SAYA, PHOOLAN  DEVI
Otografi   Seorang  Wirawanita   India

Ditulis  oleh: Marie-Therese  Cuny dan  Paul  Rambali

Buku ini  adalah  satu  pencapaian   wanita  daripada  masyarakatku yang  mendedahkan  penderitaannya. Ia merupakan  huluran tangan yang  berani  kepada  mereka  yang  diaibkan dan  ditindas dengan  segala  harapan  agar hidup yang aku  lalui itu  tidak akan  berulang  lagi.  Aku  bernekad  memilih nasibku. Walaupun  lahir  tertindas  tetapi   mahu  hidup  dijulang  menjadi  seorang  ratu.  

Phoolan  Devi. New  Delhi,1995.

PROLOG

Bapa  mertuaku  telah  mengunci  kamar  yang  gelap  itu. Namun  sinaran  lampu di luar  masih mampu  menerjah  ruang bawah  pintu  yang  tertutup  rapat  dan  membolehkan  aku  melihat   beberapa  alat  pertanian yang sudah berkarat. Alat itu  dilonggokkan  berkecamuk  dengan  beberapa  alat masak-memasak.  Semuanya  ternyata  lama  dibiarkan di  situ  sehinggakan  menjadi  teman  kepada  butiran  taik-taik  tikus yang  sudah  pun kering  rupanya.

Aku  terus mencangkung  di situ  sambil  memekap  muka dengan  dua tanganku. Memang panas  rasanya  sehinggakan  pipiku  naik  hangat  juga.

Memang  lama  aku  menangis, meneriak nama  ibu. Tetapi  bapa  mertuaku  tentu  terlalu takut  kalau-kalau aku  akan  lari  juga. Lagipun aku  sudah mengadu padanya  bahawa  suamiku  mahu membantaiku.  Mungkin itu  juga sebabnya beliau mengunci aku dalam  bilik  gelap  itu,  memikirkan aku   yang  bersalah  sebenarnya.

Ketika  bertanya kenapa anak lelakinya  marah    padaku, aku naik takut  sehingga tidak berani  menjawabnya. Namun  dia  berkeras mahukan  jawapannya.

Aku beritahu cerita sebenarnya.

“Dia   cuba  meraba saya!  Dia  tanggalkan   butang  baju  saya.”

Aku  menjerit  meminta  tolong. Aku tahu  adalah tidak patut  orang  lelaki  melihat  badanku. Sejak musim bunga dulu, ibu  sudah  memberitahu  bahawa  usiaku  sudah  mencecah sepuluh    tahun dan  harus  berjaga-jaga  supaya  tidak berkeliaran  dengan  baju  yang  terbuka  butangnya.

“Apakah dia menyakitkan kamu?’ tanya  mertuaku itu dengan  muka  yang  serius  sekali.  “jangan  menangis, beritahu apa yang dibuatnya  pada  kamu.”

‘Dia kata  saya  adalah  laksana  seekor  merpati...dia cakap  sampai bila  agaknya  saya  boleh  menjadi  dewasa.....Dia  raba seluruh  anggota  saya  dengan  tangannya!’

Aku  merayu  agar  dihantar aku  balik   ke rumah  ibu. Tetapi, bapa  mertuaku  menyuruh aku  bertenang  sendirian,  sambil berjanji  membawakan  susu  untuk minuman. Apabila aku  enggan  berhenti   menangis,  dia  pun  menguncikan  aku dalam  bilik gelap  itu. Betapapun  aku  merayu  agar  dibebaskan, dia tidak  menghiraukannya. Mungkin  juga  dia  sudah  lama berpergian  membiarkan  aku  sendirian.

Aku  telah  berada di rumah  suamiku itu  selama tiga  hari, dan bapanya  tinggal bersama kami. Mereka  telah   memujuk ibubapaku  bahawa mereka  memerlukan  aku  membuat kerja  rumah,  kerana  suami  aku  itu  dulu  adalah seorang  yang  sudah lama  menduda.  Kami  berpindah  ke kampung suamiku  itu  sebaik selesai  perkahwinan  kami. Sebaik sampai  aku telah  membuat  segala kerja  rumah  dan  menurut  segala  perintah. Tetapi aku tidak  dibenarkan  mendekati telaga kerana  mereka takut  aku akan  terjatuh  ke dalamnya.  Aku juga  tidak  dibenarkan  memasak, kerana orang tua itu  takutkan  jari aku  terbakar  pula.  Mujurlah  terdapat  makanan yang  mencukupi, sehingga  aku  dibenarkan  makan  sampai  empat  keping capati.  Tetapi, setiap  kali  muncul  waktu  makan, aku  teringatkan  adik beradik di  rumah. Alangkah baiknya kalau  aku  dapat  bekalkan  makanan  yang  mewah  itu  untuk  mereka  kongsi  bersama.

Aku juga tidak diizinkan    untuk  bermain dengan  kanak-kanak  lain  di luar  rumah.

“Satu  hari abang akan hantar  kamu  pulang,” kata  suamiku memujuk. “Abang akan belikan makanan  yang  lazat-lazat. Tetapi, kalau  kamu  menangis dan cuba melarikan diri,  abang akan  bantai kamu.”

Selepas itu  dia  cuba bula  menanggalkan  butang baju  aku  dan  meraba  dadaku.  Kemudian,  dia  picit-picit tulang rusukku sambil  menggegek sendirian. Tetapi renungan  tajam  matanya  yang  membuatkan  aku cemas. Bukannya salah  aku  membuatkannya merenung  dadaku  ataupun  merabanya. Memang, aku  cuba  menjauhkan diri  daripada jangkauannya. Mujurlah  bapanya pulang  ketika  itu  jika  tidak  tak tahulah apa  jadinya. Mungkin juga  dia  cuba  membantai aku.

Dulu, kakak  telah berkahwin   dan terus  menetap  dengan  ibu  sebelum  berpindah  ke  kampung  suaminya. Dia tidak pernah mengugut  kakak  malahan terus  melindunginya. Kakak bebas  membuat  kerja-kerja  rumah  dan  memasak  untuk suaminya. Tetapi, suami aku  ini  sentiasa  berbau  peluh sahaja. Setiap kali dia terpandangkan  kelibatku  dia  akan  membuat  satu  bunyi  yang  ganjil  dengan  mulutnya. (isyarat geram agaknya...!)  Itulah  yang membuatkan  aku mahu  pulang  kepada  ibu  menanyakan  apa  yang  sepatutnya  aku  lakukan di rumah suamiku.

Mungkin kerana  terlalu  lama menangis, kepala  pun  naik sakit.  Kain ‘skirt’yang aku pakai sentiasa  lembab  kerana  mengesat air mata. 

Aku terdengar  mereka sedang  bertengkar  di laman .

“Dia baru naik,”   demikian  suara  orang  tua itu  meninggi bunyinya. “janganlah kau  kacau  dia  lagi.”.

“Tapi  ayah, apa yang  patut  saya lakukan?  Bukankah ayah  juga  yang   memilih  anak kecil  untuk  menjadi  isteri  saya?”

Itu  sahaja perbualan  yang  dapat  aku  dengar  daripada  mereka. Tetapi, mereka  masih juga  mengunci aku  di kandang  yang  gelap  gelita  itu.

Aku  sudah  bernekad, kalau mereka pulang,   aku  mahu  mengekori  orang  tua  itu  sahaja. Aku akan  ikut  dia   bila pergi  ke telaga,  supaya  anaknya itu  tidak  dapat menghampiri  aku   untuk meraba. Aku akan kenakan pakaian yang ketat-ketat  lengkap dengan pakaian dalam  dan  dibalut  dengan  kain sari. Biarkan dia  rasa, tak dapat  raba-raba dan gunakan jarinya.  Bukannya  aku kenal dia sebelum itu. Dia bukannya  ahli keluarga aku  tetapi  sudah  berani  menakutkan  aku  pula!

“Phoolan!    Di  mana  kamu  merpati  sayangku?”

Itulah   suara  Putti  Lal.  Memang, itulah  suara  suamiku.

“Kan kita  sudah  berkahwin....Abang akan  tunjukkan  apa  yang  patut  dibuat   oleh  suami  isteri....jangan  takut. Abang  akan  ajar  satu  permainan  baru......”

bersambung     Bab  1.

(Terjemahan  SPAR 10.)

Jumlah pembaca:orang