Pasaran  Saham Yang  Ditaruh  Pekasam
(Malaysia’s  Manipulated  Market)  

Kerajaan  Malaysia  sedang  dalam  proses  mengengsot   segala  aset  dan  kawalan  pengurusan  terhadap  pasaran  modalnya  daripada  fraksi  yang  dulunya  setia hanya  kepada  bekas  menteri  kewangan  kepada   satu  fraksi  baru  yang  dikuasai hanya  oleh  perdana  menteri. Segala  sumber awam  digunakan  tanpa  segan dan  silu  untuk  merencana  segala  itu. Jumlah  nilaian  yang  dilibatkan  oleh  sebuah  negara  yang  dihuni  oleh  hanya  23  juta  insan  adalah  terlalu  besar. Apa juga  yang  pernah  miliki  oleh  Malaysia sebagai sebuah  negara  yang  berpotensi  dalam  bidang  teknologi  tinggi sudah  terurai dan  terlonggar.  Dana yang  hamburkan  terhadap  segala  projek  haprak   kini  sudah  membebani  generasi  yang  akan  muncul,  sedangkan  pertambahan  projek-projek  baru  yang  kini  dirancang  akan  menghenyak  negara  ini  menjadi  penghutang  berkarat  sepanjang  hayat.

UMNOBN  adalah   parti  politik  yang  menguasai  seluruhnya  media cetak  dan televisyen, sama  ada secara  terus  ataupun  melalui penetapan  mengenakan    keperluan  mendapatkan  lesen  tahunan  untuk  beroperasi.  Kaedah  pengawalan  lesen  ini  kini  dipanjangkan  kepada  semua  bentuk  perniagaan  di  negara  ini.  Pencabulan  kebebasan  ini  sudah  pasti   mencetuskan  perasaan  mual  kepada  pelancaran  perniagaan  baru  dan  inilah  yang  memberikan  dalil  yang  berkesan  kepada  syarikat  yang  sudah  lama  bertahan  untuk  bertindak  berpindah  ke  negara  lain  yang  lebih  nyaman.

Kaedah  memerlukan  pembaharuan  lesen  tahunan  adalah  satu  cara  menggugat  kebebasan  berniaga  di  semua  tahap  perniagaan. Ini  juga  merupakan  kaedah  lain yang memudahkan  pencabulan   untuk  menentukan  ketuanan  politik dalam  dunia  pasaran. Apabila  diterjemahkan  dengan  tepatnya,  ia  membawa  erti  akan   pupusnya  sistem  pasaran  bebas  di  Malaysia.  Setiap   pemilik perniagaan  ataupun  pengurus  mesti   menguruskan  perusahaannya  mengikut  rentak  dan  ragam  nafsu-nafsi  seorang  perdana  menteri.  Lantas,  ia mengecutkan  nilai  intrinsik dan ‘goodwill’  setiap perusahaan  yang  ada  menjadi  ‘zero’  ataupun  kosong..Tidak  akan  ada  lagi  pergerakan  niaga  yang  akan  berkembang  selagi  perdana  menteri  mempunyai  kuasa  menentukan  apakah  sesuatu  lesen  itu boleh  diperbaharui  untuk  tahun  yang  mendatang.  Hanya  mereka  yang  bebal  yang  akan  berani  untuk  berniaga  dengan  atur cara yang  mendera.

Malaysia mempunyai  satu pasaran saham  yang  luar biasa ragamnya. Ia mudah  disebut  sebai  satu  contoh  pasaran bebas  di Asia  Tenggara  mengikut  skala  takrifan  barat  di  hujung  yang paling  minima.Tetapi  sesiapa  yang  pernah  berpengalaman  berdagang di  pasaran itu  akan  tahu  betapa  terdapatnya  salah  tanggapan  dalam penilaian  itu. Jurang  untung ruginya  adalah lebih lebar daripada  pintu stor  penyimpan pesawat  udara, sedangkan  segala  butiran dalam lapuran  auditnya sentiasa  tidak  dapat  dijumpa. Kepincangan ini bukannya  disebabkan  kecuaian  para  audit, kerana mereka seharusnya  tidak  dibebankan  dengan  tuduhan. Kesilapan  itu  terletak kepada  anggapan  bahawa  para  pelabur  adalah  golongan dungu, kerana inilah yang  perdana  menteri mahu walaupun  amat bertentangan  dengan kenyataan  itu.

Kerajaan  mempunyai  saham dalam  setiap  bentuk industri yang besar-besar. Kerana  itu kerajaan  mempunyai kecenderungan  menentukan siapa  yang  seharusnya menerajui  syarikat itu   agar    terus  setia  memelihara  sasaran  tuan politiknya. Syarikat  yang besar-besar  adalah  di bawah  penguasaan    pemimpin   politik,  dan  hampir  semuanya  sedang  tercungap-cungap   di samudera  hutang  yang  besar dan dalam.  Saham  syarikat  itu  masih  mampu terapung   kerana  kerajaan  terus  menggunakan  wang  dan  dana  untuk  membantunya. Walaupun  Suruhanjaya  Sekuriti   masih  meneruskan  usaha  penyeliaannya,  jumlah  pergerakan  yang  banyak  menyimpang  memang  sukar  untuk  dibayangkan. Tindakan  menguatkuasakan  kawalan  memang   ketandusan  usaha  yang  berkesan.

Pasaran saham kelihatan rancak pergerakannya  kerana kegiatan  penyusunan  aset. Jumlah  saham  yang  diniagakan sengaja  dilonjakkan ke tahap yang  tinggi  tetapi tidak  munasabah  sekali. Kesannya,  indeks komposit  BSKL  telah melonjak  naik  daripada  tahap  550  kepada  650. Tidak ada sesuatu yang ketara  untuk  menjelaskan   suasana  yang optimis  ini.  Semua  aset  saham  dinilai  mengikut  pelbagai   faktor seperti  pulangan, dividen  dan  nilai  hartanya  yang  ada.  Sebenarnya, semua  ini   sedang  merudum  nilaiannya.

Semakin  menyerlah  usaha  kerajaan  dan    perdana  menteri sedang  gian  mencuba   menaikkan semula martabatnya.  Usaha  ini  membabitkan  segala  simpanan wang  simpanan  rakyatnya. Dana pencen  negara sedang  semakin  kontang  disebabkan  usaha haloba,  seperti  juga  beberapa tabung  lain  yang  turut  menjadi  mangsa. Simpanan  wang  rakyat  sengaja dibiarkan  lesap  dan terhakis   ditelan  syarikat  yang  sudah   muflis,  dan hutang  yang baru  pula mula ditulis  sedangkan  itu  pun tidak  mungkin  dapat dibayar balik    sampai  beres.

Setiap  kali  pemilikan saham  syarikat  melepasi   peratusan yang  ditentukan,  ada  peraturan  khas  yang  memastikan  tawaran umum  dibuat  untuk  mendapatkan  saham yang berbaki.   Tetapi,  peraturan  ini  mudah diketepikan sahaja apabila  kerajaan  bertindak  enggan mematuhinya. Begitu juga  apabila  pembelian dilakukan oleh sebuah dana  menghampiri  had yang ditetapkan.  Pembelian  itu dihentikan  untuk  diambil alih  pula  oleh  dana  yang  lain.  Ini bererti kerajaan  yang  melanggar peraturan  tanpa  menyentuh  penentuan   membeli  saham  lain  yang  masih  berbaki. Adalah sesuatu  yang  menyulitkan  apabila  kita  mengamati  gelagat kerajaan  sekarang  ini,  selain  daripada  satu pertanda betapa perdana  menteri  sudah  menjadi begitu  terdesak  kerana  diperlekehkan; gara-gara   membiarkan  segala  harta  dan  aset  UMNO  sengaja  dibalun dengan  mudahnya  di  bawah  pengawasannya.

Walaupun banyak petanda  ekonomi semakin  gawat, harga saham semakin  mencanak, seolah-olah  menidakkan  pelbagai anggaran bahawa  akan menurunya  pendapatan  syarikat itu. Apabila  kita  saksikan  perkara  ini  setiap  hari  tentu  akan tiba  masanya  apabila  penentuan  sebenar akan  menjelma.  Memang  tidak  mungkin    wujudnya  pendapatan yang bertambah berdasarkan  nisbah  harga   berasaskan pendapatan  separa 20:1, berbanding   nisbah 40:1  yang  masih  biasa  itu.  Siapakah nanti  yang sanggup  memegang  sekeping saham  yang  tidak  akan naik nilainya  selepas memegangnya selama 40 tahun dengan penuh  kesabaran?  Apatah lagi dengan  adanya banyak  pertanda  bahawa  pendapatan  syarikat itu akan  semakin  menurun?  Ini  menyebabkan  tempoh bayaran  dipanjangkan  sehingga  hari  kiamat.  Sekaligus  tekanan  menjual  saham  dalam  simpanan akan terus meninggi,  menyebabkan nilainya  menurun    tanpa  sebarang  pertanda  akan adanya  kemampuan  menyokongnya lagi secara  menipu.

Apabila  ubahsuaian  ini  tidak  pun  terjadi, memberikan  andaian  adanya  usaha  membedek  pergerakan  saham  dengan  melaksanakan  pergerakan yang  memanipulasi  aktivitinya. Inilah  tindakan  untuk  menarik minat  pengurus dana  asing  yang  mudah  terpedaya. Kesangsian  ini  diperkuatkan lagi  oleh  keengganan  perdana menteri  membenarkan  tindakan siasatan  kepada  pelbagai  hal  yang  melibatkan  kerajaan.  Lapuran  siasatan  berkaitan  kematian  dan  rusuhan  kaum  di  Kuala  Lumpur  (Kampung  Medan) kini  ditafsirkan sebagai satu  lapuran  rahsia. Pendakwaan  betapa  adanya  penglibatan  dan  provokasi   kerajaan  menggunakan  anggota  tentera  dan  samseng upahan  kini  tidak  akan  dapat  diperbetulkan.  

Satu   usaha   mendapatkan  lima bilion  dollar  Amerika  di pasaran London dengan  menggunakan  bon  kerajaan  Malaysia yang dipalsukan,   sudah  pun  diketahui  ramai,  tetapi kerajaan  masih  enggan  mendakwa   kumpulan  yang  melakukannya.  Rencana itu dikatakan  berpunca  daripada  tahap  atasan. Ketua  agensi  yang  terlibat  dalam  penipuan itu  telah  pun dinaikkan  pangkatnya  oleh  perdana  menteri. Inilah   peristiwa yang  menghitamkan nama baik  pasaran  bon  di  Malaysia. Oleh  kerana  kerajaan  adalah  penyokong   pengagihan  bon  terbitan  Malaysia,  membuatkan skandal itu  menjadi  satu  perkara  yang  serius  dan  memudaratkan  martabat  Malaysia  di merata  pasaran bon  seantero  dunia.

Apabila  pasaran naik  mencanak  untuk  mencecah satu tahap tertentu, dengan   pembabitan kerancakan  jual  beli  yang  tinggi, ia menandakan  kemunculan  minat   pihak  pelabur  ataupun  cuma setakat  gerakan  manipulasi  sahaja.  Buat  masa  ini,  indeks  pasaran  terus  naik  meninggi daripada  kebiasaannya  sedangkan  tidak  ada  pula  kenaikan  ‘volume’ nya. Proses  harian  ini  yang  disebut  di  negara  barat  sebagai  ‘churning’ bolehlah  ditakrifkan  dengan istilah  tempatan sebagai  ‘menggoreng’.  Apabila   fenomena ini  berlaku ia  menandakan  pindahan  saham daripada  punca yang  kuat  bertenaga  kepada  penyambut  yang  kurang upaya, sebagai  satu  persediaan  penarikan  sokongan  yang akan  menjahanamkan  pasaran  itu.

Gerak geri  turun naik laksana mainan  pam itu,  memberikan  ruang  kepada  pembeli yang  sudah  lama  menempah  harga  beliannya  menjadi   pelabur yang  akan rugi  kerana tidak mampu  meraih  keuntungan.  Kelentongan ini  mengena pihak yang  tidak berwaspada, yang mudah  ghairah melihatkan pergerakan ‘rally’ yang  mendadak. Mereka membeli  ketika  harga  mencanak di  bahagian atas  dan  memegangnya  sambil mengharapkan  harga  akan naik lagi. Sedangkan  yang berlaku ia  penggelonsoran  harga itu yang  buatkan  mereka terpaku dan  menjadi  kaku. Akhirnya  kerana  telah  dirasuk ketakutan, mereka pun lepaskan  pegangan  ketika  saham berada  di tahap  bawahan.

Kalau  manipulasi  itu  dapat  diteruskan, berjayalah nanti perdana menteri mengembalikan   sedikit  harta    UMNO  yang  sudah lama menghilang. Daripada siapakah  keuntungan itu  akan  diperah? Yang  menjadi  tentulah orang awam,  rakyat, para pekerja, para  pengguna  yang menyumbang  secara  sukarela  ataupun  secara paksa  kepada  tabung  simpanan  dan  dana pencen yang  ada. Tetapi, kumpulan  ini  pun sudah semakin  cerdik  kebelakangan  ini.  Semakin  mereka menyedari keadaan sebenar, semakin  mereka nekad  mahukan  segala  gelagat  membalun harta  rakyat  dihentikan  untuk  secara  muktamad.

UMNOBN memang sedar  akan  kekuatan  yang  terpendam  di sebalik  persatuan  sekerja. Kerana itu  mereka  sengaja  memberikan  sedikit  penghormatan  dan  penelitian yang  rapi. Tetapi  bukan begini keadaannya  dengan kumpulan ‘NGO  ataupun  ‘ornop’ (organisasi non-pemerintah) pelbagai suruhanjaya,  Majlis  Peguam,  persatuan-persatuan  Cina,  persatuan pelajar,  dan  parti-parti pembangkang. Semua kumpulan  yang  disebut ini tidak  mudah  diampu  ataupun  diugut. Akan tetapi  di  sebalik  kegiatan  kesatuan  sekerja  itu,  kerja-kerja  membalun  wang  simpanan  rakyat  masih  juga  berterusan. Rancangan anuiti  KWSP  belum  lagi dihentikan dan  wang  yang  sudah dikeluarkan  belum lagi  dipulangkan. Ahli-ahli    persatuan  pekerja  bank  sudah  pun diarahkan  membayar balik  kerugian kegiatan  pengurus  dana  pasaran  saham  mereka  dengan  memotong  10  persen  gaji  bulanan. Ini akan  memakan  masa setahun ataupun  mungkin  dua tahun,  kerana  anggaran  kerugian per ahli adalah  sekitar  RM25,000.   Ahli-ahli  kesatuan  pekerja  bank itu tidak  pernah  diundang  untuk  turut serta  dalam  operasi  jual beli  saham  dulu. Mereka tidak pun  mengetahuinya  sehinggalah  terlalu lambat  masanya.

Tamat

Diterjemahkan  oleh  SPAR

Jumlah pembaca:orang