Pindaan Daftar Pengundi Bakal Menghakis Hak Demokrasi

Oleh : Mavis Puthucheary, Petaling Jaya
(Dari Malaysiakini)


Menurut akhbar The Sun Khamis lalu, kerajaan bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengharamkan sesiapa juga dari mencabar daftar pengundi pada masa-masa hadapan. Ini bermakna bukan sahaja daftar pengundi untuk pilihan raya kecil Likas tidak boleh dicabar di mahkamah undang-undang, bahkan kita juga tidak akan dapat mencabar semua daftar pengundi pada masa-masa akan datang.

Seandainya pindaan tersebut diluluskan, hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berhak untuk menentukan siapa yang mengundi dan siapa yang tidak boleh mengundi. Sesiapa sahaja dari kita yang layak mengundi dan mendapati nama masing-masing hilang dari daftar pengundi, tidak akan dapat mencari penyelesaian di mahkamah undang-undang. Sebaliknya, daftar tersebut mungkin mengandungi nama-nama mereka yang tidak layak mengundi.

Kejanggalan di dalam daftar pengundi telah dikenal pasti bukan sahaja oleh parti-parti pembangkang malah di dalam kerajaan dan SPR sendiri. Pada 1 Februari 1995, Perdana Menteri sendiri menyatakan dalam laporan The New Strait Times bahawa prosedur menyelaraskan pendaftaran nama-nama pengundi perlu dikaji semula bagi memastikan keadilan. Pada masa itu, sejumlah 4500 nama-nama tambahan yang ditemui telah dimasukkan ke dalam daftar pengundi negeri Kelantan. Didapati bahawa ‘perilaku yang tidak bertanggung jawab itu dilakukan oleh seorang individu, tetapi tiada tindakan boleh dikenakan kerana nama yang tercatat di borang-borang adalah palsu’. Pada masa yang sama, nama-nama yang didapati hilang dari daftar pengundi itu didakwa sebagai nama ahli-ahli UMNO.

Menjawab satu soalan yang diajukan kepada beliau, Dr. Mahathir Mohamad tidak menafikan kemungkinan terdapat orang dalam yang terlibat memandangkan sesetengah kakitangan mungkin mempunyai fahaman politik mereka sendiri. Kewujudan pengundi-pengundi hantu iaitu mereka yang mengundi menggunakan kad pengenalan orang yang telah meninggal dunia atau menggunakan kad pengenalan palsu, telah menjadi satu masalah yang diketahui ramai dan berbagai usaha telah dibuat bagi membendung bilangan pengundi-pengundi hantu yang berleluasa.

Dalam bulan November tahun lalu, pengerusi SPR yang akan tamat tempoh jawatannya melaporkan bahawa beliau telah membersihkan daftar pengundi dari 570,000 nama, di mana 224,000 darinya terdiri dari pengundi-pengundi hantu yang telah meninggal dunia (NST, 12 Nov.2000). Di Sabah sahaja pihak SPR telah membuang lebih dari 81,000 pengundi hantu dari daftar pengundi selepas ia menggunakan talian terus (online) untuk berhubung secara langsung dengan Jabatan Pendaftaran Negara (NST, 10 Nov.2000).

Hanya selepas desakan yang kuat dari umum berkaitan dengan pengundi-pengundi hantu yang berleluasa barulah SPR bersedia untuk mengkaji masalah tersebut. Tanpa tekanan ini, tidak ada jaminan bahawa SPR akan menjalankan usaha untuk membersihkan daftar pengundi terutama sekali apabila perkara tersebut berada di luar bidang kuasa mahkamah nanti.

Hujah-hujah seterusnya dari Datuk Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menghalalkan pindaan tersebut adalah ia perlu dilakukan untuk mengekalkan imej dan kewibawaan SPR sebagai satu badan yang bebas dan berkecuali.

Hakikatnya adalah di sebaliknya. Pada masa-masa lalu walaupun kebebasan SPR telah terhakis, kewibawaannya sebagai badan berkecuali tidak terjejas ke tahap yang serius. Sekalipun masalah-masalah berkaitan dengan nama-nama pengundi yang hilang dan pengundi-pengundi hantu telah berlaku dari masa ke semasa, kewujudan mahkamah rayuan sebagai jalan terakhir untuk digunakan oleh mereka yang berpendapat pilihanraya tidak berjalan dengan adil, telah menyumbang kepada keyakinan masyarakat umum terhadap pilihanraya.

Kecacatan dalam daftar pengundi telah diterima dengan fikiran terbuka sebagai kesilapan manusia yang tidak dapat dielakkan manakala keputusan pilihan raya telah dapat diterima oleh kebanyakan rakyat, dan ini bukanlah satu sumbangan yang kecil terhadap kestabilan politik yang dapat dinikmati oleh negara ini.

Apabila pindaan itu diluluskan, walau bagaimanapun, sudah pasti kewibawaan SPR sebagai satu badan berkecuali akan terjejas dengan teruk dan menimbulkan kesan yang serius terhadap sistem demokrasi kita yang sudah lemah itu.

Mungkin inilah masanya untuk menilai semula sistem pilihanraya sebagai satu kaedah untuk mengesahkan kuasa pemerintahan. Walaupun Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan seorang pengerusi bebas bagi SPR yang menikmati jaminan keselamatan sepanjang tempoh jawatan tersebut disandang dan beberapa perlindungan dari manipulasi politik, setelah beberapa tahun pindaan-pindaan dibuat terhadap Perlembagaan telah mengurangkan kuasa dan kebebasan pengerusi tersebut.

Pesuruhjaya-pesuruhjaya yang sebelum ini memegang jawatan tersebut sehingga mencapai umur 65 tahun  kini terpaksa menunggu kelulusan badan perundangan terhadap perlantikan mereka di mana, dalam sistem berparlimen kerajaan, ia bermakna kerajaan yang memerintah sekarang. Oleh kerana tidak berlaku sebarang  pertukaran kerajaan pada peringkat pusat, ini bermakna bahawa perlantikan pengerusi SPR dibuat oleh pemimpin-pemimpin parti yang berkuasa.

Setelah beberapa tahun parti yang memerintah berjaya memperolehi majoriti dua pertiga bagi membolehkannya meminda Perlembagaan, maka adalah tidak mustahil juga buat parti yang memerintah untuk meminda Perlembagaan bagi mengurangkan lagi kuasa-kuasa SPR. Kini bukan SPR yang menentukan bilangan kerusi-kerusi di dalam setiap negeri berdasarkan populasi atau bagaimana persempadanan pilihanraya perlu dibuat, tetapi parlimen.

Sehingga kini, walau bagaimanapun, pertikaian berkenaan dengan kejituan dan kesahihan daftar-daftar pengundi dan cara pilihan raya dilaksanakan telah diserahkan kepada budi bicara mahkamah. Dengan pindaan ini, kuasa mahkamah untuk menyelesaikan pertikaian seperti ini akan dilenyapkan. Di dalam konteks ini ia boleh dilihat sebagai satu lagi usaha untuk membunuh sistem demokrasi kita.

Di atas semua alasan-alasan ini kita perlu mengambil apa juga langkah bagi menghalang pindaan ini dari diluluskan. Ini bukan hanya melibatkan perkara politik atau prosedur. Ianya amat penting kepada keseluruhan  sistem demokrasi kita dan kestabilan politik yang kita telah kecapi.

Sekiranya tidak ada keyakinan terhadap cara demokrasi kita untuk memilih pemimpin-pemimpin, adalah membimbangkan seandainya mereka yang terkilan menggunakan cara yang tidak berperlembagaan untuk menyuarakan bantahan mereka. Terdapat banyak contoh di sekeliling kita yang memperlihatkan bahawa apabila keyakinan rakyat terhadap sistem politik telah terhakis, keganasan dan berbagai bentuk sikap politik yang tidak diingini akan tercetus.


Terjemahan :  SPAR

Jumlah pembaca:orang