ANTARA BLACK METAL DAN RENONG BERHAD ..

Saya rasa terpanggil untuk membuat sedikit ulasan tentang gejala sosial yang melanda Negara kita sekarang ini iaitu golongan remaja yang terlibat dengan Black Metal, satu pertubuhan yang anti Tuhan dan memuja syaitan.

Sebenarnya kumpulan ini telah wujud di negara kita ini sejak dari hujung 80an atau awal 90an lagi. Sebagai isteri kepada seorang warga pendidik dan terlibat secara langsung dalam bidang disiplin suami saya pernah meminta diusulkan dalam perhimpunan agung Umno Bahagian saya di Perak untuk membendung gejala ini. Namun amatlah mengecewakan sekali , usul yang dibawa oleh cawangan saya itu ditolak mentah-mentah di peringkat Jawatan kuasa penapisan usul bahagian tersebut kerana bersama-sama usul itu terdapat juga usul meminta menteri-menteri wanita dan isteri menteri yang beragama Islam memakai tudung. Itulah yang di takutkan oleh jawatankuasa penapisan usul -TAKUT PADA PEMIMPIN KORUP LEBIH DARIPADA TUHAN – maka usul yang datang daripada hati yang ikhlas itu dianggap sebagai suara –suara menentang kepimpinan dan suami saya dipanggil oleh Sdr. Ketua Pemuda Umno Bhg. Itu kononnya untuk diberi nasihat agar tidak begitu lantang mengkritik dalam setiap perhimpunan agung parti.

Tetapi kenapa setelah hampir 10 tahun gejala ini dikesan baru sekarang hendak dihebohkan  ? Bila tersiar saja dalam media BN maka menyalaklah pak menteri dan perdana menteri kononnya guru agama tidak menjalankan tugas , asyik berpolitik  dan menanam sikap anti- kerajaan dalam jiwa pelajar, sehingga menyebabkan gejala ini berleluasa. AMBOI !!!! mudah sekali menuding jari menyalahkan orang lain sedangkan kita ada para menteri yang bertanggung jawab menangani masalah ini. Adakah para menteri ini langsung tidak bersalah ? Kita ada Menteri Pendidikan, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Penerangan , Menteri Di JPM ehwal Agama Islam, Menteri Perpaduan yang semuanya dari UMNO dan beragama Islam . Apa yang telah mereka lakukan untuk membendung gejala ini.

Pada saya mereka tidak ikhlas dalam menangani gejala ini , isu ini ditimbulkan hanyalah untuk memberi mereka alasan menghentam golongan yang mereka kenal pasti menentang mereka . Suami saya mengomel ketika mula-mula mendengar berita ini , “ Ini tentu ada isu yang besar yang mereka nak buat atau sorok , sebab itulah ditimbulkan gejala Black Metal ini”. Saya menganggap rungutan suami saya itu biasa saja sehinggalah kerajaan mengumumkan pengambilalihan RENONG yang melibatkan wang rakyat sebanyak 13.8 Billion RM. “Hahh!!! Kan I dah kata dah”. kata suami saya lagi. Kerana kebenaran kata-kata suami saya itulah mendorong saya untuk membuat ulasan ini.

Marilah kita sama-sama renungkan , untuk menyelamatkan Halim Saad seorang, kerajaan memaksakan kepada setiap rakyat dari bayi sehingga kepada situa kerepot dan yang sedang nazak sebanyak RM627.00 .(13.8 B bahagi 22 juta penduduk M’sia ). Sedangkan wang yang didapati oleh kerajaan itu adalah hasil daripada cukai yang dikutip dari setiap rakyat tanpa mengira bangsa, agama fahaman politik atau jenis pekerjaan.

Mandat yang diberi oleh pengundi kepada Umno dan BN untuk mentadbir negara ini bukan dalam bentuk Blank Check , tetapi bersama-sama mandat itu adalah AMANAH . Tuan-tuan PM dan semua menteri dan wakil rakyat Umno dan BN terutamanya yang Islam MESTI ingat mereka yang tidak menunaikan amanah yang yang diberikan adalah terdiri dari orang-orang yang FASIK dan MUNAFIK

Kesimpulannya adalah macamana golongan FASIK dan MUNAFIK ini nak menangani gejala sosial ini sebab mereka juga adalah gejala sosial itu sendiri. Maka satu soalan kepada para pembaca sendiri apakah mereka ini relevan lagi apabila pelihanraya umum 2003/2004 ? NYAHKAN mereka sekapal terus . Jangan biar tinggal benih sekali pun.

REFORMASI …REFORMASI….ALLAHUAKBAR.

Nur Suria

Nota webmaster: Ada benarnya kata penulis di atas mengenai isu 'Black Metal'. Kerajaan nampaknya cuba melarikan diri dan menuding jari ke arah pembangkang yang menyebabkan 'ajaran sesat' berleluasa. Nampaknya kepimpinan hari ini lebih pandai menyalahkan orang lain dari melihat diri sendiri. Logiknya jika difikirkan, apa pun yang berlaku dalam kemelut sosial remaja hari ini.. samada gejala dadah, bohsia, bohjan, lumba haram, lepak, menonton VCD lucah dan lain-lainnya ADALAH DISEBABKAN KELEMAHAN KERAJAAN BN yang memerintah negara selama 43 tahun. Ini adalah kerana mereka yang memegang tampuk kuasa dan berkuasa ke atas sesuatu. Dan mereka jugalah yang meluluskan permit tempat melakukan maksiat, litar lumba tempat berlumba haram dsbg. Kita anjurkan penyelesaiannya melalui hukum yang diturunkan oleh Allah dalam Al-Quran mereka tolak mentah-mentah. Percayalah!! Tiada jalan penyelesaian lain sebaik anjuran ini!! ~ webmaster

Jumlah pembaca:orang