Apakah Sumbangan  Mahathir Kepada Malaysia?
(What  did Mahathir do for Malaysia)

SK Wong – US.

(Artikel  asal  ada  di  malaysiakini)

Beberapa  artikel  terbaru  oleh Dr. Farish  A  Noor  dan  Prof. Ramasamy   mengenai  Mahathir dan  Mahathirisme merupakan   perdebatan  yang  menjelekkan  (boring  discourse).  Apa  yang lebih  saya  minati ialah  bukannya bagaimanakah  Mahathir  sampai  setakat ini,  tetapi  apakah  yang sudah dilakukannya  kepada  negara  kita  ini? Ini yang seharusnya menjadi ukuran  kita  ataupun  ‘the bottom  line’.  Apakah sumbangan Mahathir  terhadap   para  petani,  para nelayan,  guru-guru,  anggota polis,  para  pelajar,  pembayar  cukai, pribumi, masyarakat India,  pemilik kereta dan  lain lain  lagi?

Tukang apologis Mahathir  memang  cepat  menonjolkan  segala  projek  mega  yang berjuta  harga pembikinannya  sebagai  sumbangan  manusia ini.

Dia mungkin mereputkan pengkritik  berbisa  terhadap Barat,  tetapi  bukankah dia juga  orangnya  yang  mudah  berpusing  balik  dan  merapati  pihak yang  dikutuknya? Dia mudah  menuduh orang  lain  sebagai   pelaku  ‘jenayah’ yang  dia sendiri   gemar melakukannya  (seperti   mencetuskan budaya  benci, menuduh  Suqui  sebagai  komunis, sedangkan satu  tahun  kemudiannya dia  juga  yang  berdakapan  dengan Fidel  Castro)  Semua  peraturan dan  undang-undang     mesti  dikuatkuasakan  terhadap  orang  lain  kecuali  dirinya  dan  para  kroni. Dengan kata  mudah si bedebah ini adalah  seorang  hipokrit.

Ramai dari kalangan penyokong  kuatnya yang sudah pun  kurang yakin terhadap  pentadbirannya   sejak  empat  tahun  yang  lalu  masih lagi menabur   benih  harapan  agar Mahathir  rujuk  ke  pangkal jalan  dan  memimpin  negara  ini  ke  jalan  yang  benar.  Mereka  masih  beranggapan  dia  masih mampu  memimpin negara  ini.  Setiap berlakunya  kepincangan  mereka akan perjelaskan  dengan rayuan bahawa dia  manusia biasa  juga. Inilah yang  menghibakan.  Setiap kali tindakannya  itu  menjadi lebih  menjijikkan  dan  tidak lagi  mampu  dipertahankan, akan  ada manusia yang meminta maaf  di  belakangnya  dan  berkata: “biasalah...dia  manusia  juga... sedangkan lidah lagi  tergigit...!!!”

Pernahkah Mahathir  mencuba selesaikan masalah  banjir  negara?  Apakah cara  mengagihkan  khazanah negara untuk dibalun oleh  para  kroninya itu  satu  idea  terbaik untuk  mewujudkan  satu  masyarakat  kapitalis Melayu  yang  boleh  diharapkan dan  berkeyakinan tinggi?   Dialah perdana menteri ‘PM’, setiap kali dia  membuat khilaf, kita yang menerima  padahnya.

Kalau benarlah dia   yang terbaik untuk kita, membuatkan saya  menggigil memikirkan  apa lagi yang akan  kita  hadapi.  Berapa banyak lagi  gajah putih  (projek)  ?  Berapa  banyak  lagi  empangan Bakun? Betapa pula banyaknya  ‘bailout’ para  kroni?  Bagaimana pula dengan  harga  tol  yang akan dinaikkan  lagi?   Apa pula  kisah  warga pelajar  yang  tidak  berkelulusan?   Apakah  semakin banyak penangkapan ISA?  Bagaimana pula  dengan  kebanjiran yang  semakin  kerap? Apa kisah  wang  royalti  yang disamun  itu?  Banyakkah lagi  pembelian  ala Nanyang?  Bagaimana pula  nasib  Melayu  yang tidak  tahu bersyukur  dan  haprak?  Ya  Allah  selamatkan kami.....

Kalau  ada  pun  sumbangan  yang saya  nampak  daripada  pentadbiran  Mahathir  ialah   dasar  pintu  terbuka  kepada  pelaburan  asing  untuk  kemudahan  pembuatan. Akan tetapi kita  tidak  lagi mempunyai  keunggulan  dalam bidang  itu  berbanding  negara  membangun  yang  lain  kerana China  sudah pun  membuka  luas  pasarannya  dan  tenaga buruhnya  yang  murah  itu.  Begitu juga  dengan India yang  mempunyai  bekalan  tenaga jurutera  perisian  komputer  yang  melambak  untuk menyeluruhi dunia  sedangkan  kita masih  mengharapkan  teknologi  kelas  dua  yang telah  dihumbankan    oleh  negara  maju. 

Setelah  mengharungi   taufan politik  selama dua  puluh  tahun  dan  masih lagi  bertenaga  walaupun  wujudnya  bersepah  masalah  yang  menghantuinya,  menunjukkan  Mahathir  adalah  seorang  ahli  politik  yang  pintar. Tetapi  apakah begitu   juga  kepintarannya  sebagai  seorang  pemimpin?  Ini  memerlukan penilaian mengikut  kriteria  yang berbeza.    Ghandi  tidak  pernah  menjadi  perdana menteri India walaupun  untuk  satu  hari,  tetapi dia  adalah  seorang pemimpin yang tulen.  Ghandi disanjungi dan diabadikan  kerana dia  mendahulukan India  daripada  kepentingan dirinya sendiri  baik  dari  segi keuntungan  peribadi mahupun  kepentingan  nama.

Kalaulah Dr. Mahathir  benar-benar mahu dikenang oleh rakyat negara ini,  beliau  hanya  perlu mengembalikan  keluhuran undang-undang itu  ke  pangkuan badan  kehakiman  negara.  Letakkan  Perlembagaan  negara  itu  di mercu  kehormatannya.  Dia  harus  memimpin  melalui  teladan,  bukannya  melalui dikri  ataupun  mandat.  Kalau  ini membawa erti yang dia  pun  mesti  ditakluki oleh undang-undang,  relakanlah.  Sekarang ini dia  tidak  dipertanggungjawabkan  kepada   sesiapa melainkan  dirinya. 

Kita tidak pun memerlukan  kewujudan  Menara Kembar Petronas  untuk  mengingatinya?  Kita  dipaksanya  dihantui oleh  ISA,  AUKU, pemenjaraan  Anwar Ibrahim,  Akta  Percetakan dan  Penerbitan, antara  lainnya.

Alahai.....dia sudah pun mencecah  76 tahun.  Mungkin kini   dia sudah terfikir  tidak  mempunyai peluang lagi  dikenang oleh sejarah sebagai pemimpin  terunggul  di  negara  ini, tetapi  dia  masih  boleh dikenang  sebagai manusia  yang banyak  buat  kerja  haprak. 

Monumen yang  hebat-hebat adalah  pembikinan rakyat  untuk  pemimpin  mereka,  bukannya  pembikinan pemimpin untuk diri mereka sendiri.

Tamat

Diterjemahkan  oleh  SPAR

Jumlah pembaca:orang