JAUH PANGGANG DARI API, PUTUS ASA TIDAK SAMA SEKALI!

Maria Ahmed Abdullah
25 Julai 2001

Saban hari semenjak keputusan PR Kecil DUN Likas diumumkan, para pemimpin BN tiada hentinya menggembar-gemburkan kelemahan keADILan dan mengangkat kehebatan BN dalam akhbar-akhbar tempatan di Sabah.

KeADILan akan menghadapi segalanya dengan tabah lagi ditekan, makin menjadi. Ahli-ahli yang memperjuangkan idealisme kebenaran dan keadilan akan tetap bersama dan menyusun saf, istiqamah dalam meneruskan perjuangan. Mereka inilah warga yang merdeka membujur lalu melintang patah lawan tetap lawan sampai menang. Tiada apa yang dikesalkan, kerana setiap ucapan dan amal dipohon agar menjadi pertimbangan di sisi Tuhan yang Maha Adil.

Penyajian politik baru akan dicernakan dalam tindak-tanduk yang tiada membezakan di antara para pemimpin dan ahli biasa dari sudut pertanggungjawaban dalam amanah-amanah yang dipikul. Muhasabah (critical analysis) dan syura(collective decision-making) menjadi tunjang politik keADILan pemimpin menasihati rakyat dan rakyat mengingatkan pemimpin. Itu tidak kelihatan dalam politik BN.

BN tidak akan faham politik baru ini. Mereka tidak akan yakin dengan politik pilihan keadilan, khususnya dan BA amnya. BA memikirkan rakyat sebelum memutuskan semua perkara. Rakyat adalah lebih utama dari diri-diri pemimpin itu sendiri. Sebab itu para pemimpin BA hidup secara sederhana lebih-lebih lagi dewasa ini kerana segala apa yang ada pada mereka dialirkan kepada perjuangan untuk membela rakyat.

Para pendokong BA tidak meminta-minta dari pemimpin dan membebani mereka. Kedua-dua pihak saling ringan-meringankan dan muafakat serta hidup dalam suasana perjuangan yang luhur. Sebarang perselisihan akan menemui musyawarah atau sekurang-kurangnya bersetuju untuk tidak bersetuju. Tiada ancaman, pemboikotan, dan sabotaj-mensabotaj. BA menginginkan suasana politik yang lain dari yang di anjurkan oleh BN; penuh dengan keruntuhan akhlak, menghalalkan sebarang cara dan pembaziran yang tiada hadnya.

Politik baru mencari keberkatan Ilahi (the Creator), kuasa yang mutlak, Pelindung yang Maha Agung. Sekali-kali kemenangan tidak akan dicari dengan jalan yang bathil.

Apakah sebabnya sebahagian Melayu dhaif seperti yang sering disebut-sebut oleh PM? Siapakah yang telah diamanahkan mendidik Melayu selama ini? Dalam berita RTM dua minggu lalu (dalam suatu majlis di Putrajaya), PM mengaku  telah gagal mendidik orang Melayu. Wajarlah beliau memberi laluan, digantikan oleh orang lain yang lebih kreatif. Formula yang digunakannya adalah usang dan tidak mujarab lagi untuk membentuk Melayu yang dinamik, gigih, tabah, sabar dan mencabar. BN mengajar rakyat, khususnya Melayu bersikap mengambil jalan mudah dan memilih keselesaan dari melaksanakan pengorbanan terlebih dahulu. Cepat dapat projek (walaupun tidak punya kemahiran yang diperlukan), cepat dapat untung lalu cepat kaya, maka berkuasa menguasai orang lain yang dhaif. BN menjadikan Melayu bersikap terhutang budi, maka sanggup berlakon untuk memenuhi citarasa para pemimpin BN, asal saja diberi ganjaran yang sesuai. Berleluasanya taktik menakut-nakutkan, maka pemikiran ramai Melayu menjadi beku dan tidak bermaya. Itulah penjajahan jiwa oleh jiwa yang rakus. Menjadikan jiwa-jiwa manusia tiada merasai kemerdekaan yang hakiki; senantiasa takut, mengelak kesusahan, jauh sekali untuk mengambil risiko.  Itulah sebahagian hasil yang buktikan oleh BN, khususnya UMNO di mana cita-cita siperakus lebih utama dari nilai-nilai kebenaran dan keadilan.