PTI/warga asing dari negara jiran ini tidak selesai-selesai, pada hal banyak saluran boleh diguna pakai undang-undang kita ada, diplomatik kita ada, hubungan antarabangsa kita juga ada, pendekatan keagamaan dan kemanusiaan juga sebahagian dari elemen penting ke arah penyelesaian di mana-mana jua di dunia ini.

Akhirnya, isu warga asing/PTI yang membanjiri Sabah ini, sangat membimbangkan seluruh rakyat Malaysia di Sabah. Kita terasa tidak aman, tidak selesa dan sumber pencarian rakyat dan peluang-peluang lain yang biasa dilakukan oleh rakyat tempatan juga direbut oleh warga asing. Penulis masih ingat sekitar tahun 70an dulu hingga awal 80an di kampung dan pekan yang berdekatan penulis tinggal di Papar, Sabah warga asing/PTI memang sukar ditemui, kalau adapun seorang dua yang telah berkahwin dengan anak tempatan. Hari ini di ceruk kampung dan pekan kecil Papar dan kampung sekitarnya warga asing/PTI sudah ada yang berumah, menyewa dan menetap ada menjadi penjaja rokok, pelayan restoran, pekebun, penoreh dan sebagainya. Akibat kebanjiran warga asing/PTI ini banyak masalah timbul isu sosial, jenayah, rompak, curi, rogol, rampas isteri orang, culik anak dara, bunuh, dadah, syabu dan bermacam-macam menghantui kehidupan masyarakat tempatan di Sabah.

Mudah-mudahan dengan sedikit pendedahan ini akan membuka mata pihak keselamatan, pemimpin kerajaan, ulama, pemimpin politik, masyarakat dan rakyat jelata untuk sama-sama berganding bahu mengatasi isu berat dan besar ini dari sekarang.   Sekian, insya-Allah, akan kita bongkar lagi isu ini dengan lebih mendalam demi untuk menyedarkan hati rakyat, pemimpin, pegawai kerajaan, ahli politik dan sebagainya.   

Ibn Sabah,
14.7.2001M

Jumlah pembaca:orang