Pengambilalihan   UEM  Yang  Penuh  Ilusi 
(Illusions  From UEM  Takeover) 

(Kim quek:  24  Julai,  2001)

(Catatan Penterjemah:  Inilah  yang  disebut oleh Qalam Kencana sebagai  projek Tikus Mahathir   membaiki  labu.....!!!!)

Kerajaan  telah  sengaja   memacu  pergerakan  pasaran  saham  dengan  kiasan bahawa usaha  pengambilalihan UEM-Renong adalah  usaha  pemulihan  segala  penyakit yang menghenyak  Bursa  Saham Kuala  Lumpur,  selama  ini.

Dengan  memomokkan  Halim Saad  dan  menggembar-gemburkan   kepincangan Kumpulan Renong sebagai lambang   kronisme  Malaysia,  Mahathir merencana   untuk  menarik kembali  minat para  pelabur    agar  yakin  bahawa   keadaan  sudah  semakin pulih,  sebaik sahaja Halim  dipengapkan  dan  UEM-Renong dikekang  di  bawah penguasaannya.  Pelbagai isyarat sudah pun  dikeluarkan   bahawa  segala   gelagat  memanjakan    segelintir taikun  dan hartawan  sudah  sampai  ke  zaman  penamatnya.  Ini  adalah  satu isyarat betapa kerajaan  sedang  mencuba  mengamalkan  ketelusan  agar   para  pelabur   merasa lega untuk  melabur  dengan  selesa.

Sebenarnya  Halim hanya  merupakan    seorang proksi  kepada  pihak  yang lebih berkuasa di atasnya   dan sudah tentu  tidak merupakan  kunci rahsia  untuk menyelesaikan masalah  yang  ada.  Lagipun  kronisme  tidak  mudah  berlalu  begitu  sahaja  melainkan wujud   perubahan  yang  besar  dalam  dasar  kerajaan    menguruskan  aset dan  sumber yang  ada  di  negara.

Sebagai  awalan,  amalan   memberikan  kontrak  kerajaan  yang  lumayan  dan projek penswastaan  yang beribu juta  harganya tanpa  tender yang  sempurna  seharusnya digantikan dengan  tender terbuka  yang  disaluti peraturan  tertentu; dan Badan Pencegah Rasuah  mestilah  dipindahkan  daripada  dikuasai  oleh  Perdana Menteri kepada  sebuah  institusi  kerajaan  yang  benar-benar bebas, yang dilengkapi dengan kuasa  perundangan  yang  mencukupi  dan  bertanggungjawab  hanya  kepada Parlimen.

Tanpa  beberapa perubahan di atas,  segala tindakan  memomokkan  Halim  dan penstrukturan UEM-Renong  akan hanya dilihat  sebagai  satu  bentuk  PR  ataupun usaha seranta  untuk   mendapatkan sokongan  untuk  menggiatkan  pasaran  saham.

Keadaan  adalah lebih  dahsyat  daripada  itu.  Ini  adalah  satu  usaha menyelindungi niat  sebenar untuk  menyelamatkan  Halim  sekali  lagi.  Kali  ini, bom  asap dilontar untuk menyamar  usaha   menyelamatkan beliau  daripada   membelanjakan berbilion ringgit  secara begitu  sahaja  (selama ini  kita  jangan  lupa bahawa  dia hanya merupakan  khadam  suruhan   yang  memegang proksi sahaja )  Mengikut  satu perjanjian pada  awal  1998  dulu  Halim dikehendaki  melunaskan  perjanjian  ‘put  option’ yang dipersetujuinya  untuk  membeli  32%  saham Renong  daripada  UEM  pada  harga  yang dipersetujui  ketika itu  secara  tunai  bernilai  3,200  juta  ringgit (2.3 bilion ringgit,  TUNAI). Perjanjian  ini  adalah  satu  bencana besar  kepada  Halim kerana harga  pasaran  32% saham  Renong sekarang  hanya   bernilai  600 juta  ringgit berasaskan  harga penutup pada  RM 0.80  se  saham.  Ini bererti  Halim  akan kerugian sebanyak   2.600 juta  ringgit.

Kini,  muncul pula  jentera pelaburan  kerajaan  Khazanah  Nasional  yang membuat tawaran  untuk  mengambilalih  UEM dengan  syarat  penerimaan  tawarannya itu tidak kurang daripada  90%.  Tawaran ini  bertujuan  memudahkan  pengunduran  UEM daripada penyenaraian, sekaligus  memudahkannya  lenyap  daripada  radar penelitian orang awam. Senanglah  kerja-kerja  UEM   memberikan kemudahan kepada  Halim  untuk dikecualikan daripada  menepati  perjanjiannya  itu,  dan  dengan  demikian menyelamatkan beliau daripada melunaskan  berbilion  wang tunai  dan  menanggung kerugiannya.

Apabila dikemukakan soalan penting  apakah kemungkinan Halim akhirnya diminta juga melunaskan  put-option seandainya pengambilalihan Khazanah itu berjaya,  Sheriff Kassim, Pengarah Urusan  Khazanah  telah  bertindak  memberikan  jawapannya  yang merewang-rewang. Dia cuma  mampu memberikan jawapan  bahawa  perkara  itu  akan ditangani  pada  satu  hari  nanti. Mahathir  ternyata lebih  berterus terang dalam  isu ini. Dia  telah dilapurkan oleh akhbar  yang  mencetuskan soalan  sama ada halim  akan bertanggungjawab melunaskan  perjanjian put-option  yang merupakan  bebanan hutang itu. Mahathir  telah  menjawab:  “kalau kita ambil  alih, saya  fikir  kita ambil alih  hutang itu  sama. Takkan  kita  ambil alih  aset dan tidak  ambil alih  hutangnya.” (Straits Times 24th  Mei).  Ini bererti  Mahathir sudah pun  memberikan  penentuan betapa  Halim tidak  perlu  memenuhi  janjinya dengan  UEM.

Kalaulah  niat  sebenar bukannya  menyelamatkan Halim  seperti  yang  dinafikan oleh pihak  yang  berkuasa, kenapakah  Khazanah  bertegas  agar  UEM  ditarik daripada penyenaraian  di  BSKL?  Alasan rasmi bahawa  cadangan itu  bertujuan memudahkan kerja-kerja  penstrukturan  adalah  alasan  haprak  yang  tidak  boleh diterima-pakai. Lagipun, setiap kerja  yang  mematuhi  peraturan  bursa saham dan hukum-hakamnya  akan hanya  memanjangkan  tempoh  penstrukturan  itu  dan  tidak  menyekatnya. Sebaliknya banyak perkara  yang menyeronokkan  akan  dinikmati  apabila  pengambilalihan itu dihadkan  kepada   kuasa  menguasai syarikat  sambil  memeram  status penyenaraiannya. Selain menjimatkan  beribu  juta  wang rakyat  marhaen  (kini  dianggarkan sebanyak RM3.8 bilion)  proses  penstrukturan  yang  menyeluruh boleh  dijadikan  contoh pemulihan keyakinan  melalui   urus niaga  yang  telus  dan  pembabitan  awam yang maksima. Adalah jelas, seandainya kerajaan betul-betul mahukan  kebangkitan keyakinan pelabur  dalam pasaran,  kerajaan  seharusnya memilih opsyen  yang baru  disebut itu  dan bukannya  opsyen  pilihannya    yang  sebenarnya  bertujuan  menyelamatkan Halim  Saad sekali   lagi.

Secara  kebiasaannya,  sebuah  pasaran  saham merupakan  satu  gambaran kasar akan keadaan  kesihatan  ekonomi  dan suasana  politik sesebuah  negara.   Masalah yang menghantui  Malaysia  sekarang  ini  menjurus  kepada  kepimpinan  politik yang haprak. Kegagalan  pucuk  kepimpinan  menyedari  dan menyelesaikan  masalah  struktur yang amat lemah itu  telah  menyumbang  kepada  krisis   kewangan dan ekonomi  yang menjahanamkan rantau  ini.  Malaysia  belum lagi pulih  daripada musibah  itu.   Malahan, Malaysia telah  dihenyak   oleh  kereputan yang   terus  menular  dengan  pantas  di semua bidang   kehidupan selama beberapa  tahun  kebelakangan  ini.   Kerana  itu, kedudukan Malaysia  dalam  beberapa  indeks sejagat  telah  menggelonsor  dengan  aibnya, sama ada dalam  pentadbiran  badan  kehakiman  negara,  hak  asasi manusia, persaingan ekonominya ataupun  pendidikan.

Adalah  sesuatu  yang  amat  malang  kepada  Malaysia, apabila  Perdana  menteri mempunyai  hanya  satu  jenis  jawapan  kepada setiap  bantahan  terhadap  cara pentadbirannya,  dan   jawapan itu  berbentuk: peningkatan   tekanan  dengan menggunakan  segala  hukum-hakam   yang  disauk  daripada  sekumpulan senjata undang-undang  dan perundangan yang telah  diperkasakannya sejak dua dekad mencengkam kuasa. Inilah  yang kita lihat  selama  ini  melalui cara undang-undang  yang mendera dan  menghina  itu  dikuatkuasakan  untuk  menangkap  dan  mengganyang serta menyiksa dan  memenjarakan  para   pembangkangnya.  Senario  politik tanahair yang semakin gawat  ini telah  menjadi lebih  buruk  lagi apabila  Perdana Menteri masih menunjuk-nunjuk  sikap kepala  batu  beliau   menyerang  orang  asing  daripada menuduh mereka sebagai penyangak  matawang, penjajah  dan  secara  terbaru  pula menyerang segala  unsur-unsur  kewujudan  pasaran terbuka dan  globalisasi.  Semua gelagat  beliau ini,  terus  melunturkan  keyakinan  para  pelabur, sama ada mereka itu  pelabur  asing ataupun  tempatan,  dan  sama  ada  pelaburan  itu  merupakan  aktiviti  terus ataupun pelaburan  portfolio.

Apabila  kita analisis  pengamatan  ini, tindakan  terkini  untuk  mengambilalih UEM bolehlah  dianggap  sebagai  satu lagi  proses  mega  menyelamatkan  para kroni,  dan segala  kesan  menyemarakkan keyakinan  itu  hanya  satu  ‘fatamorgana’   yang berbentuk khayalan dan ilusi sahaja.

Kim Quek.

Diterjemahkan  oleh SPAR.

Jumlah pembaca:orang