Undi Cina Penentu Di Likas
 
 Nota webmaster: Kita kena hati-hati dalam hal ini. Jika benar undi penentu adalah Cina maka harapan Lunas berulang di Likas menjadi kenyataan adalah semakin cerah. Begitu pula harapan kita ke atas golongan muda yang mudah menolak UMNO dan menerima pembaharuan (reformasi) ~ webmaster
Oleh Alan Ting

KOTA KINABALU, 18 Julai (Bernama) -- Sabtu ini, pengundi Cina di Likas dijangka berperanan sebagai penentu dalam memutuskan siapa pemenang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan itu.


Peranan mereka lebih ketara khasnya jika berlaku perpecahan undi Bumiputera Islam yang mewakili 60 peratus daripada sejumlah 26,196 pengundi di kawasan pinggir bandar itu.

Jika itulah halnya, maka 8,000 undi Cina serta 11 peratus lagi pengundi Bumiputera Bukan Islam akan menjadi faktor penentu.

"Lebih kurang 8,000 pengundi Cina itu akan memainkan peranan signifikan dan berapa banyak undi setiap calon boleh dapat daripada kumpulan ini adalah penting dalam menentukan keputusan pilihan raya itu," kata seorang pemerhati tempatan.

Beliau berkata, lebih 550 pengundi dalam kategori lain juga boleh memainkan peranan signifikan dalam menentukan pemenang jika perbezaan undi antara calon-calon terlalu dekat.

"Jika sebilangan besar pengundi Bumiputera Islam khasnya generasi muda dan pengundi-pengundi baru mengundi bagi Keadilan dan PBS, maka 60 peratus undi Bumiputera Islam berpecah kepada dua ataupun tiga...itulah di mana undi Cina akan menentukan pemenang," kata seorang lagi penyokong BN.

Beliau berkata, andaian kemungkinan berlaku perpecahan dalam undi Bumiputera adalah berdasarkan fakta yang kesemua calon adalah Cina -- hakikat yang menunjukkan perlunya memikat sebanyak mungkin pengundi Cina.

Anggota Majlis Tertinggi Keadilan, Azmin Ali berkata parti itu menurunkan seorang calon Cina di sebalik calon Bumiputera kerana Keadilan adalah parti berbilang kaum dan mereka mahu memberi peluang kepada calon Cina.

"Saya tidak berpendapat yang kita akan memecahbelahkan sokongan bagi pembangkang.

Dalam pilihanraya-pilihanraya sebelumnya PBS sentiasa mengekalkan bilangan undi lebih kurang sama," katanya.

"Apa yang Keadilan akan capai kali ini ialah mendapat baki undi pembangkang di pilihan raya kecil Likas." Bagi Parti Bersatu Sabah (PBS), mereka memilih Dr Chong Eng Leong kerana inisiatif beliau dalam membangkitkan isu pengundi hantu di Likas di mahkamah melalui petisyen pilihan raya yang akhirnya membawa kepada pembatalan keputusan pilihan raya negeri 1999 bagi kawasan itu.

"Beliau memainkan peranan signifikan dalam hal ini, beliau hero kami, beliau calon terbaik bagi PBS di kawasan itu," kata seorang penyokong pembangkang yang sudah biasa dengan kempen itu.

Beliau berkata dengan pencalonan Chong pada pilihan raya kecil Sabtu ini, PBS akan mendapat sokongan umum lebih luas dalam menangani "isu pengundi hantu".

Calon bebas Joshua Kong berkata beliau memutuskan untuk bertanding kerana beliau boleh menjadi pilihan terbaik bagi rakyat menyuarakan isu-isu kepentingan penduduk Sabah.

"Lihatlah isu pengundi hantu, pendatang tanpa izin dan hak rakyat Sabah, semua isu-isu ini dibangkitkan sejak sekian lama tetapi tidak ada perkembangan," kata Kong yang lebih dikenali sebagai "Mr Book Man" dalam pilihanraya kecil ini apabila memilih simbol buku bagi pilihanraya kecil itu.

Menggunakan slogan "Undilah Buku" semasa kempen, Kong yakin beliau mampu mendapat 45 peratus daripada jumlah undi Sabtu ini.

Calon BN Datuk Yong Teck Lee berkata beliau percaya yang masyarakat Cina amnya akan terus setia bersama BN kerana tiada parti lain yang boleh memberi jaminan seperti BN dalam melindungi kepentingan masyarakat itu.

"Secara amnya rekod kami menunjukkan sokongan masyarakat Cina bagi BN semakin meningkat, khasnya sejak pilihanraya Parlimen 1999," katanya.

Pandangan beliau turut dipersetujui oleh Naib Ketua Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP), Pang Yuk Ming yang berkata berdasarkan keputusan pilihanraya-pilihanraya sebelum ini, sokongan bagi BN daripada pengundi-pengundi Cina semakin meningkat.

Bagaimanapun, kata beliau tugas BN sekarang ialah memastikan bilangan besar pengundi keluar mengundi kerana secara kebiasaannya peratus yang keluar mengundi memang rendah pada pilihanraya-pilihanraya kecil.

"Dalam pilihanraya negeri 1999, 69 peratus pengundi di Likas keluar mengundi dan kami tidak terkejut jika angka itu boleh melampaui 69 peratus dalam pilihanraya kecil kali ini".

-- BERNAMA