SEMPENA 20 TAHUN KEDURJANAAN PEMERINTAHAN MAHATHIR DI MALAYSIA

HARI-HARI TERAKHIR SEORANG DIKTATOR HAPRAK

Bahagian 3

Melayu Tidak Berterima Kasih

Tuduhan mudah lupa kununnya untuk menunjukkan bahawa orang-orang Melayu mudah lupa kepada 'jasa bakti' kerajaan BN. Jelas di sini kita melihat bahawa setiap budi yang ditabur ingin dituai dengan undi politik. Siapakah sebenarnya lupa? Tidakkah para pemimpin kerajaan BN yang mudah lupa kepada kuasa yang diberi rakyat, lalu mereka tidak bersyukur dengan amanah itu. Mereka bukan sahaja meminggirkan rakyat yang memilih mereka setiap 5 tahun sekali, sebaliknya mulai angkuh dan mengaut kekayaan untuk diri mereka sendiri. Bilangan kereta, rumah dan para gundek ditambah. Inilah peri manusia yang tidak bersyukur kepada sesama manusia dan kepada Allah.

Untuk menutup segala kelemahan ini, maka PM yang haprak segera mengeluarkan fatwanya menuduh orang-orang Melayu tidak pandai bersyukur. Kenapakah rakyat dituntut bersyukur sedangkan nikmat yang diperolehi bukan oleh rakyat tetapi oleh para YB yang dilantik melalui pilihan raya. Di pihak rakyat mereka berhak menerima balasan akibat ketaatan mereka kepada kerajaan. Mereka berhak mendapat jalan percuma, bekalan elektrik percuma, bekalan air percuma. Bukan sekadar tol percuma bahkan nikmat pendidikan dan pelbagai kemudahan sosial secara percuma.

Amat malang bagi rakyat di sebuah negara yang kaya dengan pelbagai hasil bumi, sudahlah mereka tidak menikmati segalanya ini dengan percuma, sebaliknya mereka dituduh tidak bersyukur. Dan bukan setakat itu, malahan hak sebagaimana yang termaktub dalam surat perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri Terengganu, yang dinamakan wang royalti itu dirampas pula. Alangkah keterlaluannya tuduhan itu!!

Polis Menjadi Tali Barut Mahathir

Selain dizalimi melalui pelbagai aspek kehidupan, rakyat juga tidak diberikan hak bersuara yang secukup bebas untuk menyatakan pendirian mereka. Justeru itu kita melihat rakyat dipukul, diseksa, disirami air beracun jika terlibat dalam perhimpunan rakyat untuk menyatakan isihati mereka. Kepada Mahathir dan kerajaan BN tiada kompromi tentang itu. Rakyat hendaklah mengikut tuntutan dan kehendak kerajaan tanpa ehsan.

Pihak polis menubuhkan pasukan pengintip yang cekap melalui istilah 'Active Spy', 'Passive Spy' dan 'Sleeping Spy'. Mereka menghantar seramai anggota pengintip yang memasuki kumpulan rakyat sebagaimana rakyat marhaen yang lain. Bukan setakat itu, pasukan spy ini kadangkala menjadi dalang utama perhimpunan. Mereka berreformasi sebagaimana rakyat berreformasi. Mereka bertakbir sebagaimana rakyat lain bertakbir. Alangkah munafiknya mereka ini!!

Kumpulan spy ini telah menyelinap masuk ke dalam parti-parti BA terutama dalam KeADILan. Justeru itu kita melihat sebelum menghadapi 14 April 2000 beberapa pemimpin dari parti KeADILan telah ditangkap. Dari manakah datangnya maklumat sehingga mereka menangkap pemimpin utama KeADILan itu? Inilah peranan sleeping spy. Kehadiran mereka amat sukar di kesan bahkan pada satu ketika saya mendapat maklumat sleeping spy ini berada dalam kepimpinan utama Parti KeADILan Nasional. Beberapa insiden cuba dicetus atau dicipta untuk melaga-lagakan antara pemimpin KeADILan. Kita melihat Naib Presiden PKN, saudara Chandra Muzaffar satu ketika 'melatah' dengan situasi yang diwujudkan oleh 'sleeping spy' ini.

Sleeping spy juga berjaya memasuki arena siber dan cuba melaga-lagakan antara para webmaster. Kita menginsafi akan hakikat pernah terjadi 'mogok' beberapa buah laman web pada tahun 2000. Mogok ini seolah-olah membuktikan bahawa golongan reformasi sudah berpecah dua. Hakikatnya tidak. Rakyat marhaen tetap satu hati dalam menuntut pembaharuan yang diperjuangkan. Hanya termakan hasutan sleeping spy, sekadar seketika beberapa orang webmaster menyertai mogok yang kita panggil sebagai 8 budak hitam.

14 April Hari Yang Hitam

Dalam tinta sejarah pasti akan tertulis bahawa 14 April sebagai hari hitam. Di sinilah kita akan terus memperingati kezaliman Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang paling haprak. Pada hari ini dalam tahun 1999 DSAI telah dijatuhkan hukuman penjara selama 6 tahun walaupun pertuduhan yang dibuat tidak dibuktikan dengan prima face yang menepati kehendak undang-undang sedia ada di negara ini. Kita merakam kan rasa kesal yang tidak terhingga kepada pihak pendakwa yang diketuai oleh Peguam Negara ketika itu Mohtar Abdullah (Mohtar Dugong). Barisan pendakwa gagal mengemukakan bukti. Hanya pertuduhan yang tiga kali ditukar ganti untuk memperbetulkan fitnah tuduhan tetapi usungan tilam setiap hari ke mahkamah mendapat ejekan rakyat jelata.

Maka tertulis dalam dakwat mereka sejarah politik yang dicacatkan apabila Hakim Augustine Paul membacakan hukuman yang sudah dilakarkan oleh tangan seorang Perdana Menteri yang haprak bagi menewaskan musuh politiknya iaitu Menteri Kewangan merangkap timbalannya sendiri iaitulah insan yang kita kasihi DSAI.

Lunas Bukti Rakyat Bertindak

Akibat dikongkong tidak menentu darah juang rakyat semakin mendidih dan meluap-luap. Polis yang sifatnya menjadi pelindung rakyat marhaen bertukar menjadi ganas dalam setiap perhimpunan ceramah rakyat. Wang cukai yang dibayar oleh rakyat diguna bagi memusnahkan mereka iaitulah dengan membeli beberapa buah kenderaan dikenali 'water cannon' dengan kos yang cukup tinggi iaitu berharga sekitar RM2 juta sebuah.

Water cannon ini telah berjasa kepada Mahathir bukan kepada rakyat. Inilah senjata yang digunakan bagi memerangi rakyat yang tidak berdosa. Paling terbaru diguna dalam episod kesekian kalinya rakyat dizalimi iaitu di hadapan Kem Tahanan Kamunting, Taiping Ahad lalu. Tidak kira tua atau muda menjadi mangsa. Yang capek turut terpaksa berlari dari hambatan 'anjing Mahathir' yang kian ganas dari Pasukan Polis Di Raja Malaysia!!

Pilihan raya kecil DUN Lunas sudah cukup merupakan satu isyarat jelas kepada kepimpinan Mahathir bahawa tiada apa yang lebih kebal dalam pengekalan kuasa politik melainkan dengan restu rakyat marhaen. Apabila rakyat merasa semakin tersiksa dan tertindas, maka jalan keluar paling baik ialah dengan meruntuhkan kuasa diktator yang dimiliki oleh pemimpin zalim bernama Mahathir Mohamad. Satu petanda paling jelas, singkirkan segala wakil kerajaan BN dari menduduki takhta kekuasaan politik di negara ini.

Berkat perjuangan suci  dan sekatan ke atas pengundi hantu maka kita menyaksikan calun BN tertewas kepada calun  dari parti BA yang berjuang selaku pasukan 'under dog' tetapi bersemangat tinggi dan mantap sekali. Lunas akhirnya menjadi amaran kepada Mahathir dan pemimpin BN bahawa rakyat mampu mengubah keadaan politik yang ada hari ini.  

(bersambung)

Helang Rimba