ANALISIS PEGUAM UNTUK BUKTIKAN PENAHANAN ISA BERMOTIF POLITIK

PENAHANAN  pemimpin parti-parti politik, aktivis reformasi dan pelajar baru-baru ini bermotifkan politik, kata peguam Zulkifli Nordin. Menurut Zulkifli, pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka seperti yang tertera dalam kertas pertuduhan jelas mengetepikan undang-undang dan akta-akta yang termaktub dalam  Perlembagaan Malaysia.

Pertengahan April lalu, sepuluh pemimpin  KeADILan dan aktivis reformasi ditahan di bawah akta tersebut. Mereka ialah Ezam Mohd Noor, Saari Sungib, Tian Chua, Dr Badrul Amin Baharon, Hishamuddin Rais dan Lokman Nor Adam yang kini ditahan selama dua tahun di kem Kamunting. Manakala empat yang lain Raja Petra Kamaruddin, Badaruddin Ismail, Abdul Ghani Haron dan N Gobalakrishnan dibebaskan setelah ditahan lebih 50 hari. Baru-baru ini dua pelajar IPT,  Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan  Mohamad Fuad Mohd Ikhwan turut menjadi mangsa ISA.

Menurut Zulkifli, jika tiada motif politik di sebalik penahanan tersebut, mengapa pihak berkuasa tidak menggunakan akta-akta yang ada di Malaysia. “Sebagai contoh, Kanun Keseksaan,  Akta Hasutan dan Akta Polis sudah cukup untuk digunakan bagi menjalankan pendakwaan ke atas  Ezam sekiranya beliau benar-benar terlibat dalam perjumpaan sulit atau menyertai perhimpunan haram seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan,” kata Zulkifli.

Menurutnya,  pertuduhan terhadap mereka juga kabur dari segi undang-undang kerana tidak dinyatakan secara spesifik tempat, tarikh, masa dan tidak disebut nama orang-orang yang mereka temui dalam pertemuan yang menjadi asas pertuduhan itu.

“Dan paling aneh dalam pertuduhan keenam dinyatakan Ezam dan Tian Chua  bertindak sebagai ialah seorang perancang utama dalam merangka pendekatan bercorak kekerasan dengan menahan secara salah 22 buah bas di Lunas tahun lalu. Bukankah kes ini sedang didengar di mahkamah Baling?” tanya Zulkifli.

Di bawah ini siarkan semula pertuduhan ke atas Ezam sebagai contoh beserta analisis peguam.

PERTUDUHAN PERTAMA

Bahawa kamu, pada penghujung bulan September 1998 di Institut Kajian Dasar, Bangsar, Kuala lumpur telah mengadakan perjumpaan sulit yang turut dihadiri 3 orang anasir reformasi yang dikenali bagi menghasut para pelajar institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara supaya gerakan reformasi dapat dipertingkatkan dengan cara mencetak dan menyebarkan risalah untuk menghasut para pelajar para pelajar supaya melibatkan diri dalam demonstrasi jalanan yang boleh mengancam ketenteraman awam dan memudaratkan keselamatan negara.

Akta-akta yang ada:

a. Seksyen 120A Kanun Keseksaan iaitu apabila dua orang atau lebih bersetuju melakukan atau menyebabkan supaya dilakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan iaitu penjara selama tempoh tidak lebih daripada 6 bulan, atau dengan denda atau kedua-duanya.

b. Seksyen 3 (1)(a) dan Seksyen 3(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu bagi mendatangkan benci atau pemghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak suka terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan dan bagi mendatangkan benci atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak suka terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia atau dalam mana-mana negeri dan kamu dengan itu telah melakukan satu kesalahan di bawah S.4(1)(c) Akta Hasutan iaitu mengedarkan penerbitan menghasut dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM 5000 atau penjara tidak lebih tempoh 5 tahun atau kedua-duanya.

PERTUDUHAN KEDUA

Bahawa kamu di antara awal tahun 2000 hingga bulan Mei 2000 di 3 tempat berasingan iaitu di Kota Bharu, Kelantan, Kuala Lumpur, London  mengadakan 5 siri perjumpaan sulit dengan 2 orang anasir reformasi yang dikenali bagi membincangkan perancangan dan strategi untuk menggunakan bahan letupan bagi mengancam nyawa serta mencederakan pemimpin tertentu negara dengan pihak gerila pemisah dari negara jiran yang mana tindakan kamu kamu tersebut boleh menjejaskan hubungan dua hala dengan negara jiran serta mengancam ketenteraman awam dan memudaratkan keselamatan negara.

Akta-akta yang ada

Syeksyen 120A Kanun Keseksaan iaitu apabila 2 orang atau lebih bersetuju melakukan atau menyebabkan supaya dilakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah S. 120B Kanun Keseksaan.

PERTUDUHAN KETIGA

Bahawa kamu pada 25 mac 2000 di Hotel Sri Alam, Gombak Selangor menghasut orang ramai agar meneruskan gerakan reformasi dengan menyertai demonstrasi jalanan yang diadakan pada 15 April 2000 di sekitar Kuala Lumpur di mana ekoran daripada hasutan itu seramai lebih kurang 1500 orang menyertai satu perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan yang diadakan di hadapan Masjid Negara, Kuala Lumpur yang mencetuskan keadaan tegang serta rusuhan hingga menyebabkan pihak polis bertindak menangkap 48 orang anasir reformasi untuk mencegah dari mengancam ketenteraman awam dan memudaratkan keselamatan negara.

Akta yang ada

Syeksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan mana-mana golongan awam mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau terhadap ketenteraman awam dan jika sabit kesalahan boleh di hukum di bawah Seksyen yang sama iaitu penjara boleh sampai 2 tahun, atau denda atau kedua-duanya.

PERTUDUHAN KEEMPAT

Bahawa kamu pada 14 Mei 2000 di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor semasa berucap dalam satu perhimpunan haram yang dihadiri lebih kurang 2000 orang  membuat ucapan berunsur provokatif dan menghasut para penyokong supaya meningkat dan meneruskan gerakan reformasi di seluruh negara dengan antara lain menyatakan  bahawa “… yang datang bukan lagi berlenggang, yang datang dengan parang, yang datang dengan senjata, jangan salahkan saya, jangan salahkan saudara Anwar Ibrahim, salahkan Mahathir Mohamad pencetus huru hara ini ...” yang mana hasutan kamu itu boleh mengancam ketenteraman awam dan memudaratkan keselamatan negara.

Akta yang ada

a. Seksyen 3(1)(a) dan Seksyen 3(1)(c) Akta hasutan 1948 iaitu bagi mendatangkan benci atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak suka terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan dan bagi mendatangkan benci atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak suka terhadap pentadbiran keadilah dalam Malaysia atau dalam mana-mana negeri dan kamu dengan itu melakukan kesalahan di bawah S.4(1)(b) Akta Hasutan 1948 iaitu menyebut perkataan menghasut yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM5000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya.

dan,

b. Seksyen141 Kanun Kesiksaan - perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

atau,

c. Akta Polis, Seksyen 27(4)atau 27(8).

PERTUDUHAN KELIMA

Bahawa kamu pada awal September 2000 setelah berbincang dengan 4 orang anasir reformasi telah mengarahkan supaya mereka membuat perancangan serta menghasut rakyat untuk menyertai perhimpunan haram secara besar-besaran tang bertemakan “PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT” pada 5 November 2000 di Jalan Kebun, Klang, Selangor di mana ekoran daripada hasutan itu lebih kurang 6000 orang menyertai perhimpunan haram tersebut yang  mencetuskan rusuhan dan keganasan di sekitar Plaza Tol Kesas dan Jalan Kebun, Klang, Selangor di mana dalam demonstrasi tersebut seorang pegawai polis  diserang dan dicederakan dan ada di antara perusuh  membaling batu ke arah polis yang mana tindakan tersebut mengancam ketenteraman awam dan memudaratkan keselamatan negara.

Akta yang ada

Seksyen 120A Kanun Keseksaan iaitu apabila 2 orang atau lebih bersetuju melakukan atau menyebabkan supaya dilakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh di hukum di bawah Seksyen 120B Kanun Kesiksaan.

PERTUDUHAN KEENAM

Bahawa kamu pada 29 November 2000 semasa Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Lunas, Kedah  bertindak sebagai salah seorang perancang utama dalam merangka pendekatan  bercorak kekerasan dengan menahan secara salah 22 buah bas, menimbulkan kesesakan jalan raya, mengadakan demonstrasi jalanan, perarakan bermotor serta menghalang pihak polis secara kekerasan daripada menjalankan tugas-tugas pilihanraya dan keputusan pilihanraya tersebut meyakinkan kamu serta anasir-anasir reformasi bahawa pendekatan kekerasan adalah sesuai untuk memenangi Pilihanraya Umum akan datang dan perpepsi sedemikian boleh mengancam dan memudaratkan keselamatan negara.

Akta yang ada

Seksyen 107 Kanun keseksaan iaitu menghasut mana-mana orang melakukan perkara itu dan dengan sengaja membantu melakukan perkara itu dengan apa-apa perbuatan yang menyalahi undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

(Artikel ini dipetik dari akhbar politik CABARAN)

Jumlah pembaca: orang