UCAPAN DASAR PRESIDEN PRM PADA KONGRES NASIONAL PRM KE-34

Saya mengucapkan syukur kerana kita dapat berjumpa sekali lagi. Hari ini kita bersidang dalam Kongres Nasional PRM yang sangat penting. Kita  berada di persimpangan jalan yang bersejarah untuk menentukan masa depan PRM. Sebagaimana yang kita semua ketahui, dalam kongres ini nanti kita akan membincangkan sebuah resolusi dan mengambil keputusan mengenai percantuman dengan Parti Keadilan Nasional.

KEADAAN POLITIK, EKONOMI DAN SOSIAL

Sebenarnya bukan PRM saja, bahkan negara kita juga sedang berada pada persimpangan jalan yang penting lagi bersejarah. Dari segi politik kita menyaksikan sebuah pemerintahan serta pucuk pimpinan yang semakin kehilangan kewibawaan dan bertambah bobrok akibat dasar pemerintah dan amalan pemimpin BN yang tidak tentu arah dengan membelakangkan demokrasi, keadilan dan kebajikan rakyat ramai.

Akibatnya negara bertambah  lemah dan rakyat semakin berpecah. Sebahagian besar rakyat dari semua kaum, terutama sekali Melayu, sudah kehilangan kepercayaan terhadap parti pemerintah dan pucuk pimpinannya. Pucuk pimpinan pemerintah pula semakin bersifat kuku besi dan perkauman sempit.

Ekonomi negara semakin menggelincir turun.  Empat tahun lalu Asia, termasuk negara kita sendiri, telah dilanda oleh krisis kewangan yang serius. Krisis tersebut lebih banyak menyerang syarikat serta tokoh korporat yang besar-besar. Tetapi ia tidak berapa menjejaskan kehidupan rakyat peringkat rendah. Walaupun ada buruh yang kehilangan pekerjaan, akan tetapi ada sektor ekonomi desa (terutama sekali kelapa sawit) di mana pendapatan rakyat naik, kesan daripada pertukaran wang yang ditetapkan oleh pemerintah.

Akan tetapi kini satu jenis krisis ekonomi yang berbeza sedang berlaku. Ia menyerang terutama sekali sektor pertanian. Akibatnya harga hasil pertanian jatuh dan pendapatan rakyat tani menurun. Berikutan kemerosotan ekonomi di Amerika, beberapa buah kilang di negeri ini juga terjejas operasinya dan ramai pekerja dibuang kerja. Keadaan ekonomi negara dan rakyat masih belum pulih dan mungkin akan mengambil masa yang lama lagi untuk pulih kepada keadaan sediakala.

Dari segi sosial pula kadar kemiskinan yang meningkat, jurang perbezaan pendapatan yang melebar di antara golongan kaya dengan miskin dan penumpuan kekayaan di kalangan segelintir kerabat serta suku sakat pemimpin negara menimbulkan masalah kesempitan hidup dan pengangguran. Seterusnya ia menjelmakan juga bermacam-macam masalah sosial yang lain seperti ketegangan hubungan kaum, rasuah, pembaziran dan pilih kasih.

Selain itu masalah salah guna dadah, pembuangan bayi hasil hubungan bebas luar nikah, perogolan serta pembunuhan, dan budaya samseng atau gangster semakin meluas. Masalah-masalah ini sudah menjangkit sampai kepada murid-murid sekolah. Panduan agama serta moral melalui pendidikan sangat kurang dan sering ia ditenggelami oleh pengaruh nilai-nilai buruk dari masyarakat barat yang disalurkan melalui media elektronik, terutama sekali televisyen.

BN (dulu Perikatan) sudah memerintah negeri ini lebih daripada 42 tahun. Masalah-masalah politik, ekonomi dan sosial yang dinyatakan tadi berpunca daripada  dasar dan amalan pemerintahan yang sama. Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengakui dalam Perhimpunan Agung UMNO tiga minggu lalu bahawa dasar serta amalan pemerintah telah gagal untuk mengubah nasib orang Melayu. Walaupun segelintir orang Melayu telah menjadi jutawan dan ada sebilangan yang menjadi pegawai tinggi, namun majoriti rakyat jelata Melayu dan juga bukan Melayu banyak masih di takuk lama.

Akan tetapi Mahathir menghina, menyindir dan menyalahkan orang Melayu sendiri kerana keadaan mereka yang tidak banyak berubah. Katanya ini disebabkan oleh “Orang Melayu mudah lupa”. Sebenarnya punca utama kebanyakan orang Melayu masih tertinggal ialah pemimpin seperti Mahathir, yang sudah lupa akan rakyat. Beliau  mengutamakan kepentingan segelintir orang Melayu dan bukan-Melayu yang rapat hubungan dengannya, bukannya kepentingan rakyat ramai daripada pelbagai kaum  yang memang sudah lama terbiar.

PEMBANGUNAN SIAPA?

Selama 20 tahun lalu, sejak Mahathir menerajui pemerintahan negara, agenda yang sering ditekankan ialah PEMBANGUNAN. Mahathir tidak memberikan tumpuan besar kepada pembangunan desa seperti mana yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Beliau mula-mula memberikan perhatian kepada pembangunan industri. Perindustrian di negeri ini belum berjaya lagi; ia masih bergantung kepada teknologi asing dan budaya perindustrian belum meluas ke bawah di kalangan rakyat.

Belum berjaya pun pembangunan industri, Mahathir cuba membawa negara melompat kepada  peringkat lebih tinggi, iaitu Teknologi Maklumat. Untuk menggalakkan perkembangan ini beliau berusaha mendapatkan nasihat, sokongan dan modal terutama dari luar untuk  membina Koridor Raya Multimedia (MSC). Banyak tanda menunjukkan bahawa projek ini sedang menghadapi kegagalan. Salah satu akibat buruk daripada pembangunan perindustrian dan teknologi maklumat ini ialah ia menambah lebarkan lagi jurang sosio-ekonomi di antara golongan kaya dengan miskin dan kawasan maju dengan mundur.

Kita tidak boleh menafikan bahawa pembangunan adalah satu matlamat yang baik. Malangnya, jenis pembangunan yang ditumpukan oleh Mahathir bersifat pembangunan fizikal. Sehingga dalam projek MSC pun, salah satu aspek yang dipentingkan ialah pembinaan bangunan-bangunan. Oleh kerana projek MSC itu mungkin tidak berjaya sepenuhnya, bahkan boleh jadi gagal sama sekali, Mahathir sedang bersedia untuk menjadikan Koridor Raya itu sebagai kawasan “bio-valley”. Dalam kawasan ini akan didirikan bangunan-bangunan atau pusat-pusat pendidikan, perdagangan, hiburan dan sebagainya. Anggaran perbelanjaan yang dijangkakan dalam tempoh 10 tahun akan datang ialah sebanyak RM10 bilion.  Dengan ini akan diutamakan  lagi pembinaan bangunan.

Sudah menjadi satu ketaksuban bahkan kegilaan di kalangan pucuk pimpinan BN mengutamakan pembinaan bangunan-bangunan yang paling besar, paling tinggi dan paling mahal di rantau ini dan kalau boleh di seluruh dunia. Semua orang sudah faham bahawa segala projek pembangunan itu, walaupun tidak menguntungkan dari segi ekonomi dan membazir, sebenarnya sangat-sangat disukai oleh mereka yang rapik dengan pucuk pimpinan negara sebagai punca terbaik untuk mendapat kekayaan besar dengan  cepat.

AKIBAT PEMBANGUNAN BN

Pembangunan dengan ertikata membangunkan berbagai-bagai jenis binaan projek-projek mega yang membuka peluang kekayaan cepat itu bukan bererti pembangunan yang sebenar. Kita melihat ada tiga akibat buruk daripada jenis pembangunan ini.

Pertama, ia menggunakan sumber kewangan serta hasil negara yang banyak untuk projek-projek yang tidak menguntungkan rakyat ramai, terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana, secara langsung atau tidak langsung. Ada anggaran bahawa jumlah wang yang habis digunakan untuk projek-projek mega dalam 20 tahun yang lalu mencecah angka RM200 bilion. Alangkah baik jikalau wang sebanyak itu digunakan untuk pendidikan, kesihatan dan perumahan rakyat.

Kedua,  oleh kerana projek-projek mega itu membuka peluang berbagai-bagai kontrak besar dan kecil yang boleh memberikan pendapatan sangat lumayan, maka ia menjadi rebutan. Tetapi akhir sekali  kebanyakannya diagih-agihkan kepada segelintir  suku sakat dan sahabat handai belaka, melalui sistem pilih kasih. Selain itu perlumbaan untuk mendapatkan peluang projek dan kontrak itu juga menimbulkan perlumbaan untuk merebut jawatan pimpinan di peringkat cawangan, bahagian dan pusat UMNO-BN. Jawatan pimpinan  boleh menjamin mendapatkan peluang menjadi kaya cepat. Ia menjadi punca politik wang.

Mereka yang mempunyai wang menggunakan wang mereka untuk mendapat jawatan. Dengan jawatan itu mereka berharap dan boleh mendapat kekayaan. Ertinya, melalui kuasa politik mereka dengan mudah mendapat kekayaan.  Politik wang datang bersama-sama rasuah, dan penyakit ini sudah merebak dari atas sampai ke bawah. Akan tetapi,  serangan pemerintah terhadap penyakit bahaya ini berlaku hanya pada peringkat bawah – di kalangan ikan bilis – dan tidak sampai kepada peringkat atas – di kalangan jerung dan paus – yang selalunya dilindungi. Ramai pemimpin UMNO-BN yang diketahui secara meluas sebagai pengamal rasuah dan maksiat masih dilepaskan begitu saja, selagi mereka sanggup mengampu pucuk pimpinan.

Ketiga, perlumbaan untuk cepat dapat pangkat dan menjadi kaya berleluasa di peringkat atas dan merebak ke peringkat bawah. Bukan saja dalam UMNO-BN bahkan di seluruh masyarakat ia menimbulkan nilai-nilai kebendaan. Wang serta kekayaan hampir-hampir dianggap sebagai tuhan. Nilai kebendaan ini melemahkan lagi nilai-nilai moral bahkan keagamaan dalam masyarakat. Nilai kebendaan ini juga boleh meruntuhkan ikatan hubungan kekeluargaan serta persahabatan.

Selain pengaruh songsang dari barat dan timur, nilai kebendaan ini menimbulkan keruntuhan kekeluargaan dan kerosakan moral dalam masyarakat, yang kini menjangkit kepada muda-muda mudi, sampai kepada murid-murid sekolah. Ini bererti bahawa pembangunan  yang menekankan aspek fizikal serta ekonomi saja, dan  mengabaikan pembangunan sosial serta kerohanian bukanlah merupakan pembangunan yang tulen. Di sinilah terletaknya kelemahan projek pembangunan yang dilaksanakan oleh pemerintah sekarang.

SISTEM KAPITALIS KRONI

Krisis kewangan menjejaskan kedudukan syarikat-syarikat serta tokoh-tokoh korporat besar yang dianggap sebagai kroni, dan banyak yang tenat oleh kerana tanggungan hutang dan kemerosotan perniagaan. Berbilion-bilion wang rakyat dan hasil negara  disalurkan  untuk menyelamatkan syarikat dan tokoh korporat ini.  Melalui Danaharta, hampir RM48 bilion wang rakyat – daripada cukai, simpanan PETRONAS, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan juga Kumpulan Wang Pencen - digunakan untuk menyelamatkan mereka daripada hutang yang tidak boleh dibayar.

Sebaliknya, sedikit sekali wang rakyat yang diperuntukkan bagi membantu petani-petani. Seperti yang sering saya sebut, kira-kira RM2 bilion dibelanjakan untuk menyelamatkan seorang anak PM daripada syarikat perkapalan miliknya yang nyaris tenggelam, akan tetapi cuma RM1 bilion saja dikeluarkan untuk membantu kira-kira 300,000 penoreh yang menanggung beban kejatuhan harga getah. Begitu juga, sebanyak RM1.9 bilion telah dibayar untuk seorang korporat kroni bagi menyelamatkan sahamnya dalam syarikat penerbangan kebangsaan yang hampir lingkup, walhal cuma RM500 juta saja diagihkan kepada  lebih 100,000 orang pekebun kecil kelapa sawit, walaupun mereka menderita apabila harga sawit kini jatuh daripada RM800 kepada hanya RM200 satu tan.

Tidak pelik semua ini berlaku. Kesemuanya adalah akibat daripada dasar dan sistem kapitalisme kroni yang didukung dan dilaksanakan oleh pimpinan BN. Sudah tentu sekali sistem seperti ini akan mengayakan dan menyelamatkan hanya segelintir kroni dan bukannya rakyat terbanyak. Kekayaan negara bertumpu hanya pada tangan segelintir orang, manakala ramai rakyat terus hidup papa kedana.

Sebagai contoh, Datuk Samy Vellu pernah mengisytiharkan bahawa seluruh masyarakat India memiliki harta sebanyak RM6 bilion. Di kalangan mereka ini ramai yang hidup di bawah paras kemiskinan sebagai pekerja estet. Akan tetapi baru-baru ini seorang India dari Malaysia disenaraikan sebagai seorang daripada 100 orang terkaya dalam dunia. Harta yang dimiliki atau dikuasai oleh beliau seorang, seorang saja, ialah sebanyak RM16 bilion. Beliau ini sangat rapat hubungannya dengan pucuk pimpinan BN.

RAKYAT BOSAN DAN MENENTANG

Apabila ekonomi negara bertambah merosot dan kesusahan rakyat semakin meningkat, maka keadaan politik bertambah menyulitkan lagi bagi pemerintah. Berikutan krisis kewangan, penyingkiran serta pengaiban Anwar Ibrahim, peristiwa mata lebam Anwar, tuduhan palsu ke atasnya, penubuhan GERAK, pembentukan BA, perhimpunan jalanan, kezaliman polis, kemerosotan kehakiman, hukuman enam tahun penjara ke atas Anwar atas tuduhan rasuah, maka pengaruh UMNO-BN  merosot. Orang Melayu memindahkan sokongan mereka kepada parti-parti BA, terutama PAS. UMNO-BN mengalami kekalahan besar dalam pilihanraya umum 1999, walaupun dapat mempertahankan majoriti dua-pertiga dalam parlimen.

Kemudian berlaku pula kejatuhan ekonomi pertanian, Anwar dihukum penjara sembilan tahun lagi atas tuduhan liwat, perhimpunan rakyat membantah hukumannya meningkat, pemimpin-pemimpin BA menyertai beberapa perhimpunan aman, Anwar sakit belakang dan tidak dibenarkan keluar untuk berubat,  GMI ditubuhkan dan lebih banyak bantahan diadakan. Kesemua ini menyebabkan Mahathir dan UMNO semakin tidak popular di kalangan orang Melayu dan juga sebahagian daripada orang bukan Melayu.

Selepas itu timbul serangan Mahathir terhadap Suqiu, dan muncul  pula isu Sekolah Wawasan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Damansara, penahanan 10 orang aktivis politik dan reformis di bawah ISA dan pengambilalihan akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press oleh MCA dengan restu, jikalau tidak arahan, Mahathir. Kemarahan masyarakat Cina terhadap BN serta para pemimpinnya bertambah kuat.

STRATEGI UMNO-BN MENARIK SOKONGAN

Mahathir bimbang terhadap kemerosotan sokongan kepadanya secara peribadi dan juga terhadap UMNO-BN. Beliau gusar kerana hal ini akan menjahanamkan peluang mereka dalam pilihanraya akan datang. Oleh kerana itu, dari sekarang lagi Mahathir dan pak-pak turut penting di sekeliling pinggangnya memikirkan dan melaksanakan strategi untuk mendapatkan semula sokongan daripada pengundi Melayu dan bukan-Melayu. Pemerintah cuba berusaha untuk memulihkan ekonomi, akan tetapi rakyat melihat bahawa mereka yang dipulihkan ialah syarikat-syarikat serta tokoh-tokoh korporat yang besar, terutama kroni-kroni  terkenal saja.

Pemerintah secara langsung dan melalui parti-parti komponen cuba menguasai semua media dan menggunakannya dengan penuh untuk menaikkan pucuk pimpinan BN dan memburuk-burukkan pimpinan BA pula. Pada masa yang sama mereka mengharamkan penerbitan-penerbitan alternatif, seperti Eksklusif, Detik serta Wasilah dan merampas akhbar-akhbar terbitan parti pembangkang untuk menakutkan pengedar-pengedarnya.

Jabatan “main kotor” di bawah Perdana Menteri dan pihak Cawangan Khas (SB) terus-menerus menyebar  berbagai-bagai rancangan propaganda palsu serta perang urat-saraf  untuk memburukkan parti lawan dan mengugut serta menakutkan rakyat sehingga mereka merasa terpaksa menyokong UMNO-BN.

Secara khusus, untuk mendapatkan sokongan Melayu, UMNO cuba memperbaiki imejnya, konon sebagai tempat bergantung orang Melayu. Pucuk pimpinan UMNO menonjolkan diri mereka sebagai bercita-cita untuk menyatupadukan orang Melayu-Islam, manakala parti-parti dalam BA pula dituduh mahu menimbulkan perpecahan. Pada hal, selama ini Presiden UMNO yang paling banyak sekali melakukan perkara-perkara tidak senonoh yang memecahbelahkan lagi orang Melayu. Sangat lucu sekali  mendengar beliau berkokok kononnya  hendak menganjur perpaduan.

Selain itu, UMNO dan para pemimpinnya menimbulkan diri mereka sebagai juara “hak istimewa orang Melayu” juga. Pada hal, manakala mereka dan kunco-kunco mereka hidup dalam serba kemewahan, rakyat jelata Melayu masih ramai lagi hidup dalam kemiskinan, tinggal dalam gobok-gobok buruk, memakan makanan tidak berkhasiat dan kadang-kadang tidak mampu untuk membayar yuran peperiksaan anak-anak sekolah mereka. Kita semua mengetahui bahawa atas nama “hak istimewa” beberapa kerat orang kaya Melayu dan juga bukan Melayu menjadi bertambah kaya. Sebaliknya, petani-petani  Melayu Iban, Kadazan, Bajau dan lain-lain, pekerja estet India, peniaga kecil Tionghua masih hidup dalam serba kesusahan.

Untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu pula, khususnya orang Tionghua, mereka menimbulkan momokan kononnya BA berpecah belah dan tidak mampu memerintah, dan jikalau berkuasa akan menimbulkan hanya huru-hara dan pergaduhan kaum. Pada hal BN dan parti-parti di dalamnya  yang kini retak menunggu belah. Mereka sering membakar api perkauman untuk mendapatkan sokongan lebih besar.

Pergaduhan yang berlaku di Taman Medan tidak lama dulu adalah berpunca daripada tindak-tanduk perkauman pihak pemerintah. MIC cuba mendapatkan sokongan orang India di sana dengan berbagai-bagai sogokan. Tetapi mereka gagal, kerana mangsa kematian dan kecederaan masih belum mendapat pembelaan penuh. Tambahan lagi, pucuk pimpinan BN sering menakut-nakutkan orang bukan Melayu bahawa jikalau BA menang, ia akan dipimpin oleh PAS, yang pasti akan cuba menubuhkan Negara Islam dan menyekat kebebasan rakyat.

TAKTIK KOTOR UMNO-BN DAN KESBAN

Kami bimbang bahawa jikalau segala rancangan kotor pemerintah BN ini tidak berjaya, maka mereka akan mengambil tindakan-tindakan yang lebih bahaya. Kami ingin memberi ingatan bahawa ada unsur dalam kerajaan dan  parti-parti BN, khususnya UMNO, yang cuba hendak mencetuskan kekacauan, jikalau boleh. Polis digunakan bukan saja untuk memukul dan menangkap “reformis”, bahkan memaksa sesetengah pengetua pusat pengajian tinggi supaya bertindak membuang pelajar-pelajar yang dituduh, tanpa bukti yang kukuh, sebagai mengancam keselamatan semata-mata kerana mereka menyokong “reformasi”.

Seorang pelajar UiTM, Rafzan Ramli, telah dibuang tanpa diberi peluang yang adil untuk membela diri. Tetapi Rafzan telah diterima balik untuk belajar. Tetapi enam orang pelajar yang ditangkap bersama beliau kerana menyertai perhimpunan aman sedang menunggu dibicara. Pelajar IKM bernama  Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, telah ditahan di bawah ISA selepas pihak SB gagal menekan pihak IKM supaya membuang beliau.  Selepas itu, Presiden Majlis Perwakilan UM, Mohamad Fuad Mohd Ikhwan, juga telah ditahan di bawah ISA. Kami membantah keras tindakan polis mencerobohi hak asasi pelajar-pelajar ini.

Apabila berlaku kebakaran Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, dengan cepat tanpa menunggu hasil siasatan rasmi, sesetengah pemimpin BN menuduh kononnya ia dilakukan oleh “mahasiswa militan”. Mereka menggertak akan mengambil tindakan terhadap pelajar yang dengan mudah dicap sebagai anti-kerajaan. Tetapi tidakkah pelajar mempunyai hak untuk menyuarakan sikap politik mereka?

Jikalau pihak pemerintah boleh membuat tuduhan liar bahawa ada anasir pelajar yang menyebabkan kebakaran itu, mengapa pula tidak boleh pihak rakyat mengesyaki mungkin ia dilakukan oleh “jabatan main kotor” pemerintah untuk membuka jalan mengambil tindakan keras ke atas pelajar-pelajar universiti? Barangkali perlu diingatkan di sini bahawa beberapa waktu  yang lalu pihak berkenaan telah mengesyorkan supaya DTC dirobohkan supaya boleh didirikan bangunan “lebih hebat”. Berita terkini menyatakan bahawa hasil siasatan menunjukkan kebakaran itu disebabkan oleh masalah elektrik. Tetapi sekarang ini polis pun hendak menyiasat. Adakah mereka hendak membawa bukti dusta bahawa pelajar yang membakar?

Sekarang ini ISA terus digunakan untuk melemahkan gerakan “reformasi” serta parti pembangkang yang dituduh sebagai mengancam keselamatan. Kami mengutuk tindakan polis lebih tiga bulan lalu menahan 10 orang aktivis politik dan reformis di bawah ISA dengan tuduhan yang tidak masuk akal dan tidak pernah dibuktikan. Ini suatu tindakan provokasi. Kami percaya   pihak pemerintah melalui “jabatan main kotor” dan SB gatal tangan untuk mencetuskan kejadian yang tidak diingini. Selepas itu mereka boleh membuat tuduhan liar yang tidak perlu mereka buktikan dalam mahkamah ataupun di mana-mana pun, dan kemudian menangkap lebih ramai lagi pemimpin pembangkang secara semberono dengan menggunakan ISA.

Kita melihat bagaimana mereka yang ditahan di bawah ISA baru-baru ini dituduh mahu menjatuhkan Kerajaan BN secara kekerasan; dan mereka dituduh juga merancang menggunakan  alat-alat letupan dan senjata api. Kononnya mereka juga membuat hubungan sulit dengan pihak luar untuk mencetuskan keganasan. Dalam Perhimpunan UMNO tiga minggu lalu,  Mahathir mengecam hebat terutama sekali PAS serta pemimpin-pemimpinnya yang konon mahu memecahbelahkan orang Islam. Sebelum itu, pihak polis membesar-besarkan berita tentang kumpulan-kumpulan bersenjata (yang terlibat dalam rompakan), sebagai mempunyai hubungan dengan golongan militan luar negeri yang kononnya hendak menegakkan Daulah Islamiah.

Kami melihat ada tangan  tersembunyi dari badan-badan tertentu di bawah pemerintah BN yang ingin  cuba  mengaitkan semua ini dengan PAS. Mereka tidak akan berhenti membuat provokasi dengan mencetuskan kekacauan, apabila bersedia untuk menyalahkan PAS, dan kemudian mengambil tindakan ke atas pemimpin-pemimpin tertentu PAS, dan seterusnya cuba melumpuhkan parti itu. Taktik ini pernah digunakan oleh pemerintah penjajah dan Perikatan dulu terhadap golongan kiri. Kami memberi ingatan supaya pemerintah jangan hendak mencuba semula taktik-taktik lama yang kotor ini terhadap mana-mana parti alternatif.

Soal ancaman keselamatan negara akan terus dibesarkan oleh UMNO-BN bersama rancangan pembangunannya. Sejak zaman penjajahan lagi pemerintah telah menggunakan satu strategi untuk menentang dan mematahkan pemberontakan di negeri ini, terutama oleh  komunis. Strategi ini dikenali sebagai KESBAN (Keselamatan dan Pembangunan). Nampaknya, strategi ini kini sedang dihidupkan kembali oleh pucuk-pimpinan BN untuk menangani pihak lawan politik mereka, supaya boleh terus berkuasa. Mereka tidak akan berjaya kerana pembangunan tidak menguntungkan rakyat dan masalah keselamatan sengaja dibuat-buat dan dibesar-besarkan saja.

Sangat keji sekali bahawa pemerintah BN sekarang ini meniru taktik-taktik kotor lagi usang yang diwarisi daripada penjajah untuk menindas kebangkitan rakyat.

BERSEDIA UNTUK PERUBAHAN

Pucuk pimpinan UMNO-BN sekarang ini semakin sasau dan hilang akal. Mereka gelabah kerana sokongan untuk mereka semakin merosot di kalangan rakyat dari semua lapisan dan keturunan.  Mereka semakin dibenci. Mereka sedar bahawa dengan kuasa rakyat dan kudrat Allah, mereka akan jatuh tersungkur. Kejatuhan mereka  mungkin berlaku tidak lama lagi atau mengambil masa yang agak panjang. Akan tetapi ia pasti akan berlaku, Insha Allah. Kita dari pihak BA sekarang ini perlu memikirkan apakah yang akan berlaku dan membuat persediaan untuk tempoh selepas Mahathir. Sebenarnya, kita bukan menentang hanya Mahathir. Beliau melambangkan UMNO-BN serta segala dasar jelek yang dijalankan olehnya.

Usaha kita bukan ditujukan semata-mata supaya Mahathir saja berundur. Mahathir berundur tidak akan membawa banyak perubahan, sebagaimana Tun Daim Zainuddin berundur daripada segala jawatannya dalam kerajaan dan parti tidak membawa apa-apa pertukaran. Begitu juga siapa saja yang mengganti Mahathir dari kalangan pimpinan UMNO sekarang (termasuk Datuk Abdullah Badawi), tidak mungkin boleh menjanjikan reformasi yang bererti.

Kesemua mereka bertanggungjawab atas segala dasar dan amalan yang dijalankan oleh Mahathir sekarang. Mereka sama-sama bergelumang dengan najis korupsi, salah guna kuasa  dan juga keruntuhan moral yang telah mengotori pemerintahan di bawah Mahathir selama 20 tahun. Mereka sama-sama mengocak kekotoran dasar berasaskan sistem kapitalisme kroni yang merosakkan nilai-nilai luhur dalam  masyarakat.

Kita mahu menjana reformasi tulen. Syarat pertama ialah menjatuhkan pemerintahan BN, kalau boleh secepat mungkin dalam pilihanraya akan datang. Hanya selepas itu baru kita boleh menegakkan perubahan atau reformasi dalam sistem politik, ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan dan lain-lain, supaya tercapai matlamat rakyat untuk keadilan, demokrasi, perpaduan dan kebajikan bagi semua. Sekarang ini pemerintah bertambah zalim kerana kuasa semakin berpusat pada tangan seorang pemimpin  gila kuasa yang menggunakan berbagai-bagai cara untuk menundukkan rakyat. Namun ada juga sedikit-sedikit tanda perubahan.

Kita mengalu-alukan  beberapa orang hakim yang membuat keputusan berani berhubung kes-kes tanah pusaka Orang Asal, tahanan ISA, pilihanraya Likas dan  peguam Anwar, Zainur Zakaria. Akan tetapi sebagai satu tonggak penting dalam demokrasi, kewibawaan sistem kehakiman masih jauh daripada pulih. Begitu juga, dua tonggak lain yang tidak kurang penting dalam demokrasi, iaitu polis dan media masih belum profesional dan bebas.  Memang menjadi tugas penting kita untuk mengembalikan kewibawaan mahkamah, profesionalisme polis dan kebebasan akhbar.  Ini boleh berlaku sekiranya kita dapat menggantikan sistem pemerintahan yang zalim serta bersifat  kuku besi hari ini dengan sistem pemerintahan baru yang lebih adil, demokratik, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat.

PERKEMBANGAN MENGGALAKKAN BA

Untuk mencapai matlamat membawa perubahan dalam pemerintahan, Barisan Alternatif (BA) mempunyai peranan yang penting. Sejak ditubuhkan sebelum pilihanraya yang lalu, dalam banyak hal BA sebenarnya semakin mantap sebagai sebuah gabungan parti-parti pembangkang. Mula-mula ia berjaya membawa empat parti pembangkang, iaitu PAS, keADILan, DAP dan PRM, dalam satu gabungan sungguhpun mereka mempunyai ideologi serta politik berlainan. Ramai yang tidak percaya bahawa PAS dan DAP, yang sering banyak bertentangan, telah bersetuju  berganding bahu dalam gabungan ini untuk menentang Barisan Nasional (BN).

Pihak BN meramalkan bahawa BA akan pecah sebelum pilihanraya yang lalu. Sebaliknya, BA telah berjaya menguatkan jalinan hubungan dengan menerbitkan sebuah Manifesto Bersama bertajuk “Ke Arah Malaysia Yang Adil” dan membentangkan Belanjawan Alternatif.  Walaupun terpaksa melalui jalan beranjau, mereka berjaya meletakkan calon satu lawan satu dengan BN dalam hampir semua kawasan pilihanraya. Sungguhpun BA mencapai kejayaan yang agak besar dari segi undi, dengan meraih kira-kira 44 peratus daripada jumlah yang dibuang, namun ia memenangi tidak sampai 30 peratus daripada kerusi parlimen.

Sekali lagi para pemimpin BN meramalkan sudah tentu parti-parti alternatif akan bercerai-berai. Mereka terperanjat bahawa BA berterusan, walaupun tidak begitu mantap. Majlis Pimpinan BA terus mengadakan mesyuarat, hampir sebulan sekali, dan berjaya mengadakan beberapa majlis perbincangan yang melibatkan pemimpin-pemimpin kanan dari semua parti. Sebuah Sekretariat dan 20 buah biro telah ditubuhkan. Sekretariat ini bergerak cergas, dan kebanyakan biro dapat menjalankan tugas mereka dalam bidang masing-masing, walaupun penyertaan dari sesetengah parti dalam aktiviti-aktiviti beberapa  biro masih belum memuaskan  lagi. Di peringkat beberapa buah Negeri dan juga Bahagian struktur kerjasama telah  dapat juga diwujudkan.

Banyak kenyataan bersama telah dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan BA yang menyatakan pendirian mereka mengenai berbagai-bagai isu melibatkan politik, ekonomi, pendidikan dan kehakiman dan sebagainya. Begitu juga banyak ceramah bersama diadakan di mana pemimpin-pemimpin penting semua parti hadir. Lebih penting lagi, pemimpin-pemimpin semua parti alternatif sanggup turun ke padang untuk menyertai beberapa perhimpunan aman untuk membantah tindakan-tindakan zalim pemerintah dan juga mengemukakan memorandum yang menyatakan pendirian bersama parti-parti BA kepada pelbagai pihak.

Tetapi satu perkara yang masih gagal disetujui oleh parti-parti BA ialah untuk mempunyai satu nama dan lambang yang boleh digunakan terutama sekali bagi pilihanraya. Sebenarnya, nama dan lambang untuk pilihanraya ini tidak melenyapkan nama dan lambang parti masing-masing. Namun begitu sehingga sekarang kata sepakat masih belum dicapai. Oleh kerana itu, pihak musuh sering dapat menuduh bahawa gabungan BA masih rapuh lagi. Ini mungkin ada kebenarannya. Sebenarnya nama dan lambang yang sama itu bukan saja boleh membuktikan perpaduan yang utuh dalam BA, bahkan ia akan memudahkan lagi para pengundi untuk membuat pilihan.

CABARAN UNTUK BA

Ada anggota BA yang menegaskan bahawa masalah nama dan lambang bersama hanya akan dapat diselesaikan setelah disetujui oleh setiap parti dan setelah beberapa perbezaan dasar yang pokok dapat diatasi di antara semua parti. Memang ada perbezaan pendirian tentang isu-isu pendidikan dan kebudayaan, misalnya, akan tetapi ini mudah dan sebahagian besarnya sudah pun diselesaikan. Akan tetapi ada isu yang sentiasa menjadi duri dalam daging, terutama antara PAS dengan DAP, iaitu isu pembentukan Negara Islam. Kita lihat bahawa baru-baru ini isu tersebut telah meletus lagi dengan lebih hebat, sehingga boleh mengancam masa depan BA.

Sebenarnya pemimpin-pemimpin utama BA telah memulakan proses berukar fikiran mengenai isu Negara Islam ini. Akan tetapi belum ada kata sepakat yang dicapai, walaupun  para pemimpin itu sudah mulai mempunyai pemahaman tentang pendirian dan sikap masing-masing. Oleh kerana itu memang perlu sekali proses perbincangan ini diteruskan sehingga tercapai kata sepakat mengenai isu ini dan  cara terbaik untuk menanganinya dari segi politik.  Malang sekali sebelum ini dapat berlaku, kontroversi sensitif  telah meletup di khalayak umum, kadang-kadang dalam bentuk tuduhan dan ugutan yang tidak sewajarnya, melalui media milik pemerintah yang mempunyai agenda tersendiri.

Kita akui bahawa isu Negara Islam ini bukan berpunca daripada pemerintah, dengan ertikata bukan BN yang hendak menegakkan Negara Islam. Akan tetapi, apabila kontroversi mengenainya berlaku dengan cara yang tidak terkawal dan melibatkan parti-parti dalam BA, maka tentulah ia dapat dieksploitasi oleh media yang dimiliki parti-parti pemerintah untuk keuntungan mereka. Memang strategi BN ialah untuk menakutkan para pengundi bukan Melayu terhadap BA dengan menggunakan isu Negara Islam ini. Dengan disedari atau tidak disedari kita nampaknya  terjebak dalam perangkap mereka.

Memang benar bahawa isu Negara Islam ini perlu juga dibincangkan secara terbuka dan telus. Tetapi masa, tempat dan salurannya mesti kita sendiri yang menentukan. Jangan hendaknya  sampai ia  menimbulkan ancaman perpecahan dan memburukkan imej BA  kepada rakyat. Perbincangan tentang isu ini baik diadakan di semua peringkat dalam BA dulu. Lebih baik lagi jikalau perbincangan umum dilakukan setelah ada persefahaman di antara parti-parti BA, supaya sasaran dapat kita tujukan terhadap parti-parti dalam BN dan bukannya terhadap parti-parti sahabat  BA sendiri.

Ekoran daripada kontroversi ini ada golongan kecil dalam BA yang berpendapat mungkin lebih baik diadakan sistem 3+1, dengan maksud salah satu daripada parti komponen yang tidak boleh bersetuju berundur dari BA. Sebenarnya, jikalau ada pendapat seperti ini, buruk baik mengenainya mesti dibincangkan juga secara mendalam dengan semangat persahabatan serta setiakawan, bagi menentukan jenis perhubungan politik di antara mereka.

Tetapi, perlu diingat bahawa parti yang berundur itu tidak mungkin membersihkan diri mereka daripada bermacam-macam tuduhan yang akan dilempar oleh pihak BN, kerana telah “bersekedudukan” begitu lama dalam BA. Tambahan pula, apa saja tindakan yang boleh diandaikan sebagai perpecahan dalam BA boleh melemahkan bukan saja gabungan BA akan tetapi setiap parti di dalamnya. Mujurlah golongan terbesar dalam BA dan juga gerakan alternatif masih mahu BA berterusan dengan lebih mantap lagi.

Sebenarnya tidak ada  pilihan lain bagi kita melainkan menguatkan lagi asas pergabungan BA dan memantapkan lagi perpaduan di kalangan anggotanya, supaya ia boleh dianggap  oleh sebahagian besar rakyat sebagai pilihan yang “viable” dan alternatif  yang diyakini. Satu cara melakukan ini ialah dengan menguatkan lagi pegangan kepada Manifesto Bersama.

Manifesto yang ada  masih boleh dibaiki. Senario politik sudah berubah, berbanding dengan sebelum pilihanraya 1999 dulu, dan oleh kerana itu beberapa pindaan atau perubahan perlu dilakukan ke atasnya. Dari sekarang para pemimpin BA mesti duduk berbincang, supaya dapat diwujudkan Manifesto Bersama baru yang boleh dipegang bersama. Isu-isu yang menimbulkan pertentangan mesti diselesaikan. Jikalau mungkin, satu nama dan lambang bersama dan penentuan calon untuk pilihanraya dapat dipersetujui lama sebelum pilihanraya diadakan.   Inilah cabaran besar bagi BA sebelum pilihanraya akan datang.

PERCANTUMAN PRM-KEADILAN

Pada 11hb Jun 2000, Kongres PRM telah membincangkan soal percantuman dengan Parti Keadilan Nasional (keADILan). Perbincangan bersemangat, hangat serta berterus terang, dan ramai juga yang menentang atau menyatakan keraguan. Akan tetapi akhirnya secara konsensus cadangan percantuman telah diterima dan Kongres memberikan mandat kepada Jawatankuasa Pusat (JKP) untuk melaksanakannya.

Seminggu kemudian keADILan dalam Mesyuarat Agung Tahunannya juga mengalu-alukan rancangan percantuman ini dan memberikan mandat yang sama kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mereka. Selanjutnya kedua-dua parti telah membentuk Jawatankuasa Perunding masing-masing dan mereka telah berunding banyak kali untuk mencari asas persetujuan bagi percantuman itu. Hanya dalam bulan Mei tahun ini tugas mereka telah selesai. Hasil persetujuan yang dicapai dari semasa ke semasa telah dibentangkan kepada JKP untuk diluluskan.

Tiga minggu lalu keADILan telah mengadakan Mesyuarat Agung Khas untuk membincangkan resolusi mengenai percantuman, berdasarkan persetujuan yang telah dicapai oleh Jawatankuasa Perundingan. Seperti kita tahu, majoriti yang jelas (iaitu 63-64 peratus perwakilan yang mengundi) telah bersetuju dengan percantuman dan memberikan kuasa kepada MPT untuk melaksanakannya. Akan tetapi, sedikit masalah telah timbul oleh kerana undi majoriti dua-pertiga tidak tercapai untuk meminda Perlembagaan keADILan, sesuai dengan resolusi yang dikemukakan, bagi memudahkan proses percantuman itu.

Presiden keADILan YB Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail telah menyatakan bahawa ini adalah masalah teknikal yang mereka harap akan dapat diatasi dalam beberapa bulan lagi. Kita mengetahui bahawa masalah ini akan melengahkan sedikit proses percantuman daripada jadual yang dirancang. Sudah tentu selagi perlembagaan keADILan tidak dipinda secara sah, percantuman tidak dapat dilaksanakan. Kami meyakini  kenyataan Wan Azizah itu dan percaya pimpinan keADILan akan berusaha dengan jaya untuk memperolehi undi dua-pertiga yang diperlukan.

Seperti di dalam keADILan, terdapat juga dalam PRM penentangan, keraguan dan kurang penjelasan mengenai tujuan dan proses percantuman ini. Rombongan-rombongan JKP yang turun untuk memberikan penerangan kepada anggota dan bahagian PRM mendapati bahawa pada umumnya sebahagian besar bersetuju dengan syarat-syarat untuk percantuman itu. Tetapi terdapat kebimbangan terhadap masa depan yang melibatkan pembubaran PRM.

Saya dapat memahami rasa kasih sayang anggota terhadap parti yang lama mereka sertai untuk memperjuangkan keadilan sosial. Namun, saya percaya dan berharap perkara ini akan dapat dibincangkan  dengan kepala yang dingin serta hati yang terbuka sehingga kita dapat mencapai kesimpulan yang  betul lagi memuaskan. Saya ingin menyeru supaya kita semua akan mempertahankan perpaduan selepas membuat keputusan.

Saya kira tidak perlu dihuraikan semula di sini dengan panjang lebar apakah matlamat yang diharapkan dan faedah yang boleh dicapai daripada percantuman ini. Saya telah bentangkan perkara ini dalam ucapan dasar tahun lalu. Ia telah banyak diperbincangkan dalam Kongres ketika itu dan juga dalam majlis-majlis pertemuan di antara wakil-wakil pusat dengan bahagian-bahagian. Secara ringkas bolehlah disebut kembali bahawa dengan percantuman ini kita berharap akan timbul wadah baru politik yang bersifat pelbagai kaum, yang boleh memainkan peranan lebih besar dalam kawasan campuran (mixed constituencies) untuk pilihanraya akan datang dan menjalankan tugas  lebih penting dalam politik negara.

Sehubungan ini izinkan saya mengutip kembali apa yang telah saya ucapkan tahun lalu untuk menegaskan perkara yang saya anggap penting sekali, yang berbunyi demikian: “Tetapi, bukan kemenangan dalam pilihanraya saja yang menjadi perhitungan bagi menggalakkan percantuman ini. Bahkan yang lebih penting ialah ia boleh mempelopori dan menawarkan aliran politik progresif serta tidak perkauman, yang tegas berjuang untuk menegakkan pemerintahan baru yang adil, demokratik, berdaulat, bersatu-padu, bermoral, telus dan prihatin kepada kepentingan serta kebajikan rakyat.”

Kami menganggap bahawa parti yang dihasilkan daripada percantuman PRM-keADILan kelak merupakan satu inisiatif yang baru. Ia memberi peluang kepada PRM untuk melanjutkan perjuangan menegakkan Masyarakat Malaysia Yang Adil melalui satu wadah yang lebih besar dan luas. Berdasarkan Manifesto BA, perjuangan ini sebenarnya sama-sama didukung oleh parti-parti dalam BA. Kami harap percantuman ini bukan saja menyatukan dua parti yang telah melalui sejarah berbeza, akan tetapi dapat mengukuhkan lagi sebuah parti yang mempunyai matlamat serta tujuan politik yang sama. Mudah-mudahan ia akan dapat menjadi asas yang boleh memantapkan lagi perpaduan dalam BA.

Akhir sekali, dengan lafaz Bismillah, saya dengan penuh sukacita merasmikan Kongres PRM yang ke-34 ini. Semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita semua.

Dr Syed Husin Ali Presiden PRM

15hb Julai 2001