Tauliah Mengajar Di Sabah: Jabatan Imigresen dan Jabatan Agama Negeri Mesti Berdialog

Saya telah dimaklumkan oleh beberapa rakan di Jabatan Agama negeri tentang adanya pegawai Imigresen yang mendesak supaya Jabatan Agama selaku pengeluar Tauliah Mengajar Agama kepada bukan warga negara dicepatkan bagi maksud proses permohonan visa/permit untuk tinggal di Sabah kepada bukan warga negara itu. Dan satu lagi maklumat bahawa Tauliah Mengajar yang mereka (bukan warga negara) perlukan dalam penyambungan visa/permit tinggal di sini akan lebih murah kos untuk dapatkan visa di Jabatan Imigresen nanti.

Tenaga pengajar agama/pendakwah/guru al-Qur'an bukan warga negara di Sabah memang cukup digemari oleh segelintir masyarakat Islam di Sabah. Untuk menjadikan mereka itu guru di institusi pengajian agama/sekolah rakyat/pengajar/bilal di masjid/surau di beberapa masjid terutama di sekitar bandar. Memang mereka sebagai bukan warga negara perlukan visa menetap di Sabah dari Jabatan Imigresen dan juga tauliah mengajar dari Jabatan Agama.

Disebabkan urusan mereka (bukan warga negara) ini di dua jabatan kerajaan. Kedua-dua jabatan kerajaan iaitu Jabatan Imigresen (pengeluar visa/permit menetap) dan Jabatan Agama (pengeluar Tauliah Mengajar). Mengikut sumber Jabatan Agama, pihak di Jabatan Imigresen pernah mendesak tentang surat tauliah mengajar disegerakan untuk mereka memproses visa bukan warga negara yang akan tamat tempoh menetap mereka di Sabah.

Pada penulis isu seperti ini tidak sepatutnya timbul antara dua jabatan kerajaan dalam menyelesaikan urusan bukan warga negara. Kata seorang rakan penulis, apakah tauliah yang dikeluarkan oleh jabatan agama itu menjadi syarat lulusnya atau tersambungnya visa pemohon bukan warga negara untuk terus menetap di Sabah. Ini yang kita musykil tambahnya, sepatutnya pihak Imigresen mendekati dan memahami tugas atau fungsi jabatan agama negeri, kerana setiap jabatan kerajaan ada prosedur dan peraturan tertentu yang mesti dipatuhi. Adalah tidak wajar sama sekali kerana untuk menolong atau menggunakan budi bicara undang-undang/peraturan/prosedur jabatan diketepikan atau dilanggar sebegitu rupa.

Penulis juga difahamkan bahawa pemohon mendapatkan tauliah mengajar agama di jabatan agama Islam negeri Sabah majoritinya adalah datang dari bukan warga negara. Dalam soal keagamaan ini, memang kita tidak membezakan sesiapa, tetapi PATUT difahami setiap negara di dunia ini ada undang-undang tersendiri yang wajib dipatuhi oleh bukan warga negara. Ini yang mengecewakan kita, bukan warga negara kita bantu sekalipun membelakangi peraturan dan undang-undang, tapi untuk urusan rakyat warga negara kita lebih ketat. Kenapa ini terjadi, dimana kita meletak jati diri bangsa sebagai rakyat Malaysia. Apakah ada di kalangan pegawai tinggi/pegawai/kakitangan kerajaan lebih mementingkan bukan warga negara dengan keselamatan dan kedaulatan rakyat, negeri dan negara ini?.

Memang isu warga asing di Sabah cukup popular dan rumit. Pegawai kerajaan dan jabatan kerajaan yang melibatkan sama ada secara langsung atau tidak dengan bukan warga negara ini seperti berada di persimpangan yang cukup susah. Kerana sikap kita sendiri tidak tegas dengan peraturan dan undang-undang, terlalu hendak menunjuk sikap toleransi, ihsan dan manusiawi. Tetapi sebenarnya tidak kena tempatnya. Akhirnya kita sendiri yang tersepit.

Moga-moga Jabatan Imigresen dan Jabatan Agama Islam Negeri dapat mencari satu pendekatan terbaik, berdialog atau apa juga cara ke arah menyelesaikan kekusutan, ketidak fahaman dan juga salah tanggap antara kedua agensi kerajaan ini. Dengan harapan kerjasama antara pelbagai jabatan kerajaan dalam mengatasi isu warga asing/PTI di Sabah benar-benar menjadi kenyataan. Sekian, insya-Allah selepas ini penulis akan menulis lagi isu-isu menarik tentang pendakwah warga asing di Sabah.

Kiriman: Pendakwah Anak Sabah,          

Kota Kinabalu.

Jumlah pembaca:orang