Tidak Ada Petanda Mahathir Akan Bersara
(Mahathir Shows No Sign of Going)

Ian Stewart  
The South China Morning Post HK
16     Julai, 2001.

Dua puluh tahun dulu, dia telah ditabalkan sebagai perdana menteri. Kini, Mahathir Mohamad masih tegap menguasai kerajaannya dan bebas membuat keputusan bila dia akan bersara.

Tidak ada sesiapa dalam pucuk kepimpinan partinya UMNO, ataupun di kalangan gagasan parti BN yang mendesak beliau berundur. Lagipun dia masih belum menunjukkan sebarang tanda untuk bersara.

Sambil memerintah   negaranya yang dihuni oleh penduduk multikaum itu, Mahathir   menunjukkan kesungguhan dan amalan pragmatiknya, sambil mengumpulkan sebanyak seteru mengikut sebanyak bilangan sahabat yang ada.   Walaupun ramai rakan seperjuangan di pucuk pimpinan   parti   tidak nampak adanya saingan kepada peranannya sebagai orang kuat parti, semakin ramai yang runsing, lagi lama dia mencengkam kuasa lagi berat bebanan yang akan ditanggungi oleh parti.

Sebagai perdana menteri Malaysia yang keempat pada Julai 16, 1981, Mahathir merupakan   pemimpin yang paling lama khidmatnya dan mencengkam kuasanya lebih ketat lagi berbanding orang-orang yang mendahuluinya. Kuasa dan pengaruhnya menyeluruhi segenap lapisan pentadbiran dan segala dasar pentadbiran membayangkan cita rasanya sebagai seorang perdana menteri.

Wajah Kuala Lumpur    yang dihiasi menara kembar Petronas, yang merupakan bangunan tertinggi dunia ketika dirasmikan pada 1998, dan Putrajaya yang merupakan pusat pentadbiran baru kerajaannya, menggambarkan wawasan kemodenan yang mahu dosogokkan kepada bangsanya.

Hanya gangguan kesihatan yang mampu menumpulkan minat Mahathir untuk    terus mengetuai kerajaan untuk beberapa tahun lagi. Oleh kerana dia kelihatan segar bugar walaupun usia sudah melewati 75 tahun, ramai rakyat Malaysia yang menjangkakan beliau mampu terus mencengkam kuasa   melepasi usia 80 tahun pada 2005.

Akan tetapi, alangkah baiknya kalaulah Mahathir sudah berundur   pada 1996 ataupun 1997 dulu, sebelum rantau ini dilanda krisis kewangan yang turut menyebabkan Malaysia diasak kegawatan ekonominya. Sehinggalah 1997, Malaysia telah menikmati ketumbuhan ekonomi yang mencanak selama 10 tahun. Pada 1995 UMNO dan rakan gagasannya telah   mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya umum.

Seandainya Mahathir telah bertindak memberi peluang kepada Anwar Ibrahim, yang ketika itu merupakan timbalan dan calon penggantinya, sebelum Malaysia dilanda krisis kewangan yang teruk itu, tentu sekali Mahathir sudah dikenang sebagai insan yang berjaya menerajui satu ekonomi negara yang berjaya yang mencetuskan suasana politik yang aman damai.

Akan tetapi, hubungannya dengan Anwar menjadi masam apabila   mantan timbalan perdana menteri itu mencuba walaupun gagal untuk mengengsotkannya keluar daripada jawatan dengan cara mengulangi tekanan politik yang berjaya menjatuhkan presiden Suharto di Indonesia. Di waktu yang sama sebagai seorang menteri kewangan, Anwar sedang melaksanakan dasar ekonomi yang bertentangan dengan selera Mahathir.

Pada September 1998, Mahathir   menggugurkan Anwar daripada kabinetnya sambil membuat kenyataan betapa Anwar tidak layak menjadi pemimpin negara. Anwar akhirnya ditangkap (dan dihenyak serta dilebamkan mata ketika tangannya bergari di bahagian belakang - penterjemah). Setelah dihadapkan kepada satu proses penghakiman yang menyebelahi pihak Mahathir Anwar dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun.   Tuntutan Anwar betapa dia menjadi mangsa satu konspirasi   telah dipercayai oleh para pengikutnya    yang tidak percaya betapa tuduhan salah laku boleh difitnah ke atas seorang yang alim.

Pada Jun 1999, Dr. Mahathir berkata, bahawa episod Anwar   akan hanya “merupakan satu peristiwa sejarah yang mudah dilupakan.” Namun, Anwar masih menjadi tumpuan masyarakat a melalui aktiviti mereka yang menyokongnya, dan tuntutan pembangkang yang berterusan mahukan beliau dibebaskan. Di waktu yang sama para peguam Anwar terus berusaha meminta kebenaran beliau dibenarkan pergi keluar negara untuk mendapatkan rawatan kepada penyakit belakangnya.

Kemelut Anwar telah menghantui kemuafakatan masyarakat Melayu, menyebabkan ramai pengikut setia UMNO beralih kepada PAS yang sudah pun semakin perkasa mengembangkan pengaruhnya   pada pemilu 1999 dulu, dan parti Keadilan pimpinan isteri Anwar Wan Azizah Ismail.

UMNO memang sedang menanggung aib cemuhan umum terhadap para pemimpinnya yang korup dan dirasuk wang. Dr. Mahathir telah berusaha memperbaiki imej parti tetapi oleh kerana beliau merupakan presiden UMNO dan juga Perdana Menteri sepanjang tempoh kereputan itu, ramai rakyat Malaysia menuduhnya turut terlibat dengan segala kejijikan itu.

Ramai juga pemimpin UMNO yang bersetuju dengan pendapat Lim Kit Siang, pengerusi   DAP, bahawa Mahathir tidak mampu memulihkan kereputan UMNO kerana dialah yang merupakan masalah besar UMNO.

Namun demikian, kesungguhan Mahathir nampaknya mengatasi unsur pragmatiknya sambil beliau cuba sedaya upaya menahan gelonsoran sokongan terhadap UMNO.

Tamat.

Diterjemahkan oleh SPAR 08

Jumlah pembaca:orang