Politik Yang Berubah Wajah
(Artikel asal: The Changing Face Of Politics)

Oleh : MGG Pillai

Di satu majlis  sambutan Hari ‘French Bastille’ pada 14 Julai, saya terpandang satu pemandangan yang tidak pernah saya lihat selama 30 tahun : Subky Latiff dari PAS, yang telah meninggalkan dunia kewartawanannya dan pakaian kotnya untuk menceburkan diri di dalam bidang politik, mengenakan pakaian kot yang bukan menjadi lumrahnya dalam keadaan panas berlengas, di dalam taman yang luas di kawasan French Jalan Ampang. Kami telah berkawan lebih lama dari itu, kami bertemu semasa saya di Bernama, menyertainya selepas meninggalkan Reuters dan selepas tujuh tahun di Singapura, manakala beliau di Utusan Malaysia, di mana beliau belajar dengan cepat dan dengan idea ganjil yang masih dikekalkannya, mudah pula berjenaka, dan saya yang sering dihantui oleh idea-idea seperti selalu, kami berdua sama-sama berminat dengan sesuatu yang tersembunyi lebih dari berita itu sendiri.

Beliau terjun ke dunia politik, membina reputasi dengan tidak menunjukkan emosi biarpun di tengah-tengah beberapa kekalahan di dalam pilihan raya—beliau kalah kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mahathir Mohamed, di Kubang Pasu pada tahun 1999, merupakan orang penting sebuah parti politik yang tidak disenangi oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Beliau adalah orang biasa di dalam parti, tidak pernah membuat kesilapan, tetapi beliau juga seorang tokoh parti yang cemerlang, apabila wartawan-wartawan dan diplomat-diplomat singgah menemuinya untuk berbual-bual. Kehadirannya yang menonjol itu disusuli oleh suaranya yang kuat dan lantang apabila menggunakan mikrofon.

Hampir setahun saya tidak melihatnya. Kali terakhir adalah semasa ia memakai pakaian lumrahnya iaitu baju Melayu dengan kopiah putih. Menurutnya, ia memakai kot kerana pihak yang mengundang telah menetapkan etika pakaian sedemikian.  Saya sendiri tidak mengikut etika pakaian yang ditetapkan dan berbatik seperti biasa. Saya memberikan komen terhadap pakaian modennya itu, dan katanya beliau tidak mahu mengecilkan hati tuan rumah. Sebenarnya, ia adalah lebih dari itu. Ia adalah satu tanda bahawa PAS, dengan imej fundamentalisnya yang menonjol, sedang menyediakan dirinya untuk pergi lebih jauh lagi. Entah kenapa, membincangkan tentang negara Islam dengan berpakaian moden begitu, di dalam bahasa diplomasi moden, adalah lebih mudah diterima berbanding dengan kata-kata yang lebih sederhana keluar dari seorang Ustaz seperti Haji Hadi Awang.

Sebaliknya, pesaing utama PAS, UMNO, terus berpegang kepada wawasan sekularnya dengan melakukan perundingan-perundingan tertutup di kalangan ahli-ahli fundamentalisnya. Ia cuba untuk menandingi Islam yang dibawa oleh PAS dengan mewujudkan ciri-ciri sekular yang tidak mendalam. Tetapi sebenarnya tanpa menaruh sebarang harapan untuk melihat kepercayaan itu menjadi kenyataan. Adalah menakutkan bagi barisan pembangkang yang disertai oleh PAS dan DAP, kerana itu akan lebih menyukarkannya untuk mencabar penguasaan UMNO. Pengaruh PAS semakin meningkat bukan kerana prinsip Islam yang diperjuangkannya itu adalah lebih baik, tetapi kerana ia mempunyai parti yang dibentuk sebegitu kukuh dengan petugas-petugas parti yang mengikuti jejak Subky, mengenepikan kekalahan peribadi bagi memastikan kekuatan parti untuk membentuk kerajaan pada satu hari nanti.

Tiada sebarang parti lain yang mempunyai dedikasi yang tinggi seperti itu. Agen-agen pilihan rayanya terlatih dan penuh bersedia. Mereka sangat mahir tentang undang-undang pilihan raya , malah mungkin lebih mahir lagi dari pegawai-pegawai pilihan raya, mereka juga tidak akan bertolak-ansur dengan perkara yang karut-marut dan ini dapat menghalang perkara seperti itu dari terjadi. Mereka mengadakan kelas-kelas di mana peraturan-peraturan pilihan raya dibincangkan dengan panjang lebar sehingga setiap orang benar-benar memahami perkara tersebut. Barisan Nasional mengabaikan perkara ini kerana yakin akan dapat mengalahkannya dengan mudah.

Masalah peti-peti undi yang tiba lewat bukanlah satu isu buat PAS : undi-undi tersebut adalah tidak sah dan tidak termasuk di dalam pengiraan kerana ini disebut di dalam undang-undang dan agen-agennya sudah sedia maklum akan seksyen tersebut. DAP dan Keadilan kehilangan banyak kerusi akibat dari sesuatu yang dibayangkan lebih dari sebab-sebab yang lain. Yang paling jelas sekali adalah kerusi Lembah Pantai di mana Zainur Zakaria dari Keadilan sepatutnya menang; tetapi ketibaan sebuah peti undi yang ajaib beberapa jam selepas pengiraan telah menukar keputusannya. Sepatutnya ia tidak boleh dibenarkan masuk tetapi hanya segelintir di dalam Keadilan tahu tentang peraturan-peraturan pilihan raya untuk mencabarnya.

Inilah perbezaan yang besar terdapat di dalam politik Malaysia. Selain dari PAS, tiada siapapun yang memberikan perhatian tentang perkara-perkara asas politik pilihan raya. Ini memberikan laluan besar kepada Barisan Nasional. Apabila arus pendapat umum tidak lagi dapat dipengaruhi, sejak 1998 akibat tindakan UMNO yang tidak menguruskan dengan sewajarnya hal berkaitan dengan Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka parti yang terancang dengan baik sekali yang mendapat sambutan hangat. Beginilah caranya bagaimana PAS dapat bersaing dengan begitu cepat sekali. Ia mempunyai bilangan pengikut-pengikut yang sangat setia, yang sedar akan kedudukannya di mata dunia, berusaha untuk naik ke atas semata-mata berbekalkan kecekalan dan ketabahan, semangat yang tidak luntur dek kekalahan, malah jauh sekali untuk merangkul sokongan majoriti sehinggalah pada suatu hari, ia berjaya bertapak di Kelantan pada tahun 1990, dan di Terengganu pada tahun 1999.

Fokus inilah yang merunsingkan parti-parti yang kurang bersedia, sama ada di dalam barisan kerajaan sendiri mahupun pihak pembangkang. DAP dilanda ketakutan dengan keputusan pilihan raya yang telah menjejaskannya, tetapi ia sendiri tidak bersungguh-sungguh berusaha mempersiapkan dirinya bagi menghadapi tipu daya pilihanraya  - kekalahan Lim Kit Siang dan Karpal Singh di Pulau Pinang memberi ingatan. Bercakap sahaja tidak akan dapat menjamin kemenangan pada pilihan raya. Sayang sekali DAP tidak menerima pelawaan dari PAS untuk membantu melatih agen-agen pilihan rayanya. Kejayaan hanya datang apabila seseorang itu benar-benar bersedia untuk bertarung.

Keyakinan PAS yang luar biasa merupakan satu lagi perkara yang membimbangkan. Sebelum setiap sidang Parlimen, Ahli-ahli Parlimennya akan bertemu dan berbincang tentang isu-isu, membangkitkan perkara-perkara yang perlu dibincangkan, dan hadir ke dewan persidangan dengan penuh persediaan. Ini akan berjalan pada setiap hari dewan bersidang yang tidak pernah ditinggalkan oleh setiap Ahli Parlimennya. Tidak ada satu parti politik pun yang saya tahu ada membuat persediaan yang sebegitu rapi. Dalam pada ia menguatkan tapaknya, ia juga bergerak cergas di luar. Dengan kesabarannya, dan secara berterusan, ia membina jambatan penghubung, mengubah persepsi rakyat kepadanya, menukar penampilan dari baju Melayu kepada ‘Saville Row suits’, kepercayaannya tidak lagi dipersoalkan, dan pada suatu hari kaedah penyelesaiannya juga diterima.

Melalui jalan yang sama, Parti Bharatiya Janata (BJP) berjaya memegang tampuk pemerintahan di India. Tiada yang luar biasa tentang ahli-ahlinya, kecuali mereka menggerakkan parti, dan ramai pula yang benar-benar yakin dengannya, telah cukup bersedia untuk bekerja mencapai matlamatnya. Wang bukanlah matlamat mereka, keyakinan mereka telah mewujudkan satu alam baru. Ia telah membimbangkan dunia ekonomi bebas yang telah sebati dengan kita sebelum ini. Manusia menjadi takut dengan sesuatu yang tidak diketahuinya, dan tidak akan cuba menempuhinya kecuali dengan panduan dari seseorang yang mereka kenali dan percayai.

Barisan Nasional dan UMNO, sebagai sebahagian dari lanskap bagi mereka yang berumur kurang dari 45 tahun, dengan segala kepincangannya, korupsi, keangkuhan, semakin tidak relevan, masih lagi leka. Ia mempercayai yang golongan kelas menengah masih gembira bersama mereka, ahli-ahli perniagaan masih lagi senang berurusan dengan mereka kerana ia boleh mengaut sebarang projek yang tidak sepatutnya diterima. Pekerja biasa, walau bagaimana susah sekali pun kehidupannya, tidak akan mahu sistem yang sedia ada diolah semula untuk menambahkan lagi rasa curiga dan ketakutan di pihaknya.

Kekuatan yang tidak mudah dipatahkan bagi yang memegang tampuk pemerintahan adalah manifesto pilihanraya yang sangat berguna untuk memastikannya terus memerintah bagi penggal-penggal berikutnya. Namun Barisan Nasional dan penaung utamanya, UMNO, telah terperangkap di dalam keangkuhan, kumpulan orang-orang yang berpengaruh, pentadbiran diktator. Penyokong utamanya, orang-orang Melayu, lari meninggalkannya, berkeras mengatakan bahawa UMNO telah mencabar nila-nilai kebudayaan yang telah diterapkan di dalamnya sejak mula-mula ditubuhkan lagi.

Secara tiba-tiba, politik Malaysia tidak lagi dikuasai oleh Barisan Nasional. UMNO berada di dalam kehancuran, orang-orang Melayu tidak lagi peduli sama ada ia akan dapat bertahan pada pilihanraya yang akan datang, tidak selagi Perdana Menteri, Dato’ Seri Mahathir Mohamed masih lagi memegang kuasa. Beliau melihat UMNO seperti di ambang kemusnahan, dan tidak akan melakukan apa-apa pun untuk menghalangnya. Beliau menunggu dengan sabarnya, seperti orang yang menunggu buah durian yang masak untuk gugur sendiri, dan beliau memang bersedia untuk menunggu selama mana yang dia mahu.

Politik Malaysia, walaupun nampak stabil pada zahirnya, seringkali pula berubah-ubah. UMNO yang sering mendabik dada sebagai parti orang Melayu berada di dalam bahaya kerana  ia telah lama dipupuk dengan sikap yang tidak sepatutnya. PAS dengan perjuangan Islamnya, ciri-ciri antitesisnya, tampil memenuhi ruang yang kosong ini. Sama ada ia berkemampuan melakukannya tidak menjadi persoalan sekarang. Sebenarnya UMNO yang merasai bimbang tentang hal itu, dan kebimbangan untuk kehilangan kuasa. Itulah yang menyebabkannya mula mendekati sekutu bukan Melayunya yang selama ini diperlakukan bagai lembu dicucuk hidung itu.

Penguasaan Melayu tidak dapat disekat lagi, dan UMNO tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan semula sokongan itu. Barangkali ia tidak dapat melakukannya. Ia tidak mempunyai pengikut-pengikut dengan hati nurani penguasaan Melayu yang sanggup memperbaikinya. Kebanyakannya telah dikaburi dengan kekayaan luar jangkaan dari perbendaharaan negara yang pernah dimiliki oleh Malaysia 20 tahun yang lalu. Tetapi apa yang naik pasti akan turun semula. Dan penduduk-penduduk tetap Malaysia Boleh ini sekarang sedang menuju ke arah kebangkrapan. Mereka ini, seperti yang dapat difahamkan, tidak mempunyai masa untuk teori-teori dan pemulihan polisi-polisi yang telah gagal.

Masyarakat Cina dapat melihat keadaan ini dengan lebih jelas dari orang-orang lain. MCA tidak boleh memberikan maklum balasnya dengan barisan pemimpinnya yang telah tercela. DAP tidak boleh tampil ke hadapan bersuara lantang mewakili orang-orang Cina di dalam barisan pembangkang disebabkan rasa bimbangnya terhadap agenda Islam yang dibawa oleh PAS. Tetapi kedua-dua MCA dan DAP, dengan Gerakan ketinggalan di belakang sebagai di tempat ketiga, benar-benar terperangkap dengan para penyokong mereka, kerana membenarkan mereka diperalatkan, dan bertindak secara tergesa-gesa dan dalam ketakutan.

Konsep Islam adalah sesuatu yang cukup ditakuti oleh orang-orang Cina yang merasakan mereka telah memahaminya, dan memberikan reaksi untuk menyokong para pemimpin mereka. Tetapi ia tidak dilakukan dengan pemikiran yang sewajarnya atau kajian. Jadi, hasilnya, seperti di India, hanyalah sebagai kaedah sementara bagi menghalang sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ini adalah kerana segala yang telah diperkatakan dan dilaksanakan, bagi kedua-dua UMNO dan PAS yang mempunyai agenda tentang Islam, ia hanya berkaitan tentang bagaimana untuk melaksanakannya yang menyebabkan mereka menjadi lawan. Ternyata kedua-dua parti itu mempunyai pandangan berkaitan dengan penguasaan Melayu Islam. Tidak perlu dipersoalkan tentang itu.

Namun hanya PAS yang berusaha untuk menonjolkan dirinya, seperti sekarang ini, sebagai pembawa pandangan moden Islam. Ini dihalang oleh ahli-ahlinya yang lebih ekstrim yang mendesak agar perlaksanaan yang tidak kurang dari amalan Syariah Timur Tengah dibuat, dengan undang-undang Hudud dilaksanakan secara keterlaluan. Ahli-ahli PAS yang modenlah yang telah berjaya mengekang perlaksanaan ini. Dengan kemasukan beramai-ramai golongan professional Melayu di dalam jawatan-jawatan parti, menjadikan perkara ini dapat dibendung. Baju kot yang dipakai oleh Subky Latiff pada 14 Julai itu membayangkan pemikiran itu. PAS menukar rentaknya bagi menarik perhatian mereka yang mungkin pernah marah terhadap prospek tersebut.



Terjemahan : SPAR 09

Nota webmaster: Kita melihat bahawa pandangan dari penulis sudah cukup untuk membuka mata sekelian mereka yang masih berada di luar garis keagamaan Islam yang suci. Tanggapan bahawa PAS adalah parti 'Pak Lebai' sebenarnya adalah semata-mata propaganda politik BN/UMNO yang berjaya memerap di minda rakyat sekian lama. Justeru kerana belum diberikan peluang memerintah atau hadir dalam majlis yang penting kerana kerjaya sebagai Menteri atau Wakil Rakyat, apakah 'gila' para pemimpin PAS berpakaian kot sedemikian sebagaimana yang dilakukan oleh Subky Latiff dalam majlis ini. Namun dalam kes ini berbeza kerana Subky Latiff dikenakan syarat berpakaian sedemikian. Kot juga adalah sejenis pakaian. Bukan sekular atau Islamnya. Ia masih dalam lingkungan menepati ciri-ciri Islam yakni menutup aurat. Tiada barat atau Timur dalam berpakaian sebenarnya. Ianya hanya budaya da kebanggaan sesetengah kaum dan bangsa. Tiada keganjilan jika orang Barat memakai baju Melayu lengkap bersampingnya. Hanya yang perlu kita fahami, meniru apa yang RasululLah buat itu atau yang dinamakan 'sirah RasululLah' itu berpahala, tetapi memakai kot yang jelas tidak membuka aurat itu tidak pula berdosa. Janganlah terpedaya dengan politik murahan UMNO/BN bahawa PAS adalah parti lebai dan tidak layak memerintah negara. Jangan pula cuba membayangkan bagaimana Subky Latiff dengan baju Melayunya atau Haji Hadi Awang dengan jubahnya itu dalam majlis mengangkat sumpah sebagai Timbalan Perdana Menteri yang berikutnya nanti. Sudah tentulah majlis yang sedemikian kita akan menghalang kita berpakaian kemas secara rasmi yang dituntut, asal sahaja ia tidak membuka aurat dan tidak menghina Islam ~ webmaster

Jumlah pembaca:orang