Penyelamatan   UEM
(Malaysia’s  UEM  Bailout)

Oleh   Terence  Gomez

Pada  Isnin lalu, kerajaan  Malaysia  mengumumkan  niatnya  membelanjakan  3.8bilion ringgit  untuk  membeli  semula  United  Engineers  Malaysia (UEM),  tercetuslah  berita  meluas  betapa  Mahathir  Mohamad  mahu  melancarkan satu  proses  penyelamatan  lagi.  Renong  merupakan  konglomerat  terpenting  di   kalangan  beberapa  syarikat  besar  kepunyaan  Melayu  yang  dihenyak  hutang yang besar-besar menyebabkan  ia  tidak boleh  terlepas  daripada  usaha  kerajaan  untuk  menyelamatkannya.  Setakat  November  1999,  syarikat  dalam  Kumpulan  Renong  merupakan milik  UMNO  yang  dipimpin  oleh  Mahathir  Mohammad.

Seperti  biasa,  Mahathir  menafikan sebarang  usaha  penyelamatan  ataupun  ‘bailout’. Apa  pun  pendirian  sebenar  beliau,  adalah  sukar  menilai  apakah  kepentingan   awam  merupakan   alasan  terpenting  untuk     menyokong  sikap  penyelamatan  itu.  Lagipun  usaha  ini  bukannya  merupakan sebahagian usaha beliau   untuk  memulakan  satu   tindakan  berterus terang  yang penuh  ketelusan dan penuh  suasana  bertanggungjawab mengikut  cadangan   setiap  pengamat  seperti  yang dilapurkan dalam  akhbar  tempatan.  

Krisis  hutang  Kumpulan  Renong  sudah  lama  bergelora  sejak  1997   ekoran   ledakan  krisis  fiskal  rantau  ini. Oleh kerana  luasnya bidang  urusniaga  konglomerat   yang menakluki  perhotelan,  lebuh raya,  telekomunikasi,  petroleum  dan  perbankan,  para  pengkritik  telah  lama  memberikan cadangan   agar   kumpulan  itu   menurunkan  bebanan  hutang  dengan  cara  melepaskan pegangannya  dalam  beberapa aset  yang  mewah-mewah,  yang  pada  waktu  ini  dinilai   sekitar  25  bilion  ringgit.  Tiba-tiba,  inilah  pula  yang  difikirkan  oleh  pihak  kerajaan. 

Akhbar tempatan telah  menjelaskan  betapa  usaha  penyusunan  semula  Renong/UEM  boleh membantu   meredakan  keresahan   dan  keyakinan  pelabur  di  pasaran  saham  Kuala  Lumpur.  Dalam  menangani  krisis kewangan itu,  beberapa  institusi  baru  dan  peraturan  baru  telah  diperkenalkan  untuk  memajukan  ketelusan  dan  semangat  bertanggungjawab  di kalangan sektor korporat. Namun  demikian,  Kumpulan  Renong  dan  pemegang  saham  terbesarnya  Halim  Saad jarang  sekali  tertakluk  kepada    peraturan  ini. 

Memang  kerap  juga  tercetusnya  beberapa  skandal. Pada  Mac 2001,  ketika  dilancarkan  terbitan  pertama  saham  anak  syarikat  Renong,  TimedotCom,  sambutan  umum  jelas  terlalu  dingin  sehinggakan  jumlah besar  ekuiti  yang  berbaki  disogokkan  kepada beberapa  institusi  awam. Pernah  pada 1997,  UEM  telah  digerakkan  untuk membeli  longgokan  saham terbesar   bersamaan  dengan 32.6%  saham Renong  dengan  nilai  2.34 ringgit. Pembolotan  ini,  dilaksanakan  secara  pinjaman   bernilai  800 juta  ringgit  yang  ditanggung  bersama  oleh   beberapa bank  tempatan yang rapat  dengan  kerajaan  dan  UMNO. Inilah  tindakan  yang  mencemaskan  pemegang  minoriti  saham  UEM.  Proses  penyelamatan  ini  nampaknya  memanjangkan  lagi  sikap  salah  urus  sektor  kewangan  tempatan  untuk  memenuhi    nafsu-nafsi  pihak  tertentu  yang  berkepentingan.

Kini  sudah  ada  pertanda   munculnya perubahan dalam  iklim  politik negara.  Tercetusnya   pergeseran  ideologi  politik  antara  Dr. Mahathir  dan  sahabatnya  yang  paling  berpengaruh  pada  satu  ketika  dulu,  Daim Zainuddin, dengan persaraan  beliau  sebagai menteri  kewangan pada  Jun lalu,  dianggap sebagai sebahagian  dari  fenomena itu.  Mereka berdua  tidak  pun  berusaha  memberikan  penjelasan  kenapa  berlakunya  persaraan itu.  Yang  pasti,  beberapa  individu  memang  amat  sangsi   mengenai   suasana  pentadbiran  korporat  negara  dan  ketelusannya ingin  membuat  pengaduan  tentang  pengunduran  Daim  itu,  ataupun  mengenai   pergeseran  antara  mereka  berdua,  ataupun  tentang  Kemungkinan  pengambilalihan  UEM  oleh  kerajaan. Namun  kebanyakaan  rakyat   seharusnya   lebih  curiga   tentang  cara   pengambilalihan  itu  dan  apakah  yang  terselindung  di  sebalik  semua  itu  yang  menyerlahkan  keadaan  sebenar  politik  negara.

Pengambilalihan UEM  menyerlahkan  dua  isu  utama:  Pertama,  ia  menyerlahkan    keadaan  pentadbiran  negara  sebenarnya  yang  banyak  tertumpu  kepada  kuasa  seorang  perdana  menteri di mana  semua  agensi  kerajaan  adalah  berlagak  sebagai  khadam  upahannya  sahaja. Kedua,  ia mendedahkan betapa  kuasa  politik  yang berlebihan ini sudah menggangu-gugat  hak  asasi   kebendaan dan  harta milik  individu  dalam  dunia korporat, negara  ini  kerana  mudah sangat   diperkotak-katikkan  oleh  penguasa  yang  pelahap. 

Dengan  kata mudah,   pengambilalihan  UEM  dan   tumpuan  kuasa politik  terhadapnya,  menarik perhatian  kepada  isu  pemilikan  dan  pengawasan  firma  tempatan. Di  Malaysia, kewujudan  kuasa  milik majoriti  dalam  sesebuah  syarikat  tidak  membawa   banyak  makna  apabila  ada  usaha  kerajaan  mahu mengetatkan  dasar-dasar baru  ataupun  penyusunan  semula  korporat. Perkara ini   amat  relevan  dalam  isu  UEM,  malahan  amat  terserlah  dalam  usaha  menyusun  semula  sistem  perbankan  negara.

Mereka  yang mudah  sangat  terdedah kepada  pengambilalihan  aset  korporat  adalah   manusia yang  sama  yang  berkemungkinan besar  telah  menikmati  banyak faedah  daripada naungan  negara  selama  itu. Cuma pada  kali  ini, mereka tidak  bernasib baik kerana  tidak lagi  dipayungi  seorang gergasi  politik  yang  telah  dinyahkan   oleh  perdana  menteri.  Halim Saad,  seorang  anak  emas Daim, terpaksa  melepaskan  pegangan  ekuiti  dalam  Renong. Sebalik  segala  penglibatan  Halim sebelum  itu,  dia  sanggup  melepaskan  pegangan  semua itu  dengan mengambil sikap  terus  membisu.  Besar kemungkinannya,  para peniaga  lain  yang  rapat  dengan Daim  akan  turut  mengalami paksaan  yang  serupa  untuk  melepaskan  pegangan  mereka yang  besar  dan  berpengaruh dalam sektor  korporat  tempatan.

Pengambilalihan yang diilhamkan oleh  nafsu serakah  politik, bukanlah perkara  baru  di negara ini. Melalui penguatkuasaan  berahsia  bertopengkan  tadbiran korporat,  pemimpin  politik   yang mendekati  penguasa pernah  mengalihkan  aset korporat   kepada  pegangan  pihak  sekutu  mereka. Apabila  mantan  perdana  menteri  Anwar  Ibrahim  dinyahkan pada  1998,  sekutu  niaga beliau  telah turut  teraniaya  apabila  kehilangan   aset korporat  mereka. Kebanyakan  aset ‘yang  dirampas’ itu  berpindah  tangan  kepada  para peniaga  yang  rapat  dengan  Daim. Ketika itu, Daim  muncul  bersama  Mahathir, sebagai  salah seorang   pemimpin  politik yang  sungguh  besar kuasanya  di  negara  ini.

Ketika  penguatkuasaan  beberapa   peraturan  pilihan  dikenakan  terhadap    beberapa perusahaan   telah  membantu  menyerlahkan  suasana  wujudnya   seliaan korporat  yang  berwibawa,  terdapat pula  segelintir  keganjilan yang  dibiarkan  terus  berleluasa, terutama  yang membabitkan  syarikat  yang berhubung  rapat  dengan Daim.  Selain  penyelamatan TimedotCom,  Tajuddin  Ramli  seorang  lagi  anak mas  Daim, telah diberikan  pampasan  yang  lumayan  oleh  kerajaan  dengan menggunakan  dana  awam untuk  mengambilalih   pegangan saham  dalam  syarikat  penerbangan  (MAS)  yang  dihantui  hutang  bertimbun-timun dan  berkarat  itu.

Halim  dan Daim  kini digambarkan  secara  senyap-senyap dalam akhbar  tempatan sebagai  orang yang  bertanggungjawab  dengan krisis   hutang Renong  dan  terhadap  ketiadaan  ketelusan serta  tanggungjawab  dalam  akauntabiliti  urusan  mereka. Akan tetapi, Dr.Mahathir  seharusnya  bertanggungjawab juga  dengan  segala kemelut  ini.  Dalam keghairahannya   mahukan  pencapaian  wawasan  mewujudkan  sekumpulan   usahawan  Bumiputera  yang menguasai  konglomerat mega,  kerajaan  Mahathir  telah  terlampau  memanjakan  kumpulan  ini  dengan  memberikan   pelbagai nikmat seperti konsesi  dan permit  yang  tidak ada  hadnya   tanpa sebarang  ketelusan  kepada  kumpulan  Renong dan juga  kepada  anak-didik kesayangan bersama   mereka,  Tajudin Ramli.

Kumpulan Renong naik mencanak  melalui  beberapa  siri  pengambilalihan  dan dokongan  pinjaman bank  daripada   pelbagai institusi  perbankan  kerajaan  Sebalik  semua  pembesaran  Renung  itu  tidak  ada  sebarang  pengkhususan  dalam  cara  mereka berniaga. Tidak pula  ada  sebarang  usaha  kerajaan  untuk  mendisiplinkan  mereka  ataupun membetulkan  sebarang kepincangan  dan  kerja gila-gila. Sebaliknya  bantuan  kerajaan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk itu  dianggap  sebagai  bertepatan  dengan ilham  bahawa  semua  itu adalah  untuk  kepentingan  negara.

Apakah  pula  yang boleh  diharapkan  dalam  usaha   penstrukturan  semula  korporat  yang  ada  apabila  Dr. Mahathir  memegang dua  kuasa  sebagai perdana  menteri  dan  menteri  kewangan  negara?    Besar kemungkinannya  beberapa agensi kerajaan  akan  digembelingkan  mengambilalih  beberapa  perusahaan  milik  sekutu niaga   Daim.  Kemudian,  milik  kebanyakan  ekuiti  itu   terpaksa  dipindahkan  kepada  negara  ataupun  kepada  individu  yang  kuat  mengampu  Dr. Mahathir.

Memandangkan  kuasa  penguasa  mencengkam pengaruhnya, ciri-ciri hala tuju  korporat,   baik dalam  kerajaan dan  di  pihak  awam,  akan seterusnya  bergerak  mengikut  rentak dan  irama  yang  ditentukan  oleh  Dr.  Mahathir.  Perdana  menteri  telah  meminta  rakyat  jelata  memberikan kepercayaan  kepadanya dengan  menjanjikan   ketelusan  yang lebih luas,  dan  akauntabiliti  dalam pentadbiran  kerajaan  seperti yang diajukannya  dalam  cara  penyusunan   semula  Renong. Apa juga  yang  akan  terjadi; selagi  kuasa  itu  dipusatkan  kepada  cengkaman  seorang  penguasa yang  gila kuasa, para pelabur  akan  terus  meragukan  apa juga    urusan  niaga  yang  dilaksanakan   bertopengkan  “kepentingan  awam”.

Tamat   Diterjemahkan  oleh  SPAR

Jumlah pembaca:orang