SPR Kecewa Peratusan Mengundi Rendah


KOTA KINABALU, 21 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menyatakan rasa kecewa kerana hanya 52.89 peratus daripada 26,196 pengundi berdaftar menunaikan hak mereka pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Likas hari ini.

Setiausaha SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR menjangkakan peratusan mengundi yang baik terutama selepas bekerja keras membersihkan senarai pemilih Likas daripada nama mereka yang tidak layak mengundi.

"Saya tidak tahu apa sebabnya...mungkin ada di kalangan mereka yang takut apabila kita membuat pemeriksaan kad pengenalan mereka, mungkin juga ada yang memprotes kerana isu pengundi hantu, mungkin ada yang memulau, mungkin juga mereka dihasut oleh mana-mana pihak," katanya kepada pemberita selepas pengundian bagi pilihan raya kecil itu ditutup pukul 5 petang ini.

-- BERNAMA