Pemimpin PBS Likas Masuk KeADILan Dan 28 Cawangan PBS Di Likas Dibubarkan

Angin perubahan bertiup kencang di Sabah menjelang 24 jam terakhir sebelum pengundi-pengundi Likas membuang undi pada pagi 21 Julai ini. Satu perhimpunan rakyat besar-besaran telah diadakan di Likas Timur yang menyaksikan kemasukan pemimpin-pemimpin utama PBS Bahagian Likas ke dalam KeADILan dan membubarkan cawangan masing-masing.

Perisytiharan yang bersejarah itu telah diumumkan oleh Presiden KeADILan, YB Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada jam 10:30 malam di markas KeADILan  Likas Timur semalam, 19 Julai 2001. Kemasukan Sdr Satur Sembuling, Ketua PBS Bhgn Likas, Sdr Suhailee Jamadil, Bendahari PBS Bhgn Likas dan Sdr Liden Buti, AJK PBS Bhgn Likas telah disambut dengan tepukan gemuruh oleh lebih daripada 3,000 hadirin yang menyertai perhimpunan tersebut. Sdr Satur Sembuling juga telah mengisytiharkan pembubaran 28 Cawangan PBS Bahagian Likas dan sekaligus memberikan komitmen untuk menggerakkan seluruh keupayaan jentera ini bagi menjayakan calon KeADILan, Puan Christina Liew menjelang hari pembuangan undi.

Suasana perhimpunan tersebut menjadi lebih gamat apabila YB Azmin Ali, Pengarah Pilihanraya KeADILan bagi DUN Likas mengumumkan kemasukan Sdr Yusuf Nasir, Ketua PBS Bhgn Sukau, Kinabatangan ke dalam KeADILan. Perhimpunan yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk Likas tersebut telah diserikan oleh penceramah-penceramah hebat yang terdiri daripada YB Azmin Ali, Sdr Ruslan Kasim, Sdr Abd Ghani Haroon dan lain-lain.

Dengan kemasukan beramai-ramai pemimpin-pemimpin PBS Likas ke dalam KeADILan, ia telah memberikan tamparan hebat kepada PBS dan Barisan Nasional. Negeri di bawah bayu ini sedang bertiup kencang dibuai angin perubahan. Tidak akan mengejutkan jika menjelang 21 Julai ini sekiranya angin perubahan mengibar dan menjulang bendera keadilan dan kebenaran di bumi Likas.

ESBI, Likas