Cara  Politik Malaysia Yang  Saling Bertindak
(Interactive nature  of  Malaysian  politics)

oleh:   R. Ramasamy

Artikel  asal  ada  di  Malaysiakini,  Webantu.

Dipetik  drpd. ‘Straits Times Interactive’

Persidangan BN  yang  terbaru, telah  membawa  kesedaran  antara lainnya, betapa   parti  gagasan  itu  harus  merobah  hala tujunya  ke  arah  penyatuan  menjadi  satu  parti  untuk  semua  rakyat  Malaysia  di  masa  hadapan.

Pemikiran ini yang  dicetuskan  oleh  para  pemimpin  parti  komponen pada  amnya  dan oleh  Perdana  Menteri  Malaysia  secara  khasnya, menunjukkan  betapa  prinsip  penyatuan  semua  kaum  dalam  gagasan parti BN itu sudah   hilang  relevannya

Gagasan  ini  telah memerintah  negara   untuk  hampir  tiga  dekad lamanya  tanpa banyak  masalah  politik  yang  besar-besar. Namun,  ia terus dihantui   masalah politik  secara berurutan  tanpa  hentinya.

Antara  masalah itu  ialah  penyingkiran  mantan  timbalan  perdana  menteri  Anwar  Ibrahim  dan  tercetusnya kebangkitan  reformasi  yang  melahirkan  Parti  Keadilan. Peristiwa demikian  telah  menyebabkan  lunturnya  sokongan  orang  Melayu  terhadap  UMNO,  dan  kebangkitan  PAS  sebagai  fokus  utama  untuk  meraih  undi  orang Melayu.

Penubuhan satu  koalisi  alternatif  yang dinamakan Barisan Alternatif (BA) yang  membabitkan  banyak parti  lain,  telah  mencetuskan  tanda tanya  mengenai  cara  barisan gagasan  parti  yang  memerintah  yang  berasaskan  unsur-unsur  etnik  dan perkauman.

Yang peliknya,  UMNO  yang selama itu sengaja  memperlekehkan penubuhan  gagasan itu  sejak  kewujudannya melainkan  untuk  tujuan  pilihanraya  dan   ketika  munculnya keperluan  menentukan  perkongsian  kuasa,  kini  menjadi  semacam  terangsang    untuk  memperkasakan  idealisma  gagasan  besar  itu. Terlalu  jelas, betapa  pemerhatian  ini  tidak  mungkin  tercetus  seandainya  UMNO  tidak  kehilangan  sokongan  akar  umbinya  sejak  beberapa tahun  yang  berlalu.

Dengan lain perkataan,  terdesaknya  UMNO  untuk  memperkasakan  koalisi  itu  bukan  sebenarnya disebabkan  motivasi  tulen  yang  benar-benar  ikhlas, cuma  ia merupakan  satu  usah  meneguhkan  wibawa  dengan adanya  sokongan  13  parti politik yang  lainnya.

Malahan, sudah  ada  desas-desus  di  kalangan  warga politik  Malaysia  betapa  gagasan  itu  berkemungkinan  mengupas  kulit  etniknya  untuk menyerlahkan  ideologi  multikaum dalam  usaha untuk  mengekalkan  kuasa  dan menentukan  dalil  kewujudannya.

Lantas, terserlah  kini   satu  corak pemikiran  di kalangan  koalisi  yang  masih berkuasa  ini  akan perlunya dilaksanakan  perubahan  yang  sekaligus  menunjukkan munculnya  trend  perubahan  dalam  senario  politik  Malaysia.

Pertama,  sejak  beberapa  tahun  yang   lalu  lagi, sudah ada  petanda  betapa  pendekatan  BN  dalam  penonjolan  perwakilan  etniknya  semakin  tergugat.

Kedua,  Kemunculan  BA  memberikan  hak kepada  rakyat  Malaysia  memilih politik alternatif  selain  BN.

Ketiga,  UMNO,  sebagai  rakan  terulung  gagasan  itu  sudah  semakin  nazak  kerana  ketandusan  sokongan  orang  Melayu.

Kunci  rahsia  kepada  perubahan  di kalangan  gagasan  yang memerintah  ini, dan  hala tuju masa  depan  yang  perlu  disasarkannya,  amat bergantung  kepada  keupayaan  UMNO  meraih  kembali  sokongan  Melayu yang  sudah  lama  berlalu.

Seandainya  sasaran itu dapat  diharunginya  dalam masa  dua  tahun  di hadapan,  maka tidak banyak perubahan yang dijangkakan. Akan  tetapi, seandainya syarat  yang tidak bertulis  ini  hanya  tergapai  sahaja,  perubahan  yang  besar akan  berlaku  dalam  rupa bentuk BN itu  dan  juga  fungsinya  yang  baru.

Apabila  dihenyak  situasi ini, besar kemungkinannya BN  bertukar  menjadi  satu  parti  yang  berasaskan  ideologi  multikaum, satu  pembaharuan  yang  mungkin  menjejas  pihak  pembangkang.  Malahan,  ada  kepercayaan  yang  menyatakan  sekiranya  BN  bergerak  ke   arah  itu, pihak  pembangkang akan  menjadi  lemah.

Selain hilangnya  sokongan orang Melayu  terhadap  UMNO, kejayaan  pihak pembangkang dalam  pemilu  yang berlalu,  dan kemungkinan besar BN akan kalah pada  pemilu  yang  akan  datang,  mungkin sudah  menyedarkan  pemimpin  BN  untuk  merelakan satu  strategi  yang lebih  liberal.

Perdana  Menteri  sudah pun  mencadangkan  pada  persidangan  yang  baru  selesai itu  betapa  perlunya  diperkasakan  segala  strategi  dan  taktik  untuk  meraih  kembali  sokongan  yang  sudah  lama  menghilang.

Semakin  nyata  kini,  kalaulah  tidak kerana  wujudnya  pembangkang  yang  berwibawa, minat  untuk  memulihkan konsep  BN  tidak  akan  diberikan keutamaan. Apatah lagi  memandangkan   semakin  hampirnya  pemilu  2004,  sudah wujud  perasaan  untuk  menentukan  kemenangan  BN  sekali lagi.

Apa  juga  olahan  terbaru  BN  itu,  moleklah dirakamkan di sini  betapa  kehadiran  pembangkang  yang  semakin  kuat   sudah  pun  mendesak  kewujudan  senario  politik Malaysia  yang  lebih  sihat.  Ia sudah pun  melunturkan  keangkuhan  BN  terhadap  unsur-unsur  perkauman dan melancarkan  permulaan untuk  memilih  pendekatan ke arah  politik  multikaum.

Semakin jelas  mulai  sekarang,  hala tuju  politik  Malaysia  tidak akan ditentukan oleh  sebuah  parti  politik  semata-mata,  tetapi oleh  dialektik  (analisis   yang kritis mengenai  proses-proses  mental) antara   mereka  yang  mengungguli  kuasa  dengan mereka  yang menjadi pembangkangnya.

Kegiatan  politik  yang  saling  bertindak ini  akan  menjadi satu sumbangan penting  terhadap  demokrasi,  amalan hak  asasi  manusia  dan  usaha  menjaga  persekitaran  alam  dan  sebagainya.

Tamat.

Jumlah pembaca:orang