Dr.  M  Dan Durian  Runtuh
(Dr.M  And The Durian  Drop)

Isnin  16  Julai,  1:55   p.m.

Pada  hari  ini   genap  dua  dekad  lamanya  Dr. Mahathir  Mohamad   memegang  jawatannya.  Namun  ia  merupakan  satu  jangkauan  masa  yang  dia  sendiri  sanggup  melupakannya.  Dia telah  gagal  segagalnya   mencapai  apa  yang  dihasratkannya,  untuk  menukarkan  Malaysia  menjadi sebuah  negara  yang disegani  oleh  dunia  yang  semakin  ditelan  globalisasi  yang  berunsurkan  perindustrian. 

Dia  memang  diberikan  markah  yang  tinggi  dalam  usaha  menukarkan  rupa bentuk  kota raya  persis   wilakota  Barat, dan   dengan transformasi  itu  dia  mengharapkan  pelancung  Barat  akan  menjadi  selesa  menikmati  persekitarannya,  sedangkan  itulah   impian  yang tidak  mampu  dikekalkannya.

Berbilion-bilion  ringgit telah  dihamburkannya  di Malaysia  untuk  menggoncangkan  pentadbiran  negara,  mengswastakan  harta  kekayaan negara   dengan  alasan  bahawa  kerajaan  harus  memegang  prinsip   untuk  tidak  terlibat dengan  mengendalikan perkhidmatan  yang  mampu  dilaksanakan  dengan  baik oleh  syarikat  swasta,  yang  semuanya  naik  manja  dengan  segala  rencananya.  Pagi  ini  dia  bangun  dari  tidurnya  dengan satu  kesedaran betapa  negara  pimpinannya  sudah  semakin  lemas  dalam  samudera  hutang-piutang  yang  begitu  dalam  seandainya   semua itu  ada  di  tangan  pihak swasta,  sudah  menjerumuskan  semua pihak  dalam  jurang  kemuflisan.

Sambil  dia  merenung  kembali  dua  dekad  yang  sudah berlalu, Mahathir  sebenarnya  sedang  dihimpit  kesepian.  Hampir  semua  yang  dirancangnya  sejak  mengangkat  sumpah  sebagai  seorang  perdana  menteri    pada  1981  dulu,  tidak  merupakan  satu  bahan  kenangan  yang  menceriakannya. Dia  telah  menukarkan  wajah  Kuala  Lumpur  sehinggakan  ia  memiripi  sebuah kota    Barat,  dengan  harga  yang  sungguh  tinggi  yang   menjejaskan perbendaharaan,  budaya  dan  unsur-unsur  sosial  bangsanya yang masih lagi  belum  selesai  dinilaikan  keaibannya.  Inilah  bahana  apabila  beliau lebih  berminat  kepada  rupa bentuk  dan  wajah  daripada  semangat   dan  inti pati  idealismenya.

Yang  lebih  penting  lagi,  dia  telah  kehilangan  arah  kepentingan dan    pandangan  dunia   orang  Melayu  yang  diwakilinya  dalam  kerajaan. Dia  telah  memperlekehkan  mereka  sebagai  haprak,  bangang, dan  terlalu  berpaut  kepada  sejarah  silam, dan  banyak  nama  dan  panggilan yang  mengaibkan lagi  - semua itu  disuarakannya  dengan  lantang  dan  jelas  pada  persidangan  tahunan  UMNO. Akan  tetapi  orang  Melayu  sudah  semakin mual  dengan  segala  cemuhan  itu,  dan  mengikut  tradisi  dan  budaya  Melayu,  orang  melayu bangkit  membantah  untuk  menarik  sokongan  mereka  terhadapnya  sambil  bersabar  menunggu  saat  beliau  akan  mengundurkan  diri. Mereka  menunggu  dengan  sabar itu persis   kesabaran seorang  tuan punya  kebun yang  menunggu  dengan  penuh  sabar  akan  jatuhnya durian  yang ranum  mencium  bumi. 

Perkataan  ketua  yang  dihormati  dalam  istilah  Melayu  ialah  “pemimpin”.  Perkataan ini  mempunyai  konotasi  yang amat  mendalam  dan lebih bermakna  kalau dibandingkan  dengan  konotasi  perkataan  tafsirannya dalam istilah  Inggeris.  “pemimpin”  membawa  erti  memimpin  dengan  berpegangan  tangan. Kepimpinan  mengikut  takrif  budaya  Melayu  bererti  mengetuai  masyarakat seseorang dengan  memegang  tangan  mereka;      seandainya  ada  yang  terjatuh,  masih  ada  tangan  yang  memimpin  untuk mereka bangkit  semula.  Seandainya  si pemimpin  itu  terjatuh, para pengikut  itu pula  akan  menghulurkan  tangan  untuk  membantu.  Inilah  caranya  tiga  perdana  menteri  Malaysia  sebelum ini   mengendalikan  tugasan  mereka.

Sogokan  Paksa

Mahathir   menunjukkan betapa  beliau  tidak  sabar  untuk  memahami itu semua  kerana  berpendapat  semua  itu   adalah  kolot  dan  membuang masa.  Laksana  Rajiv Ghandi  di  India, yang naik memegang jawatannya  dengan  kebijaksanaan  dan  komputernya, Mahathir telah  mencuba  menyuap  rakyat  Malaysia  untuk  melangkah  ke  gerbang abad ke-21,  tanpa  menyedari  bahawa  orang  Melayu lebih  selesa   dengan  keadaan  hidup  mereka  yang  ada, dan tidak  bersedia  melepaskan pegangan hidup itu  untuk  mendapatkan  kesenangan  yang  masih samar  dan  belum  dianggap  selesa  lagi.

Seperti  juga  Rajiv Ghandi,  Mahathir  tidak  faham akan  selok budaya  Melayu  yang  penting  ini. Mereka berdua  telah  menongkah  arus  budaya  bangsa  mereka  yang  menonjol  dan  dianggap  keramat itu. Mereka cuba  menyogok  secara paksa  bangsa mereka untuk  melangkah  ke  alam  baru.

Billionaire  dan  Pelbagai  Slogan

Mahathir  beranggapan  dia mampu mencipta  satu   masyarakat  Melayu  yang bertaraf  billionaire, yang kemudiannya  diharapkan  untuk  menyemai  kembali bakti mereka  untuk  menyokong negara  agar lebih  maju. Sebaliknya inilah kumpulan  musibat  yang  bertukaran  isteri,  gundik, kereta mewah,  mahligai  purba di Scotland,  simpanan  karya  lukisan  yang  mahal-mahal,  dan  hutang bertapuk yang  menggunung tingginya.  Dua  puluh  tahun  kemudiannya,  hampir  setiap  manusia  haprak  ini  adalah secara  teknikalnya  sudah  muflis  berkudis buta.  Kerajaan  terpaksa  mewujudkan  agensi  khas  untuk  mengambil alih  hutang  mereka,  jika  tidak  sistem  perbankan  negara  akan  merudum  dan  bersepai laksana  kaca.

Ketika mula-mula  memegang jawatannya,  pada  1981,  dia telah   menunjukkan  ketokohannya  dengan  pelbagai   slogan  -  “Memandang  Ke  Timur”  adalah contohnya.  “Kepimpinan  Melalui Teladan”  adalah  satu  lagi  contoh  itu, dan begitulah  seterusnya  apabila  dia  memperkasakan  kerajaannya  dengan  lebih  banyak  slogan  lagi.

Wawasan  Mahathir  sebenarnya  jauh  menyimpang  dan berbeza  dengan  pengharapan  rakyat  negaranya. Hanya  segelintir  mereka  di  tahap  atasan,  dan  yang  memang membalun banyak  keuntungan daripada  pelbagai  dasarnya,  yang  sanggup  melaung lantang  akan   sokongan  mereka,  tetapi  mudah  cabut  lari  sebaik  sahaja  air  bah  yang  menyebabkan  pantai  berubah. 

Ketika  Tengku Razaleigh  Hamzah  mencabarnya  untuk  jawatan presiden  UMNO, mahkamah telah bersidang  menyebabkan  parti itu  dibubarkan.  Mahathir  telah  mewujudkan  UMNO  Baru  (kini disebut  UMNO Barua – penterjemah), merampas semua harta  dan aset   parti itu,  dan  menyingkirkan  Razaleigh  sehinggakan  beliau   beralih menjadi  Pembangkang.  Razaleigh  akhirnya  rujuk  semula,  tetapi  UMNO  yang  dimasukkinya  itu  bukannya  pergerakan  politik  yang  diasaskan  pada  1946  dulu. Cuma  sebuah parti  politik yang  lahir  daripada  bahana  perpecahan  disebabkan  yang  asal  sudah mati  tanpa  pusaranya. 

Politik dan bukannya  ekonomi

Mahathir  tidak mahu  menerimanya  ataupun  memang  tidak  memahami  betapa  setiap  pergerakan  politik yang  mencetuskan kemerdekaan negaranya  mempunyai  jangka-hayat   sekitar  tiga  abad  sahaja.  Itupun mengikut   penghitungan  yang  paling  tinggi  sekali.  Kongres  Parti  di  India  telah diasaskan  pada  1885  dan berjaya  merangkul  kemerdekaan pada  1947, tetapi berpecah  kepada beberapa  fraksi  pada  1967,  dan  kini   menduduki  bangku  pembangkang  di  Parlimen.  UMNO  telah  menerajui  kemerdekaan  negara  pada  1957, dan  berpecah  tiga  abad  kemudiannya.

UMNO  pada hari ini  tidak serupa  UMNO  pada  1957  dulu. Parti  politik  yang  memerintah  sekarang  adalah  sama dengan pergerakan  pada  1957  dulu.  Unsur ini  sengaja  dilupakan. Perpecahan  masyarakat  Melayu  disebabkan  tindakan Mahathir   menubuhkan  UMNO Baru  telah  menjadi  lebih  teruk  lagi  apabila dia  mengaibkan  timbalan  perdana  menterinya  yang  nombor  tiga,  Anwar  Ibrahim. Dengan itu  terhumbanlah  segala  kejayaan yang  dicapainya  sebelum  itu. Sejak itu  juga  dia  terpaksa  bertungkus lumus  menggapai  nama  dan  ketohokan  yang  pernah  dinikmatinya  sebelum  kejatuhan  timbalannya  yang  setia  itu.

Inilah  dia  bahana  politik  dan bukannya  unsur  ekonomi, yang  menentukan  bagaimana  sejarah  akan  menghakiminya.   Seseorang  tidak memerlukan demokrasi  untuk  memahaminya.  Setiap kali  sokongan  padu  di akar  umbi menghilang pergi  dan  menyepikan  sokongan  terhadap  pemimpinnya,  dia tidak  akan mampu bergerak jauh  lagi.

Inilah  tragedi  yang  akan  mengusungi  watak  Mahathir bin  Mohamad. Sememangnya  banyak  yang telah dilakukan  untuk  menaikkan taraf  orang  Melayu daripada  sikap  sambil lewa  mereka  itu,  dan  membangunkan Malaysia  menjadi  sebuah negara  moden.   Akan  tetapi  segala  kaedahnya   memang  tidak  mampu  bertahan  lama. Dia  mengugut,  mendesak  dan  menghina  orang  Melayu  agar  menyokongnya, dan  inilah  membuatkan orang  Melayu  membencinya.

Contoh  yang  Menggagalkan

Memang  terdapat  pelbagai  dalil yang  menunjukkan  Mahathir  telah  meniru  cara   Lee  Kuan  Yew   mentadbir  Singapura  sehingga  berjaya  menukarnya menjadi  satu  metropolis  yang  rancak  denyutannya.  Pendekatan  yang  digunakan  oleh Lee  memang  berkesan  di Singapura  sahaja  kerana  tradisi  ajaran  Konfusi  yang menjadi  amalan  sebilangan majoriti penduduk  Cina  yang  membenarkan  penggunaan  kaedah  yang keras  untuk  mentadbir  mereka.  Masyarakat  Cina  bersedia  menerima  pendekatan  itu.  Tetapi  pemimpin  Melayu  seharusnya  menggunakan  pendekatan  yang  berbeza.

Mahathir  kini  merasakan  bahana    pendekatan yang silap   itu.  Mulalah dia  menggunakan  kaedah lama  untuk  menunjukkan  keberangannya. Dia mula menekan  pihak  yang  sanggup  membantahnya, tetapi apabila  pembantahan itu  datang daripada  masyarakat  Melayu,  kaedah  yang  digunakannya itu  tidak akan  mendatangkan  apa-apa  hasilnya.  Mahathir  sememangnya  menguasai  semua. Tetapi  dia  semakin  dipulaukan. Yang lebih  teruk lagi,  orang  Melayu  sudah  beralih  kepada  parti  politik yang lain  selain  UMNO  yang  mampu  menjaga  kepentingan  orang  Melayu.

Penyata  perakaunan  selama dua  puluh  tahun panjangnya itu kini  menunjukkan  warna dakwat merah  yang lebih mengatasi warna  yang biru. Rakyat  Malaysia  sedang  dihantui taraf  kehidupan  yang lebih jijik  daripada  tahap  1981  dulu.  Segala-galanya  yang  dirujukkan  kepada  nilai matawang  sudah  menunjukkan  betapa sukarnya  untuk hidup  selesa kerana  sukarnya  membuat  bayaran;  baik  untuk  rawatan  hospital  mahupun  harga tol  jalanan.  Keadaan  hidup  semakin  menekan lagi  apabila  kerajaan  dibebani hutang yang lebih  menekan  disebabkan  kegagalan  projek  penswastaan. 

Pengunduran  Daim sebagai  menteri kewangan  dan  juga  Bendahari  UMNO,  menggambarkan  kepincangan dan  kegagalan  kepimpinan  Mahathir.  Dia sudah mengaibkan  persidangan  tahunan  UMNO  menjadi  satu  dewan  tepuk-tepuk  ciptaan  sendiri  untuk  memuaskan  nafsu-nafsi.  Dewan  akan bersidang  tanpa  membincangkan  isu  menonjol  yang  sepatutnya  dibincangkan  secara  terbuka.

Orang  Melayu  semakin sabar  menunggu  kejatuhan  Mahathir (dan keruntuhan  dinastinya). Inilah  kepastian  orang  Melayu itu  seperti  pastinya  mereka  dengan  kejatuhan  durian  yang pasti  akan  gugur   juga.

Tamat

Diterjemahkan  oleh  SPAR  01

Jumlah pembaca:orang