Ahli  Politik  dan  Dunia  Ekonomi
(The  politician in  the economy) 

oleh:  Harun  Rashid

Negara-negara maju sedang  bersidang di sebalik  tembok  yang  tinggi-tinggi di Genoa, sedangkan  negara membangun  hanya  mampu  menanti  sambil  membuang  masa menunggu dan  memerhatikan  apa  peluang  mendapat  habuan  bahagian  kek  sejagat  yang mungkin dihidangkan. Mereka  yang  bersidang itu adalah  orang  politik,  bererti  mereka bukannya  pegawai  korporat  dunia.

Sekumpulan manusia  yang berkumpul  di  bahagian  luar membuat  bising  yang hingar bangar, adalah  bukannya  politikus  ataupun para  eksekutif. Mereka  merupakan wakil yang     generasi  muda-mudi  yang  mempunyai  idealisme  tersendiri. Merka inilah yang mempunyai   pertelagahan  dengan  pemimpin  politik  yang sedang bersidang.  Demikianlah lagaknya  betapa wujudnya  konfrontasi  antara golongan muda  yang  punyai idealisme dan pemimpin  politik  di  seluruh  dunia. Memang  demikianlah  kerana  golongan muda-mudi yang mudah ke sana sini, lebih tersusun pergerakan  mereka  dan lebih lantang suaranya.

Kajian sains  politik memberikan  pengajaran  bagaimana  sesebuah  kerajaan  itu mula bertapak  dalam  sesebuah  negara. Pendidikan  ekonomi  mengajar  hukum pembekalan dan keperluan, disamping  sebuah  teori  membangunkan dan  menguruskan  usahasama komersial yang  besar-besar. Apa  juga  pun pendidikan  yang disebarkan itu, pengajarannya  tidak mencukupi  untuk  menyediakan  pengetahuan  secukupnya  untuk menangani dunia yang dikuasai  oleh  masyarakat politikus. Aktiviti  ekonomi  selalunya  bergerak dalam suasana  politik yang  dinaungi oleh satu petua  utama  politik.  Lantas diwujudkan  satu bidang  pengajian  yang disebut  ekonomi Politik. Petua  kencana  dunia politik  mengajar  kita  supaya  mempercayai  orang  lain seperti mana  kita  mahu  dipercayai  oleh  mereka. Kumpulan  yang  sinis mengubahsuaikan petua  ini dengan berkata:  “Sesiapa  yang  menguasai  emas berbungkal, dialah yang menentukan peraturan dan  tangkal. Pada  hakikatnya, “Mereka yang  menentukan hukum dan hakam membalun  emas bermayam-mayam.” Apabila orang politik memegang kuasa merekalah yang menentukan  “segala  hukum-hakamnya”.

Seorang penguasa  yang  mempunyai kuasa berlebihan,  apabila  tidak diawasi oleh rangkaian penelitian untuk  menentukan  imbangan  kuasanya,  berupaya  menentukan apa juga  peraturan dan  hukum-hakam  yang  memudahkannya  membalun  emas bermayam-mayam. Tindakan  seperti  itu  membuatkannya  kurang  popular. Kerana  itu  dia  mesti menyorokkan nafsu-nafsinya,  sambil mengawasi  kemungkinan munculnya  pihak  yang mencabar. Segarang-garang  singa  yang menghadapi habuannya, terpaksa  undur  menyorokkan ekor apabila    sekumpulan  serigala berpakat   menyondolnya.

Sebagai  langkah  berjaga-jaga,  ahli-ahli politik  mengumpulkan   beberapa sekutu dengan  menjanjikan  habuan  hasil  rompakannya. Habuan rompakan itu memang menyelerakan   kerana  itulah  bahagian  yang  jempolan  semuanya.  Itu  sebabnya   ramai manusia yang  sanggup  berhabis-habisan  dan  bermati-matian  untuk  sampai ke  puncak kuasa, sama ada  sebagai  pelakon  yang  jelas  peranannya  itu  ataupun  cuma  sebagai pelaku sebalik tabir untuk  mendalangi  sesuatu.

Jawatan politik memang  menjentik  nilai  wang  yang  lumayan, memang  berbaloi apabila berjaya  mencapainya. Itu  sebabnya  ramai yang  sanggup  membelanjakan  lima juta ringgit  semata-mata  mengimpikan  jawatan  yang  menjanjikan gaji   cuma sepuluh ribu ringgit setiap  bulan.  Sebaik  sahaja  mencapai  impian  itu  mulalah  usaha mendapatkan  kembali  perbelanjaan  yang  dikeluarkan,  tidak kira  apa caranya.

Dalam banyak  hal  bidang  pemerintahan dan  niaga  mempunyai  kepentingan yang berbeza.  Sistem  perusahaan  terbuka, yang merupakan  asas  kapitalisme,  lebih cenderung  beroperasi  dalam satu  ragam  yang  tidak  tersusun  dan  bebas kerana mahukan  semua  keuntungan  untuk  dikebas. Inilah yang menjurus  kepada gelagat salah guna.  Seperti  yang pernah disebut  oleh  Karl  Max,  segala keuntungan mungkin tidak perlu diagihkan kepada  pemegang saham ataupun  pemiliknya  seperti yang dipersetujui, tetapi  disimpan  dan dihimpunkan  oleh  para  pengurus untuk membeli perusahaan  lain yang menguntungkan. Justeru,  segala  pemusatan  keuntungan ditumpukan dan  dikuasai  oleh segelintir  tuan punya sahaja, yang  mungkin  menyisihkan segala bentuk  tandingan dengan cara  bersekutu  dan  berpakat   ataupun pertandingan yang tidak  sihat. Modal  dan  juga  kuasa  ekonomi yang  tercetus itu  menjadi terkumpul sebagai  bahananya.

Dengan mengenakan  cukai  dan  biaya  perlesenan, kerajaan  berlagak  sebagai rakan tidur, selalunya  menyauk  setengah  ataupun  lebih lagi  keuntungan  yang tersembul tanpa  memiliki sebarang  saham  ataupun  menyediakan  secebis  kepakaran  dalam pengurusannya.  Gelagat  kerajaan  begini menyebabkan  para  peniaga  yang merasa terhina,  menggaji  akauntan  dengan  gaji  yang  lumayan  untuk  mengecutkan bahagian yang  boleh  disauk  oleh  kerajaan. Tercetuslah  mainan  tarik-tali  antara dunia  niaga dan  kerajaan,  di mana  suasana  selesa    disediakan  oleh  kerajaan. Sebagai balasan  masyarakat  niaga  membayar  sebahagian  keuntungan  yang  muncul daripada perniagaan mereka.  Inilah  perhubungan simbiotik  di mana  kedua  pihak  saling memerlukan, sedangkan rakyat, masyarakat  pekerja dan   pelanggan  ataupun pengguna hanya  memain  peranan  yang  paling   kecil  sahaja.

Di  Malaysia  hubungan antara  kerajaan  dan  dunia perniagaan  memang  tidak jelas sempadannya.  Kepentingan  perniagaan  sengaja  bercampur  aduk  dengan kerajaan, pemimpin  politik  yang berkuasa,  para  sahabat  dan  suku-sakat,  dan  juga parti politik  mereka. Kesetiaan  bercampur  baur  juga,  dan  rakyat,  masyarakat pekerja, dan  pengguna  jarang   sangat  turut  serta  dalam  menentukan  peraturannya, yang bertukar  menjadi  hukum-hakam,   yang  sepatutnya  menjadi  amalan  demokrasi yang memberi  kepentingan bersama.  Sikap  menyisihkan  ini  sengaja  diwujudkan walaupun selalunya  simpanan  para  pekerja  yang  digunakan  untuk  menentukan  kuasa yang mempengaruhi  perniagaan  itu.

Para  peniaga  yang  sepatutnya   menumpukan  sepenuh  tenaga  kepada  kelicinan operasi dan  pengurusan  perniagaan  mereka   menghabiskan  sebahagian  besar  waktu berjaga untuk  mempertahankan  kepentingan  persendirian  pemimpin  politik yang  tamak dan haloba. Di Malaysia,  wang  ringgit  merupakan  minyak pelincir  yang melancarkan putaran  roda  birokrasi.

Malaysia  mempunyai  bursa saham yang penuh  kepalsuan  pergerakannya. Di situlah sebahagian besar  saham kepunyaan  kerajaan,  pemimpin politik, dan UMNO BN didagangkan. Kerana  itu   minat  besar  ditentukan  agar  harga saham  tertentu  sengaja dilonjakkan  tinggi dengan  segala  usaha dilakukan untuk  menarik pelabur asing  untuk membantu  usaha  ini. Minat  kerajaan  dalam  usaha  ini  bererti  pembabitan secara terus  untuk  terlibat  sama  dalam  aktiviti  pasaran.

Keseluruhan  struktur  perniagaan  terbuka   itu  terpaksa  disusun   untuk menyesuaikan selera   pembabitan  ahli  politik  UMNO BN  yang  terlibat dalam  perniagaan  di negara ini. Mereka telah  gunakan  dana  awam  untuk   menguasai   saham  yang terpengaruh dalam  syarikat-syarikat  mega,  sambil  menentukan barisan   pengurusan   yang sepatutnya   setia  dan berdedikasi   tetapi  mudah  dijentik  dan  melatah oleh deringan  telefon  jabatan  perdana  menteri.

Perdana  Menteri  kerap   mengugut  untuk  campur tangan  secara  terus  dan mengambilalih  setiap  industri  ataupun  syarikat  yang dia   tidak  senangi.  Semua korporat  utama  adalah  di bawah  kawalan  dan  taklukan  perdana menteri.  Setiap perniagaan  memang  sengaja  dipantau  agar  mudah  dikacau  oleh  perdana menteri.

Tidak  ada  satu  pun  institusi perbankan,  ataupun  dana  ataupun  apa  juga sumber kewangan  yang  mampu  bergerak  secara  bebas. Malahan  korporat  asing  perlu membuat taksiran   suasana  politik  selalu  untuk  mengelakkan  kelecehan  birokrasi dan sebarang  gangguan  terhadap  operasi  perniagaan  mereka.

Usaha  penyelamatan terkini  dengan  menggunakan dana awam  telah  menyebabkan penyingkiran  menteri  kewangan. Perdana  menteri  telah  mengambilalih  jawatan itu. Parti  politik  pimpinannya  telah  memberikan dia  enam  bulan  untuk mendapatkan balik wang  yang hilang  termasuklah  segala harta  yang  telah  dipesongkan  kepada tangan orang  lain. Inilah  tekanan  yang  menghenyak  perdana  menteri  untuk memulihkan keadaan,  kerana  tidak  ada  cara  lain  lagi  wang  yang  sebesar  jumlahnya ini  dapat dirembat   dalam  waktu  yang  terhad.

Kaedah beliau ialah  menyanggah  pasaran  tempatan  secara bertubi  untuk menarik  minat pelabur  asing  yang  mungkin buta  ataupun  tuli.  Di waktu yang  sama  dia cuba menyorokkan  segala  gunung hutang yang  tinggi  itu  daripada  pengamatan pihak  yang ingin tahu; menjadikan  gunung hutang  itu   lesap  disorok  kaedah  perabun asap.  Fikir beliau,  kalau  boleh  disungkup  gunung  hutang  itu,  tentu lah  tidak siapa yang  akan tahu.

Usahanya tidak akan ke mana. Hutang itu  akan  kekal  di  situ,  terus mengeras laksana batu. Titisan  darah   disebabkan  tuntutan bayaran bunga  dan  faedah  tidak mampu mengizinkan  luka  hutang  itu   betah. Usaha  perdana  menteri itu  hanya sia-sia sahaja, walaupun dia  mempunyai  lima bulan lagi untuk  berjaya. Malangnya, inilah musibah yang belum menari bogel  di  depan matanya.

Tamat.