MALAYSIA HADAPI KEMELESETAN YANG MEMBIMBANGKAN

Oleh : S. Jayasankaran
(Dari FAC)

Kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi di Malaysia mula membimbangkan. Pada 12 Julai, Singapura mengumumkan penguncupan ekonomi tahunan sebanyak 10.1% pada suku kedua tahun ini. Negara itu kini disebut oleh para penganalisis sebagai berada di dalam apa yang dipanggil kemelesetan dari segi “teknikal”- penguncupan pada dua suku tahun yang berturut-turut. Berita tersebut telah menyebabkan dollar Singapura menurun kepada paras 11 tahun lebih rendah berbanding dengan dollar US, sekaligus mencetuskan kebimbangan bahawa Malaysia, yang prestasi ekonominya sering dibayangi oleh prestasi negara jirannya, mungkin akan menjejaki jalan yang sama tidak lama lagi.

Pertumbuhan eksport Malaysia adalah, seperti mana Singapura, didorong oleh barangan elektronik. Permintaan semakin berkurangan di US, yang merupakan pasaran terbesar buat kedua-dua negara itu. Para penganalisis yang berpengkalan di Singapura mula membunyikan tanda amaran tentang ekonomi Malaysia dan juga negara mereka sendiri.

Ahli-ahli ekonomi di Broker Saham UOB Kay Hian di Singapura berkata bahawa kesuraman ekonomi yang berlarutan di US akan mengurangkan dengan banyaknya pertumbuhan setengah tahun merentasi benua itu, memberi amaran bahawa ekonomi Malaysia juga bakal merudum. Sementara itu, SG Securities di Singapura telah menurunkan ramalan pertumbuhannya bagi Malaysia untuk tahun 2001 kepada 0.7% dari anggaran sebelum itu pada kadar 2.5%.

Di Kuala Lumpur, mereka yang mempercayai bahawa kemelesetan sedang berada di ambang pintu masih kecil bilangannya. Ekonomi Malaysia tumbuh pada kadar 3.2% pada suku pertama tahun 2001, dan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, kini juga merangkap Menteri Kewangan sejak peninggalan Daim Zainuddin, menjangkakan pertumbuhan itu akan meningkat naik pada suku tahun kedua.

Pada zahirnya, angka-angka tersebut kelihatan agak meyakinkan. Inflasi berada pada kadar 2%, dan pengangguran pada 3.1% - paras yang hampir sama seperti di dalam tahun 2001. Kadar faedah masih rendah. Kadar wang tiga-bulan – yang dijadikan ukuran pada industri tersebut – berubah-ubah di antara 3% dan 3.3%, sementara kadar pinjaman asas (Base lending rate), yang bersamaan dengan kadar utama US, adalah 6.7%. Hutang luar agak rendah pada kadar 51% dari Hasil Kasar Dalam Negeri (GNP) tahun lalu berbanding dengan 58% pada tahun 1999. Kadar wang simpanan berada hampir pada 40% dari GNP, merupakan salah satu yang tertinggi di dunia.

Walau bagaimanapun, kebimbangan terhadap ringgit masih ada. Sungguhpun rizab pertukaran asing dikatakan telah pun stabil, berada pada $26.3 bilion dalam bulan Jun, para penganalisis lebih tertumpu kepada penurunan matawang di seluruh kawasan baru-baru ini. “Bank Negara cuba melengah-lengahkan masa tetapi tekanan ke atas ringgit semakin meningkat,” kata Manu Bhaskaran, ketua pakar ekonomi SG Securities di Singapura.

Sejak bulan Januari, terdapat spekulasi yang meluas bahawa ringgit, yang ditetapkan pada kadar 3.80 bagi setiap dollar US semenjak bulan September 1998, mungkin terpaksa diturunkan nilainya untuk mengekalkan persaingan bagi eksport Malaysia. Walaupun Bank Negara telah bersungguh-sungguh menafikan kemungkinan itu, tekanan ke atas matawang ringgit masih berlaku.

Lebih dari itu, kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) di dalam sistem perbankan sekali lagi meningkat. Dalam bulan April, NPL merangkumi 12.9% dari keseluruhan pinjaman yang dikeluarkan, melebihi paras 10% dalam bulan Januari. Gan Kim Khoon, ketua penyelidikan di Arab-Malaysian Securities di Kuala Lumpur, menganggarkan “berdasarkan kes yang paling teruk” bahawa NPL mungkin mencapai paras 18.8% pada suku pertama tahun hadapan. Sekiranya ramalan ini menjadi kenyataan, sekurang-kurangnya sebuah bank Malaysia terpaksa disuntik modal sekali lagi.

Sementara itu, kadar pengangguran dijangka akan terus meningkat. Terdapat lebih dari 3000 kes yang dibuang kerja dalam bulan Mei, empat kali ganda dalam jangka masa yang sama tahun lepas. Lebih banyak penyusunan semula struktur dan pengurangan kerja dijangkakan berlaku dalam bidang perbankan dan industri-industri pembuatan pada tahun ini memandangkan kedua-duanya terpaksa melalui penggabungan yang memeritkan. Dalam bulan Mei, suasana kelam-kabut tercetus selepas sebuah hospital kerajaan di utara negeri Perak mengiklankan sebanyak 500 kekosongan jawatan, telah menarik beribu-ribu orang hadir ke temuduga.

Dengan latar belakang ekonomi yang tidak menentu, kerajaan sendiri telah mengambil langkah-langkah yang perlu bagi merangsang penggunaan dalam negara dan memastikan agar ekonomi tidak terlalu bergantung kepada pengeksportan.


Terjemahan : SPAR 09

Jumlah pembaca:orang