Yong Kemuka Cadangan Atasi Isu Pengundi Hantu
 
 Nota webmaster: Nampaknya 'bomoh hantu' cuba berbuat baik memujuk kita bagaimana caranya nak menghalau pengundi hantu...
KOTA KINABALU, 16 Julai (Bernama) -- Datuk Yong Teck Lee, calon Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Likas, hari ini mengemukakan cadangan mengandungi tiga perkara untuk menyelesaikan isu kewujudan pengundi hantu di Sabah.

Dalam satu kenyataan di sini, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata jika dipilih, beliau akan membawa usul dalam Dewan Undangan Negeri Sabah supaya dibentuk satu jawatankuasa dari semua parti untuk menangani isu kewujudan pengundi hantu dalam daftar pemilih di semua kawasan di Sabah.

Untuk memastikan ketelusan dan ketelitian, jawatankuasa itu akan menerima hujah, aduan dan maklumat daripada orang ramai berhubung perkara-perkara yang disyaki tidak betul berhubung daftar pemilih di negeri itu, katanya.

Beliau juga mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihanraya diberi tempoh hanya 12 bulan untuk membersihkan daftar pemilih bagi seluruh negeri Sabah, selain mencadangkan agar jawatankuasa itu menerbitkan laporan untuk taptan umum dalam tempih enam bulan daripada pembentukannya.

"Saya amat yakin langkah-langkah ini akan dapat menyelesaikan soal kekotoran daftar pemilih," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar seorang rakyat Sabah dilantik menjadi anggota SPR.

Pilihan raya kecil itu diadakan setelah mahkamah mendapati wujudnya pengundi hantu dalam daftar pemilih di kawasan itu semasa pilihan raya negeri lepas yang dimenangi oleh Yong.

Beliau kini menghadapi Dr Chong Eng Leong dari Parti Bersatu Sabah, Christina Liew dari Parti Keadilan Nasional dan Joshua Kong, seorang calon Bebas.

-- BERNAMA