JANGAN DITANGISI LIKAS ...

Saya percaya seluruh pencinta reformasi, kebenaran dan keadilan di kalangan rakyat Malaysia di Sabah dan di seluruh pelusuk tanah air berasa sedikit dukacita di atas kekalahan calon BA dan parti pembangkang yang bertanding di Likas. Ramai rakyat mahu BA menang bagi mengajar keangkuhan UMNO/BN dan para pemimpin BN di Sabah dan KL. 

Tangisan bukanlah penawar kepada golongan pejuang, para reformis politik Sabah, pencinta keadilan, pejuang rakyat, pejuang reformasi politik, ekonomi dan pejuang kebenaran. Jadi keputusan Likas yang sudah ditakdirkan itu bukan untuk ditangisi. Sebagai pejuang rakyat yang ikhlas, kekalahan atau kegagalan dalam perjuangan ini tidak akan menjadikan kita kecewa atau patah semangat. Bahkan kekalahan inilah menjadi tonik dan tenaga baru untuk kita lebih kuat dan berusaha menjana sebuah kemenangan lebih besar dalam tahun 2003/4 nanti.

Walaupun pada kira-kira jam 9:00 malam 22 Julai itu, seluruh negara dimaklumkan bahawa BN adalah pemenang dalam pilihanraya kecil DUN Likas 2001, melalui calonnya Datuk Yong Teck Lee (SAPP/BN). Berapa undi yang diperolehinya, tidak berapa penting untuk diberikan ulasan. Walaupun, ada yang mengandaikan kemenangan BN di Likas penuh dengan kecacatan demokrasi, kelucahan pemuda/puteri UMNO/BN, rasuah politik bermaharajalela, budaya gangster BN, hantu dan pelbagai lagi telah mewarnai kemenangan mereka sebenarnya. Pasti bergembiralah dan berpuas hatilah para pemimpin mereka, terutama ketua mereka yang berkempen di Likas.

Bagi rakyat yang telah memilih BN, kita tunggulah janji-janji pembangunan yang bakal mereka terima dari BN. Mudah-mudahan bukanlah janji palsu dan janji khusus calon BN yang menang itu, akan membawa usul ke DUN Sabah bagi menyelesaikan pengundi hantu dan janji-janji lain yang telah mereka lafazkan di depan rakyat Likas semasa berkempen.

Kepada para pendokong dan penyokong BA, khususnya KeADILan di Sabah. Kekalahan dan kegagalan dalam perjuangan menegakkan kebenaran, keadilan dan membela nasib rakyat bukan untuk ditangisi. Apa lagi untuk kecewa. Dalam kamus kehidupan seorang pejuang rakyat yang ikhlas, jujur dan telus tidak ada kalimat kecewa atau tangisan. Sebaliknya, semangat untuk terus melawan bagi membanteras segala ketidakadilan, penyelewengan kuasa, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh penguasa yang zalim, rakus dan tamak. Mesti diteruskan dan terus berkobar dalam jiwa setiap pejuang rakyat yang benar-benar ingin membela nasib rakyat yang tertindas, dipermainkan dan diperbodohkan oleh UMNO/BN.

Likas hanya satu kawasan dari 48 kawasan DUN di Sabah, sekurang-kurangnya semangat perjuangan, strategi dan pengalaman kita di Likas akan memberikan suatu impak yang lebih baik kepada perjuangan politik baru yang lebih mencabar di Sabah akan datang. Mungkin tidak berapa tahun lagi, pasti kita akan kembali untuk mengajak rakyat Sabah ke arah pembaharuan politik yang lebih telus, beramanah, demokratik dan sebuah kerajaan yang lebih baik dan adil di bawah kerajaan BA, insya-Allah.

Jadikanlah benih-benih kesedaran politik baru, yang sudah disemai di Likas ini sebagai tapak semaian yang akan disebarkan pula secara lebih meluas ke seluruh pelusuk negeri Sabah. Bagi membuka akal fikiran, mata hati dan mata kepala rakyat Sabah terhadap pemerintahan UMNO/BN yang lebih banyak agenda kepentingan kroni, suku sakat, amalan penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya di dalam banyak perkara yang diuruskan oleh pemerintahan UMNO/BN di Sabah dan di mana-mana negeri yang mereka kuasai, ada saja kes YB, menteri, ketua menteri/menteri besar sehingga ke peringkat tertinggi PM, TPM dan menteri-menteri terlibat salah guna kuasa, campur tangan dalam urusan yang tidak patut mereka campur dan banyak lagi.

Jangan padamkan semangat dan kesedaran rakyat di Likas, Sabah untuk meneruskan perjuangan lebih besar lagi di bumi Sabah. Jangan kita nokhtahkan perjuangan politik baru ini di Likas dan jangan juga ditangisi kegagalan di Likas, sehingga kita berkabung. Dan jangan dimatikan semangat dan kesedaran yang sudah mula berputik di hati rakyat Likas ini. Teramat penting follow-up kepada perjuangan di Likas ini dan para pemimpin BA hendaklah terus bersama rakyat Sabah dan pemimpin BA negeri bagi merealisasikan kejayaan lebih bermakna di tahun 2003/4 nanti. Akhirnya, kejayaan insya-Allah akan bersama orang-orang yang tekun, kuat semangat, sabar yang diadun bersama keilmuan, kekuatan jemaah dan kekuatan taqwa.

Sekian.

Ibn Sabah, 23.7.2001M

Jumlah pembaca:orang