Hilangnya Kepercayaan Terhadap  MCA
(MCA’s  Loss  Of  Public  Trust)

Harun  Rashid:  15  Julai, 2001.

Urusan jual beli   Nanyang Press  oleh  MCA  adalah  satu  gambaran  betapa aibnya  keadaan  yang  menghantui  Malaysia. Tidak  ada  langsung  sebarang  kewarasan  terhadap  urusan jual beli  itu  ataupun  pembiayaan  urusannya.  Apabila  sebuah  parti  politik  sanggup   melabur  RM230  juta  semata-mata  untuk  menguasai  sebuah  perniagaan  yang  memberikan  pulangan  keuntungan  tiap  tahun  sekitar  RM5  juta  sahaja,  pasti  mengundang  banyak  tanda tanya  tentang  kewarasannya.

Urusan  itu  diperkasakan  dengan  dalil  bahawa “ianya  satu  pelaburan  politik  yang  strategik.”  Apabila  diberikan  tafsiran  bahasa mudah,  bererti  sudah  wujud  satu  kepastian betapa para  pembaca  akhbar Malaysia  dalam  Bahasa  Cina  adalah  terdedah  kepada propaganda  untuk  mendorong  mereka  mengundi  MCA  dan  BN  di  masa  hadapan.  Ini  adalah  satu percaturan  niaga  yang tinggi  risikonya  dan  sudah  pasti  tidak akan  diambil  oleh  seorang  peniaga  yang  memang  unggul  wibawanya.

Harga  pasaran  saham  The Star,  sudah  lama  diasak  oleh  tekanan. Selama berbulan saham  itu  telah  tergantung   pada  tahap  RM8.50  dan  sedikit  meninggi  dari  paras  ini dengan  wujudnya  sokongan  pembeli  setiap  hari. Kini,  harga  itu  sudah  menurun  ke  paras  RM8.10,  menggelonsor  dan  mencecah  paras  RM7.95   pada  catatan  pasaran  Jumaat  lalu  dan  berkemungkinan menggelonsor  lagi  ke  tahap  bawahan  yang  lagi  satu.  Setiap  kejatuhan  sebanyak  0.50  sen  yang  terjadi  kepada  harga  saham  The  Star  itu,  membawa  erti  betapa  koletral  MCA  akan  turut  jatuh  sekitar RM33  juta.  Nilai  harga  saham  The  Star  yang  dipegang  oleh  MCA  dan  dicagarkan  untuk  pembelian  Nanyang  Press  adalah  ditaksirkan  ketika  itu  sekitar  RM560  juta. Ini  bererti  nilai  tersebut  sudah  pun  terkena  senggugut  untuk  mereput  sekitar  RM530  juta. 

Masyarakat Cina  sudah pun  menyerlahkan  ketidak-senangan mereka  terhadap   tindakan  MCA,  yang  turut dirangsang  oleh  pembuangan  secara  melulu   para  editor  Nanyang  Press  itu.  Ini  telah  disusuli oleh penarikan  sokongan  para   peniaga  Cina untuk  menarik  pengiklanan  mereka dan  diikuti  pula  oleh  beberapa  kumpulan  penulis  popular  Cina  yang menghentikan  sumbangan  karya  mereka.  Apabila  dicampurkan  dalil  semua  ini  dengan  penolakan  para  pembaca  yang dulunya  setia  membeli,  tentunya  menggugat  kewarasan  urusniaga belian  itu  tadi;  baik  dari  segi  kewangan  mahupun  daripada  pandangan  politik  yang  matang.  

Kalau  diketepikan  dulu   unjuran   politik buat  sementara  waktu,  tentu  kita   pening  memikirkan  tanggungan  baru  MCA  itu.  Dari manakah  datangnya  dana  untuk  membayar  balik hutang  itu  nanti, termasuk faedah tahunannya  sekali? Bukannya  banyak  sangat  pendapatan  tahunan  Nanyang,  sedangkan  hutang  tahunan  MCA    pada  kadar  yang  minimanya,  sekitar  RM15  juta  akan  terus  bergoyang? .   Malahan,  kalau  diambil kira  syarat urusan  hutang  yang  sebenarnya,  harga  tanggungannya  tentu  menjadi  lebih  tinggi  lagi.

Kemungkinan  besar, pelunasan  hutang itu  nanti  akan  diusahakan  melalui  kutipan  derma  ahli MCA. Kalau diandaikan  terdapat  setengah  juta   ahli  MCA,  sumbangan  tahunan  mereka  ialah  sekitar  RM30   ataupun  lebih kurang  begitu; yang  dianggap  satu  sumbangan  yang  tidak  membebankan.  Akan  tetapi,  ramai   ahli  MCA  menentang   urusniaga  itu,  dan tidak  pula  sanggup  menyumbang  terhadap  tabung  sukarela  ini. Sudah  dianggarkan  hanya  sekitar  25  persen  ataupun  sedikit  kurang  dari  itu  yang  akur  dengan  pembelian  Nanyang.  Jika  demikian,  jumlah  ahli  yang  bersetuju  itu  terpaksa  menyumbang  sekitar  RM150 setiap  seorang  untuk  menyokong  tindakan  Dr.  Ling.   Kepada  sebahagian  besar  kumpulan  ahli  itu,  wang  sebanyak  itu  adalah   bersamaan  dengan gaji mereka  untuk  satu  minggu. 

Sudah  timbul  kini  soal penting  yang  mempertikaikan  penggunaan  saham Star  sebagai  kolateral .  Ketidak-senangan  ini   nampaknya  sudah  menjalar  kepada  para  pembaca,  penulis  dan  pengiklan  The Star,  setelah  mereka  menyedari  betapa  Ling  dan  MCA  cuba  menggunakannya  sebagai  propaganda  politik  mereka.   Semakin  kuat  pula  kini  kejijikan  terhadap  pemberitaan  MCA  yang  dianggap  berbisa  itu. Seandainya  tahap  keuntungan  The  Star   menurun  juga,  sehingga  tidak  mampu  menyokong   harga  pasaran  sahamnya  yang  sengaja  dilonjakkan  itu, kemerosotan  harga  yang  berterusan  sudah  tentu  boleh  dijangkakan,  apa lagi  dengan  berkurangannya  kutipan  hasil  pengiklanan  yang  memang  merudum  selari  dengan  trenda  global  disebabkan  keadaan  ekonomi  yang  merosot.

Ada  pihak  yang menyebut  wujudnya  hartanah  kepunyaan  Nanyang, yang  tidak  siapa  pun  tahu   nilaian  harga  tekanan  pasarannya. Aset itu  berkemungkinan  terpaksa  dijual   untuk  menanggung  sebahagian  bebanan harga  belian. Soalnya  sekarang,  apakah  sokongan  ahli  MCA  terhadap  pembelian itu  dulu  boleh  diguna pakai seandainya  kolateral  yang  dipajakkan  itu didapati  tidak  mencukupi  untuk  menyokong hutang  yang  belum  langsai?    Seandainya  nilai  saham The Star  menjunam ke  paras  RM4,  nilai  kolateral  yang  dicagarkan  itu  akan merudum  setakat  RM265  juta  sahaja, yang  bersamaan  dengan  kadar  100  persen  harga  pembelian  Nanyang.

Seandainya  pendapatan The  Star menjunam  disebabkan  kerunsingan   pelabur  dan  suasana  pelaburan  yang  semakin  kabur, nilai  saham  akhbar itu akan  melalui  satu tempoh kepahitan  seiras  pengalaman  sebuah  akhbar  bahasa  Inggeris  yang  paling  popular  di  Malaysia,  The  new  Straits Times,  yang  sudah  merudum  daripada  ketinggian  harga  RM19  kepada  tahap  tahunan  RM2.4, walaupun  pada  pasaran  Jumaat  lalu  ia  ditutup    pada  kadar  RM3.30  sahaja.

Liabiliti  ataupun  tanggungan  MCA  boleh  mencecah  RM330  juta, seandainya diambil kira  syarat   membeli  juga  baki  28  persen  saham  yang  masih  ada  itu  dikuatkuasakan.  Ini bererti  nilai  saham  The Star  seharusnya berada  di  atas  paras  RM5  untuk memberikannya   lindungan  yang  mencukupi  tanpa  keperluan  menjual  sebahagian  hartanah  kepunyaan  Nanyang.  The Star  telah  memperolehi  keuntungan  50 sen  bagi  setiap  saham  dan  membayarnya  dalam  bentuk  dividen. MCA  pernah  memiliki  66  juta  saham  The Star  dan  memperolehi  pendapatan  antara  RM25-30  juta  daripada  pelaburannya.  Sekarang,  keseluruhan keuntungan  yang  diperolehi itu  terpaksa  digunakan   untuk  membiayai  urusan  pembelian  Nanyang.

Dengan   pembelian  itu,  MCA  sudah  mencorakkan  masa depannya  terhadap  kejayaan  Nanyang  Press   sebagai  pembelian  yang  berunsur  satu  “pelaburan  politik yang  strategik.”  Hanya seorang  peniaga  yang  sesak  dan  terdesak  mampu  membuat  percaturan  sebegitu  tinggi risikonya, terutama  sekali  apabila  bergantung  harap  kepada  sokongan  orang  lain  yang  diharap  akan  menjayakan  rencana  pembelian  itu. Seorang  pemain  judi  pun akan faham betapa  rencana itu  adalah  satu  kerja  haprak. Seorang  penganalis  mudah  terfikir  menanyakan,” Siapa sebenarnya  yang  merencanakan  semua  itu?”

MCA  baru  sahaja    membuat  pengumuman  penubuhan  sebuah  universiti  yang  akan dibiayai  melalui  sumbangan  derma  orang  awam. Masyarakat  Cina sudah pun  diminta  menyumbang  terhadap   projek  yang  dianggap berguna  itu. Presiden  universiti itu  dan  juga  MCA  ialah  Dr. Ling,  yang  juga  merupakan  perancang   utama  urusan  membeli  Nanyang  Press.   Sejarah  pembabitan Dr. Ling  dalam  mengendalikan  tabung  dana  kutipan  MCA, memang  begitu  berserabut  dengan  kesangsian  umum terhadap  salah guna  kuasa. MCA  pernah   diamanahkan    mengurus  derma  yang  dikhaskan  untuk  membantu    para  penternak khinzir  yang  digugat  serangan  wabak  JE  Nipah satu  ketika  dulu

Sebahagian  dana yang  terkumpul  itu  masih  tidak  jelas  pengagihannya,  walaupun  MCA pernah berjanji  mendapatkan  khidmat  Price Waterhouse  sebagai  firma perakaunan  untuk  menyelia  buku  kira-kira.  Penyata  akaun itu  tidak  juga  muncul  dan  ada  dana  yang  telah  dikesan telah  disalurkan kepada  penyokong  MCA  dan  petugas   parti  yang  tidak  ada  kena  mengena  dengan  industri  babi.  Price  Waterhouse  tidak pula  diketahui  pernah  membuat  kenyataan  untuk  mempertahankan  reputasinya.

Para pemimpin  MCA  telah  diamanahkan  dengan  RM10  juta   untuk  diagihkan  kepada pelajar  yang  memerlukannya.  Dana itu  tidak  pernah dikeluarkan  untuk  menepati  tujuan  asalnya. Sehingga hari  ini MCA  masih  belum menyerahkan  dana  itu  ataupun  faedah  simpanannya.  Seolah-olah wang itu  telah ghaib  entah  ke  mana, walaupun  sudah  ada  arahan  mahkamah  mengarahkan  peraturan  itu.

Ketika  berlangsungnya  pilihanraya  kecil  Teluk Kemang  yang  berpusat  di  kawasan  perindustrian  ternakan  khinzir,  Ling  telah  menyerahkan  surat  perletakan  jawatannya  (sebagai  presiden  parti), setelah   tersebar desas-desus  betapa perdana  menteri  mengarahkannya  mengosongkan  pejabatnya  kerana  gagal  mengagihkan  wang  kutipan  tabung  dana  yang  terkumpul.

Dua  minggu  kemudian  dia  tetap  kekal jua,  dan  tentunya  dengan  adanya  satu  janji yang  dapat  diterima pakai  oleh  perdana  menteri. Namun,  apakah  orang  awam  puas hati  dengan  gelagatnya  itu?  Pilihanraya  kecil  di  Lunas  telah  membuktikan  pengundi  Cina  tidak  memberikan  undi  mereka  kepada  MCA.

Dengan hal yang  demikian,  apabila  Ling  merayu  agar  masyarakatnya  menderma  terhadap  universiti itu,  masyarakat  umum  pantas  membuat  pemikiran  apakah  sumbangan  mereka  akan  digunakan  untuk  tujuan  yang  disebutnya   ataupun  digunakan   untuk projek  percaturan  politiknya lagi? Selaku   pengasas  urusniaga  pembelian  Nanyang,  apakah  ini  juga  bererti  Ling  akan  dipertanggungjawabkan,  sehinggakan muncul  satu  desakan  dia  terpaksa  dinyahkan  kerana  sikap  berurusniaga  laksana  seorang  pemain judi  sahaja?

Seandainya  harga  pasaran  The Star merudum  ke  paras  empat ringgit dan  tidak  ada  pula  tambahan  nilai  kolateral   untuk dicagarkan sebagai  menutupi  pembelian  Nanyang  dulu,  pihak  pemiutang mempunyai  hak  mendapatkan tambahan  cagaran,  ataupun  merampas kesemua  saham  itu  sebagai  memenuhi  tuntutan  perjanjian  mengeluarkan  pinjaman. Sekiranya  pendapatan The Star  merudum,  situasi  yang sama  akan  menjelma  juga. MCA  sebenarnya  telah  mengambil  satu langkah  berbentuk satu  perjudian  dalam  pelaburan  utamanya.

Akan  tetapi,  Ling  merupakan  seorang  kaki judi  yang  matang,  dan  berkemungkinan  dia  ada  muslihat  yang  tersorok  di lengan  bajunya.  Berkemungkinan  besar  dia  mahu  menggembeling  bakat  semua  peniaga  Cina  yang  masih  memegang  kontrak  dengan  kerajaan  untuk  membantu  beliau  membiayai  penubuhan universiti   itu.  Dalam  politik,  adalah  mudah  menggunakan  tekanan  untuk  mencetuskan sokongan kewangan. Dengan demikian,  dana  untuk  penubuhan universiti boleh dilencongkan dengan  mudahnya  untuk  membiayai Nanyang  Press.  Siapakah yang lebih cerdik  dalam  perkara  ini?   Jikalau  inilah  rencananya,  Ling  mungkin telah memberikan  jaminan  kepada  pemiutang,  rakan  seperjuangan  politiknya dan para  penyokongnya betapa pembelian  Nanyang  itu  adalah satu  permainan  mudah  sahaja.  Apakah  rencana itu  akan  tercapai, adalah satu  teka-teki  juga.

Ada  satu  pengumuman  sebelum dilangsungkan  Mesyuarat  Luar biasa parti  untuk  mendapatkan  pengundian  para  perwakilan, bahawa    Huaran  Holdings yang dikatakan  cabang  pelaburan  MCA, sebenarnya  bukanlah  menyumbangkan asetnya  kepada  MCA.  Dengan  itu,  perlembagaan  MCA  tidak boleh  dikaitkan  kepada  Kemelut  Nanyang. Masalah  perlembagaan  sudah dianggap satu  peraturan  mengikut  tafsiran dan mainan kata presiden parti  dan  pucuk kepimpinannya seiras  dengan  hukum-hakam  UMNO Baru(a)  yang  menentukan  bahawa  jawatan  presiden  dan  timbalannya  tidak boleh dipertandingkan pada  pemilihan  kepimpinan parti, sehinggakan  jawatan itu  terpaksa  dibrahminkan.

Pemegang jawatan  yang  ada, perdana menteri   yang juga  merupakan  presiden sebuah parti  telah  membuat  penentuan  itu, seperti  cara  seorang  diktator   memusnahkan  sistem  demokrasi   dengan  menghentikan  proses  pilihanraya. Inilah partinya  dan inilah  juga  gagasan  kepartian  (BN)  yang telah didapati  bersalah  melakukan  pemalsuan  dalam  pilihanraya  dulu    sehingga  mencetuskan satu  pilihanraya  kecil   di  Likas,  di  mana  ia  sekali lagi  berharap   untuk  memenangi  pertandingan  semula  itu.

Tamat

Jumlah pembaca:orang